Saya
baru sahaja pulang dari umrah dua hari lepas. Lima hari saya di Mekah.
Alhamdulillah, setelah hampir setahun saya tidak ke Mekah, saya
direzekikan Allah untuk kembali ke sana. Bumi Mekah itu sentiasa menjadi
kerinduan jiwa.
Kita tidak mencari Tuhan di Mekah kerana
Tuhan
itu hadir di mana sahaja kita berada. Ia lebih dekat kepada kita dari
urat tengkok kita sendiri. Tuhan sentiasa hampir kepada mereka yang
memanggil dan mengharapkannya sekalipun seseorang itu berada begitu jauh
dari Mekah.
Kita ke Mekah untuk menunaikan ibadah. Kita ke
Mekah untuk mencari limpahan keberkatan yang Tuhan janjikan. DIA telah
melimpahkan keberkatanNYA kepada beberapa tempat dan waktu yang disebut
dalam nas-nas al-Quran dan al-Sunnah, dan
Mekah adalah ibu tempat
limpahan keberkatan. Bergambar Zaman
telah berubah. Dahulu, tidak ramai orang kita yang dapat sampai ke
Mekah. Namun hari ini, atas kurniaan rezeki yang Allah berikan kepada
penduduk muslimin dalam negara ini, orang Malaysia melimpahi Mekah dan
Madinah setiap waktu cuti. Di sana-sini saya bertemu orang Malaysia dan
sering kali mereka meminta untuk bergambar bersama.
Seingat saya
dalam empat hari di Mekah, ratusan gambar saya yang diambil. Walaupun
saya sebenarnya tidaklah begitu ‘seronok' kerana saya tahu tiada apa
yang istimewa bagi seseorang bergambar dengan saya. Siapalah saya ini?
Tiada keberkatan, tiada pula harga di pasaran. Saya sama seperti mereka
juga, mencari keberkatan Tuhan di sana.
Bahkan mereka yang
bergambar itu mungkin jauh lebih mulia di sisi Allah dibandingkan saya.
Terkenal nama, bukan bererti mulia.
Hanya Allah Yang Maha Mengetahui
hakikat hamba-hambaNYA. Namun, jika itu hasrat mereka, sebagai insan
yang bersosial maka saya izinkan saja. Saya rasa mereka pun faham
hakikat itu.
Mungkin bagi mereka sekadar kenangan di samping
gambar pelbagai latar dan manusia lain yang mereka perolehi. Namun,
dukacita jika ada yang lebih sibuk dengan kamera dari menumpukan
perhatian kepada ibadah di tempat yang berkat tersebut sedangkan tempoh
mereka di sana tidaklah lama.
Liberalisme Semasa
di Mekah baru-baru ini saya menginap di Hotel Hilton. Setiap pagi,
hotel itu membekalkan akhbar Saudi Gazette. Kalau berdasarkan
berita-berita akhbar berkenaan, perjuangan hak wanita di Arab Saudi
makin rancak. Saya tahu, agak lama gerakan yang dilabelkan oleh ulama
konservatif Saudi sebagai liberalism berjalan di Saudi.
Golongan
agamawan yang menguasai banyak institusi kerajaan Saudi cuba menghadapi
arus ini. Namun, ia bukannya mudah. Makin berkembang atas banyak
faktor. Antaranya, golongan bangsawan sendiri ramai yang menyokong.
Juga,
disebabkan corak pemikiran agama yang dikatakan agak beku di Arab
Saudi, Raja Abdullah telah menghantar ramai para pelajar Saudi termasuk
dalam bidang agama ke universiti-universiti di Barat. Mereka mendapat
biasiswa dan akan menjadi tenaga pengajar di universiti-universiti di
Arab Saudi.
Faktor bahasa Inggeris yang begitu berkembang di
negara-negara Teluk seperti Qatar dan UAE amat menyumbang. Saudi juga
terkena tempiasan walaupun belum sekuat negara-negara tersebut.
Buku-buku yang mengkritik keadaan di Saudi juga mula dibaca oleh
golongan muda.
Novel ‘Princess' yang merupakan
international bestseller tulisan Jean Sasson yang mendedahkan tentang keadaan wanita dalam keluarga di Raja Saudi sudah dibaca oleh banyak pihak.
Walaupun
ada pihak yang mempertikaikan sejauh manakah keaslian cerita tersebut,
namun banyak perkara yang disebutkan itu berasas yang dapat dirasai oleh
wanita Saudi. Berita-berita pro-aliran pembaharuan ini banyak dalam
akhbar berbahasa Inggeris.
Ini dapat mengurangkan serangan dari
golongan konservatif agama yang tidak membaca atau mampu membaca akhbar
dalam bahasa tersebut. Jika tidak tentu pelbagai fatwa akan
diistiharkan. Itu pun dah banyak ‘hukuman' telah dikeluarkan.
Faktor
internet juga memainkan peranan penting dalam menggerakkan minda
perubahan di Saudi. Maklumat tentang dunia, hak wanita dan rakyat sudah
tidak dapat disekat. Twitter dan Facebook membantu usaha pembaharuan
golongan muda.
Kegagalan Ada
satu faktor yang ingin saya tegaskan ialah soal kegagalan golongan
agamawan untuk menangani masalah semasa yang dihadapi oleh umat.
Kecenderungan kepada mengharamkan perkara-perkara baru tanpa memberikan
jalan keluar ataupun alternatif kepada masalah menjadikan agama
kelihatan tidak relevan pada mata mereka yang salah faham.
Umpamanya,
sekian lama ulama Saudi mengharamkan wanita memandu kereta kononnya itu
boleh membawa kerosakan akhlak ataupun fitnah. Demikian soal mewajibkan
purdah. Sekarang segolongan ulama Saudi sibuk pula menentang cadangan
membenarkan wanita Saudi bekerja di premis perniagaan seperti di kedai
ataupun supermarket.
Alasannya sama, membawa fitnah.
Dukacitanya, dalam masa yang sama mereka tidak sibuk untuk memperkatakan
tentang keganasan rumahtangga secara bersungguh seperti mereka sibuk
menghalang wanita memandu dan berniaga. Akhirnya dilihat agama bagaikan
berat sebelah. Hanya asyik menghukum wanita tetapi memberikan pelbagai
kuasa ‘penindasan' kepada lelaki.
Dalam akhbar Saudi Gazette bertarikh 2 Jun 2013 bertajuk:
‘Hit her if you dare'. Ia menceritakan sekumpulan muda wanita melancarkan kempen
anti-domestic violence
(anti keganasan rumahtangga). Kumpulan ini diusahakan oleh Libra
Productions, sebuah studio pengeluar audio dan muzik di Jeddah.
Usaha
yang seperti ini sepatutnya dijuarai oleh para ulama khususnya mereka
yang ternama dan berkedudukan. Fatwa-fatwa membela wanita sepatutnya
jelas kedengaran dan diedarkan secara meluas seperti mana kesibukan
mereka dengan fatwa-fatwa yang mengongkong wanita.
Walaupun
sebahagian fatwa itu mempunyai asas dalil yang kuat, namun sebahagian
yang lain hanya atas sentimen semata tanpa hujah yang kukuh seperti isu
memandu dan melarang wanita berniaga. Sementara yang lain, hanya
sentiment mazhab seperti isu purdah.
Wanita Saudi patut membaca buku
Tahrir al-Mar'ah fi ‘Asr al-Risalah
tulisan Abd al-Halim Abu Suqqah yang menggambarkan kehidupan wanita
pada zaman Nabi SAW. Maksud buku itu ialah Pembebasan Wanita di Zaman
Nabi Muhammad s.a.w. Baginda sebenarnya membebaskan wanita dari
kongkongan jahiliah dan kekejaman lelaki. Apa yang berlaku dalam
sesetengah masyarakat beragama seakan membawa kepada sebaliknya.
Wahabi Arab
Saudi sering dikaitkan dengan fahaman Wahabi. Asalnya, ia merujuk
kepada gerakan Muhammad bin Abd al-Wahhab. Mulanya, ia sebuah gerakan
pembaharuan yang sepatutnya menghidupkan 'reform'. Antara yang bagus
dalam gerakan itu ialah keluasan bermazhab dan melihat dalil dari
pelbagai pihak.
Dalam sejarah gerakan tersebut, ia telah menjadi
inspirasi kepada banyak gerakan lain di dunia ini. Sehingga para ulama
Deoband India yang beraliran Asha'irah dan Maturidiyyah juga dituduh
Wahabi oleh penduduk di sana. Golongan pembaharuan di Indonesia dan
Tanah Melayu juga dituduh Wahabi sejak dahulu sehingga hari ini.
Prof
Hamka dituduh Wahabi, gerakan Kaum Muda yang membela wanita Melayu
dalam pelajaran dan rumahtangga dilabel sebagai wahabi dan pelbagai
lagi. Padahal - walaupun ada beberapa sudut persamaan - di Tanah Melayu
pengaruh Muhammad Abduh dan Rasyid Ridha yang lebih kuat. Wahabi telah
dijadikan jenama untuk golongan konservatif menuduh musuh-musuh mereka.
Ini
menunjukkan pengaruh gerakan pembaharuan Muhammad ‘Abdul Wahhab begitu
kuat. Sehingga Dr Wahbah al-Zuhaili menyebut : "Sesuatu yang tiada syak
padanya, menyedari hakikat yang sebenar, bukan untuk meredhakan sesiapa,
berpegang kepada ayat al-Quran yang agung yang bermaksudnya:
"Jangan
kamu kurangkan manusia apa yang menjadi hak-haknya (Surah Hud: 85),
bahawa suara kebenaran yang paling berani, pendakwah terbesar untuk
islah (pembaikian), membina umat, jihad dan mengembalikan individu
muslim kepada berpegang dengan jalan salafus soleh yang terbesar ialah
dakwah Muhammad bin ‘Abdul Wahhab pada kurun yang kedua belas
hijrah.Tujuannya untuk mentajdidkan kehidupan Muslim, setelah secara
umum dicemari dengan berbagai khilaf, kekeliruan, bid'ah dan
penyelewengan. Maka Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab ialah pemimpin
kebangkitan agama dan pembaikian (islah) yang dinantikan, yang menzahir
timbangan akidah yang bersih."
(Dr Wahbah al-Zuhaili, Risalah Mujaddid al-Din fi Qarn al-Thani ‘Asyar, m.s 57-58).
Namun
malangnya, ramai pewaris gerakan itu dan golongan yang menggunakan
jenama ‘salafi' memilih untuk bermazhab dengan kejumudan dalam memahami
nas-nas agama. Mereka enggan memahami keluasan nas dengan melihat kepada
konteksnya yang sepatut. Lalu mereka jumud dalam muamalat sehingga
gagal menghidangkan Islam yang dapat menangani perkembangan masyarakat
hari ini.
Maka, ‘wahabi' menjadi jenama kejumudan bukan lagi
keluasan. Ia telah seiras dengan golongan konservatif agama yang sedia
ada walaupun berbeza dalam beberapa perkara. Bahkan segelintir golongan
yang dinamakan wahabi itu mengharamkan
Fiqh al-Waqi' ataupun memahami realiti dalam berfatwa. Ini disebabkan kejumudan minda dan kedangkalan memahami
Usul al-Fiqh.
Di
samping sibuk dengan isu-isu pinggiran seperti isbal, muzik,
mengklasifikasikan orang, menyesatkan mereka yang tidak sealiran,
sebahagian mereka yang menggelar diri salafi itu pula sibuk menjadi
lidah yang membela para pemerintah yang mungkar.
Mereka
mengumpulkan dalil untuk berhujah tentang kewajipan mentaati pemerintah
dalam apa keadaan sekalipun, tapi mereka tidak mengumpulkan dalil
tentang haramnya kezaliman, rasuah, penyalahgunaan kuasa, penindasan hak
dan pelbagai perkara yang lain.
Mereka gagal melihat dalil
dalam konteksnya. Mereka mengikut salaf dalam perkara yang mereka mahu,
dan meninggalkan salaf dalam perlara yang bertentangan dengan nafsu
penguasa yang mereka patuhi.
Maka jadilah jenama salafi ataupun ‘wahabi' itu makin disalahfahami dan mengelirukan.
PROF MADYA DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN bekas mufti Perlis.