Saya tertarik dengan segelintir yang mendakwa diri mereka beraliran ‘salaf' tetapi bersikap jauh dari jalan salaf. Apabila politik yang mereka bernaung di bawah ketiaknya menyokong rejim-rejim tentera di negara-negara yang sedang bergolak itu, mereka pun menari rentak yang sama. 

Seakan mereka melupai pembunuhan, pembakaran masjid, gas yang meragut anak-anak tidak berdosa dan segala macam kezaliman lain, yang mereka sibuk ia membaca dalil pengharaman demonstrasi. Dalil pembunuhan bagai dilupakan. Kemudian mereka mengiktiraf pula perampasan kuat secara tentera yang jauh lebih ganas dari demonstrasi. 

Tambahan lagi, mereka cari dalil-dalil menunjukkan golongan Islamis yang menang secara peraturan itu tidak tepat akidahnya dan ada kesalahan fekahnya. Malangnya, dalam masa yang sama, tidak pula mereka bertanya tentang akidah sosialis, sekularis, liberalis dan segala macam lagi yang dianut oleh regim-regim yang zalim itu.

Seakan Al-Quran, al-Sunnah dan ajaran Salaf itu hanya terpakai untuk menilai golongan Islamis sehalus-halusnya tetapi dibiarkan mereka yang zalim bermaharajalela.

Kesalahan dan kesilapan golongan Islamis bagaikan dosa yang tidak ampun sehingga pembunuhan dan penyiksaan ke atas mereka seakan sesuatu yang ringan. Sementara regim-regim pula tidak ditanya apakah akidah dan fekah yang mereka anuti.

Dosa Dan Silap

Manusia yang melakukan ‘dosa' dan kesalahan itu terbahagi kepada dua kelompok. Pertama; orang yang tidak berniat untuk menuruti jalan yang benar. Sesuatu yang betul itu bukan hasrat yang ingin dicapainya. Dia hanya memikirkan tentang kepentingan dirinya sahaja sehingga dia terjatuh dalam kesalahan ataupun dosa. 

Kedua; orang ingat mencari kebenaran. Berusaha untuk menuruti jalan yang benar. Itulah hasratnya. Pun begitu, telah berlaku kesilapan atas pandangan ataupun tindakan yang diambil lalu dia kelihatan berdosa dan salah.

Golongan yang pertama adalah golongan pengikut hawa nafsu. Mereka merupakan para pembuat dosa dan penderhaka kepada Allah. Mereka telah meminggirkan larangan Allah semata-mata untuk kepuasan diri. Golongan ini ditempelak oleh al-Quran dalam ayat-ayatnya. 

Antaranya, Allah menempelak golongan ‘ulama Yahudi' yang menolak hujah yang benar semata-mata kerana ingin menurut hawa nafsu mereka. Firman Allah yang bermaksud: 

"Katakanlah (Wahai Muhammad): "Kalau demikianlah sikap kamu maka bawalah sebuah kitab dari sisi Allah yang dapat memberi panduan lebih daripada keduanya (Taurat dan al-Quran) supaya aku menurutnya. (Bawalah) jika betul kamu orang-orang yang benar. Kemudian, kalau mereka tidak dapat menerima cabaranmu (Wahai Muhammad), maka ketahuilah, sesungguhnya mereka hanyalah menurut hawa nafsu mereka; dan tidak ada yang lebih sesat daripada orang yang menurut hawa nafsunya dengan tidak berdasarkan hidayah petunjuk dari Allah. Sesungguhnya Allah tidak memberi pimpinan kepada kaum yang zalim" (Surah al-Qasas: 49-50).

Cari kebenaran

Adapun mereka yang cuba mencari kebenaran dan ingin menuruti jalan yang benar kemudian tersalah maka ini diampunkan oleh Allah. Ini selagi mana hasrat mereka murni dan cuba sedayanya menuruti jalan yang betul. 

Justeru, Allah mengajar kita dalam al-Quran untuk kita berdoa yang bermaksud: "Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersilap". (Surah al-Baqarah ayat 286)

Kata al-Sa'di ketika menafsirkan ayat ini: 

"Nisyan (lupa) bermaksud hilang (tidak ingat) dari kalbu apa yang diperintahkan lalu ditinggalkan secara terlupa. Sementara khata` (tersilap) bermaksud seseorang bertujuan melakukan sesuatu yang dibolehkan namun perbuatannya itu terjatuh ke dalam perkara yang dia tidak dibolehkan (larangan) lakukan. Kedua perkara ini (lupa dan silap) Allah ampunkan jika berlaku pada umat ini disebabkan rahmat dan ihsan Allah". (al-Sa'di, Taisir al-Karim al-Rahman, m/s 121. Beirut: Muassasah al-Risalah).

Maka, apabila kita membicarakan mengenai golongan yang tersilap ini kita hendaklah lebih berhati-hati. Apabila zahir pada seseorang itu kesungguhan mencari kebenaran dan keikhlasan mencari petunjuk yang dapat dikesan pada amalan zahir yang tahu - adapun yang batin kita serahkan pada Allah - maka kita tidak boleh menghukum ataupun menilainya seperti mereka yang melakukan dosa dalam kelompok yang pertama yang sememangnya tidak ingin mencari kebenaran. 

Tidak sama mereka yang tersilap dalam amalan solatnya dengan mereka yang sengaja membuat silap ataupun yang langsung tidak bersolat. Juga kita tidak boleh samakan mereka yang tersilap pendekatan dalam dakwah sama dengan yang menentang dakwah. Bagaimana mungkin untuk disamakan Mursi dan al-Sisi! Adakah sama antara rakyat Syria yang beriman dengan Basyar Asad yang zalim!

Insaf

Manhaj Ahlus Sunnah Wal Jama'ah (ASWJ) sepatutnya membawa kita insaf dalam menilai pihak lain. ASWJ tidak seperti ajaran sesat Ahbash ataupun Salafi Madkhali yang sering mengkafirkan ataupun menyesatkan sesiapa sahaja yang berbeza ijtihad ataupun pandangan dengan mereka.

Ini tidak menghalang untuk kita mengkritik kesilapan itu dengan ilmiah dan fakta yang bernas. Namun kita tidak akan menyamakan pencinta agama dengan penjenayah yang memang bermaksud buruk dan tidak berhasrat baik.

Dalam agama ini, kita akan dapati sepanjang sejarah pelbagai imam dengan pelbagai ijtihad mereka. Ada yang kita mungkin setuju, mungkin ada yang sebaliknya. Di sudut ilmiah, tiada siapa yang maksum. Setiap pandangan berhad dinilai dan dikritik.

Al-Imam al-Zahabi (meninggal 748H) terkenal dengan sikap ‘i'tidal (tidak melampau) dalam membuat penilaian ketika menulis karya agungnya Siyar A'lam al-Nubala`. 

Ketika beliau membicara tentang tokoh besar hadis, Muhammad bin Nasr al-Marwazi, beliau menyebut nukilan dari al-Hafiz Ibn Mandah yang menyatakan Muhammad bin Nasr al-Marwazi ini dengan terang menyebut bahawa iman, ikrar, syahadah dan bacaan al-Quran dengan lafaznya adalah makhluk. 

Ucapan ini menyanggahi mazhab ahli hadis di zaman itu. Maka para ulama telah memulaukannya. Para sarjana besar (imam) di Khurasan dan Iraq telah menyanggahinya. Al-Imam al-Zahabi juga turut mengkritik kenyataan Muhammad bin Nasr itu. Namun, beliau ikuti kritikannya dengan kenyataan berikut: 

"Jika kita ini setiap kali seseorang sarjana (imam) itu tersilap dalam ijtihadnya pada masalah yang kesilapan itu diampunkan, tetapi kita bangkit tentang lantas kita bid'ahkan, kita pulaukan, maka tidak akan selamat (Muhammad) Ibn Nasr, Ibn Mandah dan mana-mana tokoh yang lebih besar dari kedua mereka. Allah itu penunjuk hamba-hambaNYA kepada kebenaran. DIA paling pengasih dalam kalangan yang pengasih. Kita berlindung dengan Allah dari hawa nafsu dank eras hati". (14/39-40. Beirut; Muassasah al-Risalah).

Dalam sejarah ilmu, ada imam tafsir yang agung iaitu al-Imam Mahmud al-Zamakhsyari (meninggal 538H) yang terkenal denganTafsir al-Kassyaf. Beliau seorang yang bermazhab Muktazilah. Pun begitu ketokohan dan karya diakui dalam dunia Sunni sehingga ke saat ini. 

Al-Imam al-Zahabi menggelarnya al-‘Allamah bermaksud yang tersangat berilmu. Kemudian diikuti dengan sebutan ‘kabir al-Mu'tazilah' iaitu tokoh besar Muktazilah. Setelah menyebut kelebihannya dalam ilmu, al-Zahabi menutup dengan berkata: "Dia pendakwah kepada Muktazilah. Moga Allah memaafkannya". (20/151).

Apakah hanya kerana beberapa perbezaan ijtihad dalam akidah dan fekah, kita membolehkan kezaliman ke atas mereka yang cintakan agama. Dalam masa yang sama kita lupa pula pegangan rejim-rejim yang zalim itu! 

Sekali lagi saya memetik kata-kata Al-Syeikh Muhibb al-Din al-Khatib menyebut: 

"Kita kaum muslimin tidak beriktikad kemaksuman seseorang selepas Rasulullah SAW. Sesiapa sahaja yang mendakwa kemaksuman seseorang selepas Rasulullah SAW maka dia berdusta. Insan itu tetap insan. 

"Terbit darinya apa yang terbit dari insan. Maka, ada padanya kebenaran dan kebaikan. Ada juga padanya kebatilan dan kejahatan. Boleh jadi kebenaran dan kebaikan pada insan tertentu dalam lingkungan yang luas, maka dia dinilai dalam kalangan ahli kebenaran dan kebaikan. Ini tidak menghalang untuk terjadi kepadanya beberapa kesilapan. 

"Boleh jadi kebatilan dan kejahatan pada insan yang lain dalam lingkungan yang luas, maka dia dinilai dalam kalangan ahli kebatilan dan kejahatan. Ini tidak menghalang untuk tercetus dari beberapa cetusan kebaikan pada waktu-waktu tertentu. 

"Wajib kepada sesiapa yang berbicara mengenai ahli kebenaran dan kebaikan, jika dia tahu mereka ada beberapa kesilapan, janganlah dia rosakkan kebenaran dan kebaikan mereka yang banyak itu. Janganlah dipadamkan segala kebenaran dan kebaikan disebabkan kesalahan-kesalahan tersebut. 

"Wajib pula kepada sesiapa yang berbicara mengenai ahli kebatilan dan kejahatan, jika dia tahu ada beberapa cetusan kebaikan mereka, janganlah dia kelirukan orang ramai bahawa seakan mereka itu dalam kalangan golongan yang soleh hanya kerana amalan kebaikan mereka yang jarang dan ganjil itu." (Tahqiq al-‘Awasim min al-Qawasim, m.s 47. Beirut: Dar al-Jail)