Mesyuarat kerjasama strategik membabitkan tiga kementerian bagi mengawal penularan wabak COVID-19 di ibu pejabat KKM di Putrajaya, semalam. - Foto Twitter Dr Adham Baba
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersetuju untuk menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan analisis data raya (BDA) dalam membantu mengawal penularan wabak COVID-19.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata persetujuan itu diputuskan dalam satu mesyuarat kerjasama strategik membabitkan tiga kementerian itu bagi mengawal penularan wabak COVID-19 yang diadakan di ibu pejabat KKM di Putrajaya, semalam.
“Mesyuarat itu membincangkan perkara berkaitan penggunaan teknologi AI dan BDA berkaitan smart tracking dan keperluan dan perkongsian data dan kerjasama antara MOSTI dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi ‘centre for diagnostic screening’, kajian epidemiologi dan kajian kesahihan drug malaria,” katanya menerusi cacatan di laman Twitter rasminya @DrAdhamBaba semalam.
Mesyuarat itu dipengerusikan bersama oleh Dr Adham, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.
Turut hadir ialah timbalan menteri bagi ketiga-tiga kementerian berkenaan, pegawai-pegawai kanan kementerian dan agensi, ahli akademik, serta pihak swasta. – BERNAMA
KUALA LUMPUR: Tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mungkin berlanjutan dua bulan lagi, jika penguatkuasaan sehingga 31 Mac ini, gagal mengekang penularan wabak COVID-19 di negara ini.
Pakar virologi, Prof Dr Sazaly Abu Bakar, tidak menolak kemungkinan itu jika rakyat terus berdegil mengingkari PKP, mengabaikan pelaksanaan penjarakkan sosial serta tidak mengutamakan amalan batuk dan kebersihan yang baik.
“Jika masih ada kelompok rakyat yang berdegil, situasi semasa yang memerlukan kita duduk di dalam rumah, boleh berlanjutan sehingga enam hingga lapan minggu lagi.
“Masalahnya, rakyat kita tiada disiplin seperti warga Korea atau Jepun. Ketika ke hospital semalam, saya lihat masih ada yang bersentuhan dan tidak menutup mulut ketika batuk,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.
Selain kedegilan rakyat, Sazaly berpandangan, faktor lain mungkin menyumbang kepada kegagalan mengakhiri penularan jangkitan COVID-19, adalah tindakan ribuan orang ramai pulang ke kampung halaman selepas PKP diumumkan.
“Adalah satu kesilapan apabila orang dari kawasan tinggi jangkitan, iaitu Kuala Lumpur dan Selangor, balik ke kampung.
“Kita seolah-olah tidak belajar pada kesilapan sama dilakukan Itali, yang akhirnya menyebabkan wabak coronavirus bertambah kronik di negara itu,” katanya, yang berharap strategi penguatkuasaan lebih agresif.
Sazaly mencadangkan kerajaan mencontohi Korea dan Jepun serta Taiwan, yang bertindak agresif melaksanakan ujian komuniti dengan mengerah jentera perubatan mereka membuat ujian daripada pintu ke pintu.
“Ketika ini, kita masih menunggu orang sakit atau disahkan positif (melalui pengesanan kontak) datang ke hospital. Ibaratnya menunggu sama ada mangsa sakit, pulih atau meninggal dunia.
“Sekarang ‘darurat’ dan sedang berperang, tak boleh guna cara lama. Di Korea dan Jepun, mereka kerah jentera perubatan cari pesakit. Misalnya, Korea buat 20,000 ujian COVID-19 dalam sehari.
“Kita perlu masuk ke kawasan yang dikategorikan tinggi wabak dan uji semua orang dalam kawasan itu. Jika positif, ajar kaedah kuarantin dan terus beri ubat, tidak semestinya mereka perlu ke hospital.
“Ujian komuniti ini bukan saja oleh KKM, malah polis, tentera, pihak universiti dan badan bukan kerajaan (NGO) berkelayakan juga boleh dikerah membantu. Dalam saat perang ini, gunakan apa saja sumber yang ada, tak boleh bergerak sendirian,” katanya yang tidak menolak kemungkinan Malaysia menjadi seperti Itali jika langkah agresif itu tidak dilakukan.
Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan kebimbangan terhadap peningkatan kes jangkitan COVID-19 yang tidak berkait dengan kluster tabligh, sekali gus menggesa KKM segera melaksanakan penjujukan genom virus bagi mengenalpasti punca jangkitan berkenaan.
Penjujukan genom itu juga perlu disegerakan bagi mengenalpasti punca mengapa majoriti kes kematian akibat coronavirus di Malaysia, adalah membabitkan golongan berusia 60 tahun ke bawah, berbeza dengan kes di China, Itali, Jepun dan negara lain.
“Tujuh daripada 10 kes kematian di Malaysia adalah 60 tahun dan ke bawah, sedangkan negara lain majoriti kes kematian adalah individu 60 tahun atau 80 tahun ke atas.
“Kita perlu kenal pasti menerusi penjujukan genom, sama ada virus yang menyerang di Malaysia lebih bahaya serta dari mana datangnya virus yang menjangkiti jemaah tabligh dan kes-kes lain,” katanya.
Teknologi kepintaran buatan (AI) digunakan di Korea untuk mengesan dan mendiagnosis pesakit COVID-19 dengan lebih tepat dan pantas. Gambar hiasan. - Foto AFP/Philip Fong
Teknologi AI, sains data ramal COVID-19
Oleh Prof Madya Dr Shamsul Arrieya Ariffin
SEJAK pandemik COVID-19 yang cukup berbahaya melanda negara ini, rakyat tidak lagi boleh bebas berinteraksi seperti sebelumnya. Tujuan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah untuk memutuskan rantai jangkitan wabak.
Semua aktiviti seharian tidak seperti dahulu lagi kerana rakyat perlu menjaga diri mereka untuk mengawal wabak sebelum menjadi lebih parah.
Namun, masih banyak ruang dapat diisi untuk membantu masyarakat menerusi penggunaan teknologi Revolusi Industri (IR) 4.0 untuk mengenalpasti, memantau, meramal dan mendiagnosis sesuatu penyakit termasuk COVID-19.
Antara teknologi IR 4.0 yang dikenal pasti ialah kepintaran buatan (AI) dan sains data yang digunakan di negara seperti China dan Korea Selatan untuk mengenalpasti dan meramal sebaran wabak menerusi sumber maklumat.
Dengan penggunaan AI, maklumat berkaitan COVID-19 dapat dikumpul seperti dari media sosial dan dokumen kerajaan. Simptom dapat dikenalpasti dan diramalkan menerusi analisa dokumen-dokumen sebelum bertambah parah.
Kawasan berpotensi wabak dan berada dalam zon berbahaya dapat dikenal pasti menerusi teknologi AI sebagai langkah berjaga-jaga.
Begitu juga ia dapat mengenal pasti dan mendiagnosis individu yang mendapat jangkitan. Teknologi AI ini sudah diaplikasikan di Korea Selatan hingga dapat dikesan dalam masa yang lebih singkat berbanding menggunakan ujian pengesanan konvensional sedia ada.
Ini kerana ia mampu memproses data dengan tepat dan pantas seperti di stesen pemeriksaan wabak mudah alih berteknologi 5G bagi pemandu kereta.
Sekiranya terdapat pemandu berjaya dikesan positif COVID-19, mereka akan diasingkan dengan pantas untuk rawatan selanjutnya.
Malah, maklumat mengenai pesakit termasuk sejarah perjalanan dua minggu sebelumnya akan dikongsikan bersama menerusi sebaran maklumat kepada telefon bimbit masyarakat sekitar.
Kerajaan Korea Selatan juga mampu memantau pengagihan topeng muka kepada rakyatnya menerusi undang-undang pembelian topeng muka maksimum pada satu-satu masa untuk seorang pembeli.
Sehingga kini, harga topeng muka tidak menunjukkan kenaikan harga sejak sistem pelaksanaan pemantauan sistem dijalankan dengan kawalan ketat kerajaan Korea Selatan.
Di China, teknologi AI dapat digunakan untuk mengenalpasti individu yang mempunyai simptom demam menerusi topi keledar pintar untuk tindakan pengasingan dan jika mereka memerlukan rawatan selanjutnya.
Teknologi AI juga digunakan kerajaan China untuk mengenal pasti risiko terhadap individu berpotensi untuk mendapat wabak menerusi data sejarah perjalanan mereka dan berapa lama mereka berada di kawasan wabak.
Maklumat ini dapat digunakan rakyat supaya mereka dapat mengambil tindakan sewajarnya untuk mengelakkan daripada mengunjungi kawasan berisiko menerusi maklumat daripada sains data.
Apapun teknologi digunakan, masyarakat sendiri perlu mengambil sikap bertanggung jawab terhadap penjagaan kesihatan diri sendiri dan mematuhi PKP, sekali gus bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menangani pandemik COVID-19 ini.
Sikap seperti bertenang perlu diamalkan setiap masa untuk mengelakkan terjadinya panik supaya keadaan lebih terkawal.
Penulis ialah Pensyarah Kanan Jabatan Komputeran Fakulti Seni, Komputeran dan Multimedia Kreatif, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
PUTRAJAYA: Setiap rakyat negara ini mampu membantu memutuskan rantaian penularan COVID-19, sama ada sebagai barisan hadapan kesihatan, mahupun orang awam.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata semua kakitangan barisan hadapan kesihatan diminta terus kuat dan menjaga keselamatan diri kerana mereka memikul tanggungjawab memerangi wabak COVID-19.
“Yang paling penting, kita adalah barisan terakhir pertahanan dan negara ini bergantung kepada kita.
“Sama ada kita akan berjaya atau sebaliknya, terpulang kepada kita untuk memimpin dan buat yang terbaik untuk Raja dan negara,” katanya dalam satu kenyataan ringkas yang dimuat naik ke laman sosial Facebook, kira-kira setengah jam lalu.
Dr Noor Hisham sekali lagi menasihatkan orang awam untuk kekal berada di rumah dan membantu kerajaan memutuskan rantaian penularan COVID-19.
Katanya, mereka perlu mengamalkan penjarakkan sosial dan sentiasa membasuh tangan.
“Kerajaan sudah menguatkuasakan satu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang tidak pernah dilaksanakan sebelum ini.
“Setiap kita boleh membantu memenangi peperangan ini,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga akan meneruskan strategi mengesan kes aktif; mencari, menguji, mengasingkan dan merawat semua pesakit yang dijangkiti serta mengambil segala langkah kesihatan umum yang perlu serta meningkatkan sistem penjagaan kesihatan sedia ada.
KUALA LUMPUR: Kerajaan mengambil keputusan untuk melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga 14 April ini susulan kes positif COVID-19 masih berlaku, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Perdana Menteri berkata, keputusan perlanjutan itu dimaklumkan lebih awal bagi memberi ruang kepada rakyat untuk membuat persediaan awal.
“Saya diberikan taklimat oleh Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara, pola semasa menunjukkan kes positif COVID-19 yang baharu masih berlaku.
“Pola ini dijangka akan berterusan untuk beberapa ketika sebelum kes-kes baharu mula menurun. Ini menuntut kerajaan untuk meneruskan PKP bagi satu tempoh yang lebih lama,” katanya dalam perutusan khas, hari ini.
Muhyiddin berkata, tempoh lanjutan kuat kuasa PKP akan dikaji dari semasa ke semasa.
Perdana Menteri berkata, sebarang keperluan untuk melanjutkan tempoh PKP itu, yang setakat ini dijadual berakhir pada 14 April akan diumumkan kemudian.
“Yang penting, saya mohon supaya saudara saudari sentiasa bersedia untuk duduk lebih lama di rumah.
“Saya juga mengarahkan semua kementerian untuk membuat persiapan yang rapi bagi mengurus keperluan asas anda sepanjang tempoh PKP berkuat kuasa.
“Paling penting, semua keperluan asas mestilah sentiasa tersedia dan mencukupi, termasuk bekalan makanan, elektrik serta air.
“Perkhidmatan kutipan sampah dan pembetungan, kemudahan komunikasi serta logistik, keselamatan dan ketenteraman awam juga termasuk dalam aspek ini,” katanya.
Mengulas mengenai status PKP setakat ini, Perdana Menteri berkata, masuk hari kelapan perintah itu berkuat kuasa tahap pematuhan mencapai 95 peratus.
Jalan-jalan raya lengang, pusat-pusat beli belah ditutup, pusat-pusat rekreasi awam juga lengang dan ramai yang telah mematuhi nasihat duduk diam-diam di rumah.
Hanya ada beberapa insiden kecil pelanggaran perintah ini di sana-sini. Pihak polis dan tentera telah dikerah untuk mengambil tindakan tegas bagi mengawal keadaan. Ini termasuk menutup tempat-tempat awam yang masih dikunjungi oleh ramai orang dan menahan individu-individu yang ingkar.
Tindakan tegas terpaksa diambil oleh pihak berkuasa demi memastikan perintah larangan pergerakan ini dipatuhi dan tindakan ini mencapai hasil yang dihasratkan, iaitu membendung penularan wabak COVID-19.
Muhyiddin berkata, penularan kes COVID-19 menunjukkan peningkatan. Daripada kes pertama jangkitan COVID-19 dikesan, hingga jam 12 tengah hari ini jumlah kes positif telah meningkat kepada 1,796 kes, iaitu penambahan 172 kes baharu pada hari ini.
Tujuh hari yang lalu, jumlah keseluruhan kes COVID-19 ialah 673 kes. Ini bermakna, kes positif COVID-19 telah meningkat lebih sekali ganda dalam tempoh hanya satu minggu.
Jumlah kematian juga telah meningkat kepada 17 orang termasuk seorang doktor.
KUALA LUMPUR: Manis bertudung, penyanyi, Ernie Zakri, 28, mengumumkan penampilan terbaharu menerusi laman Instagram, hari ini.
Perkongsian penyanyi lagu Ku Bersuara dengan penampilan berhijab disambut dengan pujian. Malah, ramai teman artis mengucapkan tahniah atas keputusannya menutup aurat.
Ernie berkata, dia nekad memakai tudung secara rasmi, hari ini.
“Jujurnya, saya masih dalam proses membiasakan diri.
“Moga saya terus istiqamah dan melakukannya kerana Allah SWT.
“Ikutkan, saya sudah lama menyimpan niat mahu berhijab. Cuma, kekuatan melakukan perubahan makin mencengkam diri selepas kita diuji dengan musibah penularan wabak COVID-19,” katanya kepada BH Online.
Juara pertandingan Bintang RTM 2009 itu berkata, dia menghantar mesej pada ibunya kira-kira jam 2 pagi, semalam untuk memberitahu keinginannya mahu berubah imej.
“Saya mesej Mama, biarpun kami tinggal sebumbung. Saya berada di tingkat atas, Mama pula di bawah. Saya nyatakan keputusan mahu bertudung.
“Nyata, ia menggembirakan hati Mama. Saya akui ada di kalangan ahli keluarga terkejut dengan keputusan ini, apatah lagi pada saat kerjaya sedang meluncur laju.
“Saya percaya seseorang harus tekad membuat keputusan besar dalam hidup, terutama soal penghijrahan diri tanpa tekanan sesiapa,” katanya.
Ernie atau nama sebenarnya, Nur Ernie Shahirah Zakrie berkata, dia pernah berjanji dalam diri, tahun 2020 menjadi titik penghijrahan buatnya.
“Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan dan tersusun cantik.
“Pada saat saya berehat daripada kerja seni akibat situasi penularan wabak COVID-19, Allah SWT memakbulkan doa yang tersimpan dalam hati.
“Saya mungkin mengambil masa memutuskan perkara ini, tetapi ia adalah kewajipan,” katanya.
Katanya, dia sudah terdetik dalam hati mahu berubah menjadi lebih baik sebelum menunaikan umrah pada penghujung tahun lalu.
“Saya rasa gembira dan lengkap setiap kali bertudung. Penghijrahan ini tidak akan mengubah diri saya dan apa yang dilakukan. Saya akan terus menyanyi,” katanya akan muncul dengan muzik video single terbaharu berjudul Gundah pada 27 Mac ini.
Ernie berkata, dia berharap peminat tidak keliru sekiranya ada rakaman atau gambar tidak bertudung disiarkan.
“Jika nampak saya tidak bertudung, itu gambar atau video lama,” katanya memohon ditetapkan hati.
Pemimpin Umno cadang GST dikembalikan, kadar lebih rendah 3%
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Armand Azha Abu Hanifah mencadangkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dimansuhkan pada pentadbiran Dr Mahathir Mohamad dikembalikan.
Beliau bagaimanapun mencadangkan kadarnya ditetapkan sebanyak tiga peratus, lebih rendah berbanding enam peratus yang dilaksanakan di zaman Najib Razak.
Perkara itu, kata Armand, akan disampaikan secara peribadi kepada kepimpinan Umno - yang kembali ke tampuk pemeritahan negara setelah menumbangkan Pakatan Harapan melalui penjajaran semula politik negara.
“Saya secara peribadi akan sampaikan perkara ini pada kepimpinan parti demi kesejahteraan rakyat Malaysia, yang tertekan sepanjang 20 bulan dibawah rejim pakatan (PH).
“Ini sebahagian. Insya-Allah akan saya sampaikan pada kepimpinan negara, demi kembali hebatkan negara Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Cadangannya itu dibuat sehari selepas Umno rasmi menjadi komponen gabungan kerajaan pemerintah Perikatan Nasional.
Ia salah satu daripada 19 cadangan tindakan yang akan dikemukakan olehnya kepada kepemimpinan parti Umno.
GST pada kadar enam peratus diperkenalkan Najib berkuat kuasa 1 April 2015, dan dikatakan menjadi antara punca kekalahan BN dalam pilihan raya umum lalu.
PH menghapuskan GST yang disifatkan sebagai cukai yang menekan dan zalim, dan menggantikannya dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).
Sementara itu, antara cadangan lain yang digariskan Armand ialah mepercepat siasatan kes Muhammad Adib Mohd Kassim dan membuka semula kes kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE)
Selain itu, dia mencadangkan kenaikan bantuan BR1M (bantuan rakyat 1Malaysia) kepada B40, diskaun Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), pengembalian bantuan nelayan dan peladang, bantuan pemandu teksi, bantuan pelajar universiti, dan bantuan persekolahan.
Dia juga mencadangkan penutupan tol yang hampir tamat tempoh konsesi, pemberian royalti minyak, meningkatkan peluang pekerjaan, memperkukuh pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET), mendapatkan kembali pelabur ke dalam negara, pembukaan hospital dan klinik kerajaan di kawasan pedalaman, dan cadangan pelan perpaduan negara.
Selain itu juga, dia bercadang kerajaan wajar mencari formula terbaik untuk menurunkan kos sara hidup, menyelesaikan isu vape, serta mewujudkan lebih banyak usahawan.
Hati semakin tenang selepas memeluk Islam - Nur Shahfiqah
Oleh Siti Fatimah Mohamed Anwar
KEPALA BATAS: Seorang saudara baharu menyifatkan adiknya sebagai pencetus rahmat sehingga menyebabkan hatinya terbuka untuk menerima Islam.
Chan Bee Bee, 43, berkata sebelum ini beliau sangat prejudis dengan Islam walaupun semua adik beradiknya sudah memeluk agama berkenaan kerana mendakwa masih samar mengenai Islam.
Bee Bee yang memeluk Islam sejak empat bulan lalu dan menggunakan nama baharu, Nur Shahfiqah Chan Abdullah berkata, adiknya Nur Fahimah Chan, 36, adalah individu yang banyak membantunya dalam mendekati Islam walaupun sebelum ini beliau pernah menolak pelawaan untuk memeluk agama berkenaan.
"Pertemuan semula saya dengan adik kandung umpama rahmat buat saya, kerana beliau sering memujuk saya untuk memeluk Islam. Namun pada awalnya saya menolak kerana masih tidak dapat mendalami agama berkenaan selain terpengaruh dengan pelbagai tanggapan buruk mengenai Islam sebelum ini.
"Kami empat beradik dibesarkan di rumah anak yatim dan saya dikelilingi oleh rakan Melayu yang beragama Islam dan sejak kecil saya belajar dan mendalami Islam, namun hati saya tidak pernah terbuka untuk memeluk agama berkenaan.
"Namun, inilah dikatakan hidayah dan saya bersyukur kerana dapat memeluk Islam walaupun pada usia 43 tahun," katanya.
Menceritakan mengenai kisah hidupnya, Nur Shahfiqah berkata, mereka empat beradik termasuk dua abang dan seorang adik perempuannya tinggal di rumah anak yatim sejak kecil berikutan kesempitan hidup.
Namun, semua mereka terpisah ketika masih kanak-kanak kerana ditempatkan di rumah anak yatim berlainan dan terputus hubungan dengan semua saudara kandungnya itu sehingga masing-masing memasuki alam pekerjaan.
"Namun, pertemuan semula saya dan adik bongsu kira-kira 15 tahun lalu berjaya menyatukan kembali hubungan kami empat beradik dan ketika itu barulah saya tahu bahawa semua adik beradik saya sudah memeluk Islam dan berkahwin dengan orang Melayu.
"Ketika itu saya masih beragama Buddha dan tidak terlintas langsung untuk bertukar agama walaupun dipujuk oleh Nur Fahimah, kerana saya tidak nampak 'keistimewaan' Islam pada masa berkenaan. Namun Nur Fahimah tidak pernah mengalah beliau terus memujuk saya termasuk menggunakan pendekatan halus dengan bersembahyang ketika berkunjung ke rumah saya," katanya.
Nur Shahfiqah berkata, walaupun beliau beragama Buddha, beliau tidak pernah bersembahyang atau menyimpan tokong di rumahnya kerana mengakui masih mencari-cari agama yang sebenar.
Beliau yang fasih berbahasa Melayu berkata, sebelum ini beliau sudah lama membaca buku mengenai Islam dan agama lain, namun hatinya belum terbuka untuk memeluk agama berkenaan.
"Semuanya bermula secara tiba-tiba dan sukar untuk saya ceritakan bagaimana saya mendapat hidayah untuk memeluk Islam. Ketika itu fikiran saya berserabut dan biasanya saya akan mengunjungi pusat karaoke atau berhibur bersama kawan-kawan untuk menghilangkan tekanan.
"Walaupun sudah berhibur, hati saya masih resah dan sedih tanpa sebab, dan apa yang saya ingat ketika itu saya memandang keindahan langit. Tiba-tiba timbul rasa kagum dan persoalan dalam diri saya siapa pencipta-Nya dan pastinya tuhan yang mencipta itu mempunyai kuasa yang bukan calang-calang," katanya.
Beliau berkata, beliau terus menghubungi Nur Fahimah yang menetap di Kuala Lumpur memaklumkan hasratnya untuk memeluk Islam dan meminta adiknya mengajarnya solat.
"Selepas berpisah dengan suami, saya tinggal bersama dua anak perempuan saya berusia 10 dan 14 tahun selain emak, Wong Sooi Thai, 68, di Bukit Mertajam. Walaupun emak saya beragama Buddha, beliau menerima penghijrahan saya sebagai orang Islam dengan baik.
"Malah, dua anak saya juga berminat untuk memeluk Islam kerana melihat perubahan positif saya dari aspek akhlak dan cara hidup. Saya bersyukur kerana kedua-dua mereka turut mengikut jejak langkah saya memeluk Islam.
"Adik saya gembira dengan berita itu dan berjanji akan berusaha membimbing saya untuk memeluk Islam dan menjadi muslim sejati. Namun, saya jelaskan yang saya tidak mahu perubahan drastik kerana saya masih belajar dan mendalami agama ini" katanya.
Nur Shahfiqah berkata, selepas empat bulan memeluk Islam hatinya semakin tenang dan mengakui bahawa Islam itu indah namun ada segelintir pihak yang membuatkan imej Islam itu sebagai agama yang terlalu rigid dan 'berat'.
Dalam pada itu, Nur Shahfiqah berkata, kehadiran NGO dakwah seperti myIKUT sangat bermakna khususnya kepada saudara baharu yang masih belum faham mengenai Islam secara mendalam.
"Komuniti mualaf ini memerlukan tempat rujukan bukan saja dalam soal agama tetapi pembangunan sosioekonomi dan perlindungan. Justeru, kewujudan NGO seperti myIKUT ini sangat membantu mualaf terutama kepada mereka yang masih baharu untuk menyesuaikan diri dengan Islam.
"Malah, kami juga memerlukan bimbingan kaunseling untuk menghadapi cabaran hidup selepas memeluk Islam terutama penerimaan keluarga, rakan dan masyarakat sekeliling termasuk di kalangan umat Islam sendiri," katanya.
Nur Shahfiqah berkata, beliau bersyukur kerana rakan dan keluarga menerima dirinya walaupun kini beliau sudah beragama Islam selain menjelaskan tidak mahu melakukan perubahan drastik kerana masih menyesuaikan diri dengan Islam.
INFO
- Nur Shahfiqah empat beradik termasuk dua abang dan seorang adik perempuannya tinggal di rumah anak yatim sejak kecil berikutan kesempitan hidup.
- Hatinya semakin tenang selepas empat bulan memeluk Islam.
- Tercetus persoalan siapa pencipta selepas memandang langit.
PERASAAN tidak tenteram, sering resah dan fikiran bercelaru akhirnya menjentik hati saudara baharu, Bee Bee, 43, untuk memeluk Islam. - Foto Amir Irsyad Omar
NUR Syahfiqah Chan Abdullah, 43, (dua dari kiri) bersama ibunya, Wong Sooi Thai, 68, (tengah) gembira melihat kedua anak perempuannya, Wan Aibee, 14, (kanan) dan Selena Shen, 10, (kiri) yang terbuka hati untuk memeluk agama Islam semasa ditemui di Taman Cermai, Permatang Pauh, Pulau Pinang. - Foto Amir Irsyad Omar
WAN Aibee, 14, (dua dari kanan) bersama adiknya, Selena Shen, 10, (tiga dari kanan) mendengar taklimat sebelum memulakan majlis mengucapkan dua kalimah syahadah sambil disaksikan Pengerusi Persatuan Infaq Kebajikan Ummah Takaful Pulau Pinang (myIKUT), Muhammad Nur Azley Stanley (lima dari kanan) semasa ditemui di Taman Cermai, Permatang Pauh, Pulau Pinang. - Foto Amir Irsyad Omar
WAN Aibee, 14, (dua dari kanan) bersama adiknya, Selena Shen, 10, (tiga dari kanan) mendengar taklimat sebelum memulakan majlis mengucapkan dua kalimah syahadah sambil disaksikan Pengerusi Persatuan Infaq Kebajikan Ummah Takaful Pulau Pinang (myIKUT), Muhammad Nur Azley Stanley (dua dari kiri) semasa ditemui di Taman Cermai, Permatang Pauh, Pulau Pinang. - Foto Amir Irsyad Omar