Tiada siapa yang terlepas dari kesilapan dalam dunia ini. Nabi Muhammad S.A.W pun pernah ditegur oleh Allah beberapa kali, termasuk cara baginda melayan ‘Abd Allah bin Ummi Maktum sehingga Allah menurunkan Surah ‘Abasa. 

Apatah lagi selain nabi, tentu sahaja bukan sekadar kesilapan, tetapi kesalahan dan dosa. Sebesar mana pun ketokohan dan keilmuannya, dosa tetap akan tertampal dalam kehidupannya. Jika tidak pada perbuatan anggotanya, pada niat dan apa yang tersirat dalam jantung hatinya.

Tiada tokoh agamawan yang sunyi dari dosa. Biar pun sebesar mana nama dan kemasyhurannya. Tiada tokoh sarjana sebijak mana sekalipun, pasti ada kebodohannya. Biar pun sebesar mana kesarjanaan dan kepakarannya. Tiada yang sempurna melainkan Allah.

Manfaat

Jika kita mencari semua yang sempurna tanpa sebarang kekurangan dan menolak setiap yang ada kekurangan dan kecacatan, maka kita tidak boleh hidup di dunia ini. Orang yang pertama kita kena tolak ialah diri kita sendiri yang penuh dengan segala macam kelemahan dan kekurangan. Namun, kita sering memaafkan diri kita apa yang kita tidak maafkan orang lain.

Dalam memperolehi manfaat ilmu dan hikmah, kita juga tidak boleh terlalu ideal sehingga menolak setiap yang kita nampak kecacatan dan kekurangannya. Kita tidak boleh menolak pendapat yang benar hanya kerana perbezaan agama, aliran mazhab, kumpulan, jamaah, parti politik dan seumpamanya. 

Kata al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H): 

"Bersama setiap kumpulan itu kebenaran dan kebatilan. Apa yang menjadi kewajipan ialah bersetuju dengan mereka mengenai apa yang benar yang mereka kata. Juga menolak apa yang batil, yang mereka kata. Sesiapa yang Allah buka untuknya jalan ini (menerima yang benar dan menolak yang salah tanpa mengira dari siapa datangnya) maka bererti Allah telah buka untuknya ilmu dan agama dari setiap pintu. Allah juga akan mudahkan untuk mendapat kedua-dua perkara itu dengan pelbagai sebab". (Tariq al-Hijratain, m.s 386. Saudi: al-Islamiyyah al-‘Arabiyyah).

Ketika menutup kata bagi karya kerohaniannya yang agung iaitu Madarij al-Salikin pula, Ibn Qayyim menyebut lagi: 

"Wahai pembaca! Bagi kamu hasilnya, ke atas penulis tanggungjawabnya. Apa yang kamu dapati pada buku ini dari ketepatan dan kebenaran maka terimalah. Jangan kamu lihat kepada pengucapnya. Bahkan lihatlah kepada apa yang dia kata, bukan siapa yang berkata. Allah mencerca orang menolak kebenaran apabila kebenaran itu datang dari orang yang dia benci. Dia menerima apabila yang berkata itu orang yang dia suka. Ini adalah akhlak golongan yang dikuasai emosi. Kalangan sahabah berkata: ‘Terimalah kebenaran dari sesiapa pun yang berkata walaupun dia dibenci. Tolaklah kebatilan dari sesiapa pun yang berkata walaupun dia dikasihi"(3/384. Beirut: Muassasah Fuad).

Insaf

Inilah sikap golongan yang insaf. Maka tidak menjadi kesalahan dalam kehidupan ini untuk kita memetik dan mengambil pengajaran dari mana-mana tokoh pun. Hanya golongan emosi dan tersesat pemikiran seperti aliran ‘salafi madkhali' yang mengharamkan umat Islam mengambil manfaat pandangan atau pendapat tokoh yang mereka anggap sebagai ahli bid'ah. 

Sudah pasti mereka juga mengharamkan memetik tokoh-tokoh yang bukan beragama Islam. Aliran ini dipelopori oleh beberapa kelompok fanatik yang mendakwa mereka menurut jalan salafussoleh padahal jalan yang mereka ikuti itu adalah jalan emosi yang jauh dari telunjuk al-Kitab dan al-Sunnah.

Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah r.h. pernah berkata: "Allah memerintahkan kita agar tidak berkata kecuali yang benar. Jangan kita berkata tentang Allah tanpa ilmu. DIA memerintahkan kita agar adil dan saksama. Kita tidak boleh apabila seseorang Yahudi ataupun Kristian, apatah lagi Syiah Rafidah berkata sesuatu pendapat yang padanya ada kebenaran lalu kita tinggalkan ataupun tolak kesemuanya. Bahkan kita hanya tolak apabila padanya ada kebatilan dan tiada kebenaran". (Minhaj al-Sunnah al-Nabawiyyah, 2/342. Muassasah Qurtubah).

Fanatik

Kesederhanaan dan kesediaan ini membolehkan ilmu seorang muslim berkembang. Namun fanatik, telah membuta mata banyak pihak dari mengambil manfaat dari pihak yang lain. Ada yang menolak tulisan-tulisan yang baik kerana perbezaan agama. 

Ada tokoh agama yang menolak karya sarjana atas alasan ‘dia orientalis'. Ada yang menolak kerana ‘dia penulis Yahudi', ataupun ‘dia penulis Kristian' dan seumpamanya. Tanpa melihat kepada hujah dan alasan yang dikemukakan.

Begitu juga, betapa kita lihat sebahagian sufi yang menolak pendapat seseorang hanya kerana beraliran salafi, demikian yang salafi enggan mengambil pendapat orang yang dianggap beraliran sufi kerana kononnya tidak semanhaj dengan mereka. Ataupun salafi madkhali yang menolak pendapat kerana ‘ikhwani' dan seumpamanya. 

Menghadkan ilmu dan hikmah kerana ketaksuban kepada sesuatu aliran amatlah merugikan. Banyak kebaikan yang ada dalam aliran salafi dan demikian juga banyak kebaikan yang ada dalam aliran sufi yang terikat dengan al-Kitab dan al-Sunnah. Demikian juga Ikhwani. 

Tiada aliran yang boleh mendakwa bahawa mereka telah menguasai kebenaran secara mutlak sehingga tiada lagi ruang kebenaran di pihak yang lain. Sesiapa yang mendakwa demikian bererti dia telah menjadikan alirannya berstatus agama yang menentukan iman dan kufur seseorang.

Demikian mazhab fekah, tiada siapa boleh mendakwa bahawa segala kebenaran tertumpu kepada mazhab fekah yang dia pegang semata. Tidak Mazhab Syafi'e, tidak Mazhab Hanbali, tidak Mazhab Maliki dan tidak Hanafi yang boleh mendakwa bahawa kebenaran telah dibolot oleh mereka dan mengikut pandangan selain mereka bererti kesalahan. 

Imam-imam yang agung itu tidak pernah mendakwa demikian. Hanya pengikut yang melampaui batas sahaja yang cuba membuat dakwaan yang seperti itu. ‘Jangan keluar Mazhab Syafi'e' nanti awak sesat adalah dakwaan jahil yang tidak berasaskan ilmu sama sekali.

Ijtihad strategi
Kata sarjana fekah yang terbilang Dr ‘Abd al-Karim Zaidan: 

"Sesungguhnya syariat Islam adalah hujah mengatasi seluruh mazhab. Bukanlah mazhab yang menjadi hujah mengatasi syariat Islam... Apabila jelas kepada pengikut sesuatu mazhab bahawa mazhabnya salah dalam masalah tertentu, sementara kebenaran berada pada pendapat yang lain dan masalah itu cukup jelas baginya, maka hendaklah dia bertukar mazhab kepada pendapat yang benar dalam masalah tersebut...harus bagi pengikut sesuatu mazhab mengikut mazhab lain dalam sebahagian masalah. Ini kerana tidak wajib kepadanya untuk terikat dengan semua ijtihad mazhabnya. Dengan syarat ia disebabkan oleh dalil yang menuntutnya berubah dari mazhabnya ke mazhab yang lain dalam masalah tertentu. Demikian juga harus untuk dia bertanya mana-mana ahli fekah bukan dari mazhabnya dalam sebarang hukum syarak. Dia boleh beramal berdasarkan apa yang difatwakan kepadanya". (Dr Abd al-Karim, Al-Wajiz fi Usul al-Fiqh, m.s. 412-413, Beirut: Muassasah al-Risalah)

Betapa kita lihat sesetengah fanatik politik PAS yang enggan mendengar pendapat seseorang hanya kerana orang itu Umno. Demikian juga sebaliknya. Padahal parti politik itu bukan diasaskan atas dalil-dalil syara' seperti mazhab fekah. 

Lagikan mazhab fekah tidak mutlak kebenarannya, inikan parti politik yang hanya atas ijtihad strategi dan pandangan politik yang terdedah kepada betul dan salah. Bukan semua pendapat UMNO itu salah dan bukan semua pendapat PAS itu betul. Begitu juga sebaliknya. PKR dan DAP juga demikian. 

Keluasan menerima pendapat adalah ajaran agama ini yang mesti kita manfaatkan. Kebenaran itu merentasi sempadan agama, mazhab, kumpulan dan lain-lain. Namun Islam sebagai al-din adalah kebenaran mutlak.

PROF MADYA DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN adalah bekas mufti Perlis.