SAYID Qutub berkata: "Menurut satu riwayat turunnya surah ini ialah pemimpin Quraisy berkumpul di Darun Nadwah (Dewan Persidangan) merancangkan langkah jahat menentang Rasulullah SAW dan dakwah yang dibawa kepada mereka.
Apabila berita ini sampai kepada Baginda, beliau berdukacita lalu berselimut dan tidur dalam keadaan runsing. Ketika itulah Jibril a.s. datang membawa wahyu kepada Baginda.
Surah ini mengikut pendapat al-Hasan, Ikrimah, Ata', Jabir, Ibn Abbas dan Qatadah termasuk dalam surah Makiyyah.
Firman Allah SWT: Hai orang yang berselimut (Muhammad). Bangunlah (untuk sembahyang) di malam hari, kecuali sedikit (daripadanya). (al-Muzammi: 1-2)
Al-Mawardi menyebut tiga pendapat:
* Yang berselimut dengan kenabian. Inilah pendapat Ikrimah.
* Dengan Quran. Inilah pendapat Ibn Abbas.
* Dengan pakaiannya. Inilah pendapat Qatadah.
Berkenaan dengan Bangunlah (untuk sembahyang) di malam hari, kecuali sedikit (daripadanya) ada dua pendapat:
* Kecuali sedikit daripada bilangan malam yang kamu tidak bangunnya.
* Kecuali sedikit daripada masa pada setiap malam yang kamu tidak bangunnya.
Al-Maraghi berkata: "Wahai Nabi yang berselimut dengan kain, bersiap sedialah untuk bersembahyang, kerjakanlah solat malam selain sedikit masa yang digunakan untuk berehat."
Firman Allah SWT: (Iaitu) seperduanya atau kurangilah dari seperdua itu sedikit. Atau lebih dari seperdua itu dan bacalah al-Quran itu dengan perlahan-lahan. (al-Muzammil: 3-4)
Al-Maraghi berkata: "Baginda diperintah agar mengerjakan sembahyang pada sebahagian malam, atau lebih sedikit atau kurang sedikit daripada sebahagian malam itu. Tanpa ada halangan baginya untuk memilih salah satu daripadanya. Selepas Allah SWT memerintahkan Nabi SAW supaya bangun pada waktu malam untuk solat, Dia memerintahkan Baginda membaca al-Quran secara tartil."
Firman Allah SWT: Sesungguhnya kami akan menurunkan kepadamu perkataan yang berat. (al-Muzammil: 5)
Al-Hasan Ibn Fadl berkata: "Perkara yang berat lagi sukar hanya dapat dipikul dan dihadapi oleh hati yang dihiasi dengan taufik dan tauhid."
Ibnu Zaid berkata: "Demi Allah! al-Quran itu adalah berat tetapi ia diberkati pada hari Kiamat nanti akan ia akan memberatkan timbangan."
Firman Allah SWT: Sesungguhnya bangun di waktu malam adalah lebih tepat (untuk khusyuk) dan bacaan di waktu itu lebih berkesan. (al-Muzammil: 6)
Disebut nasyaa jika seseorang bangun pada waktu malam hari. Diriwayatkan daripada Mujahid iaitu waktunya setelah Isyak.
Abi Mujliz, Qatadah, Salim, Abu Hazim dan Muhammad bin al-Munkadir berkata: "Tujuannya nasyiatul lail bermaksud malam. Dan setiap saat pada malam disebutnasyiah. Ia bermaksud bangun malam lebih sesuai antara hati dan lisan. Bacaan al-Quran ketika itu lebih memberikan kesan yang lebih mendalam."
Ada enam takwilan berkenaan ayat ini:
* Qiamullail mengikut lughah habasyah. Inilah pendapat Ibn Mas'ud.
* Antara Maghrib dan Isyak. Inilah pendapat Anas bin Malik.
* Selepas Isyak. Inilah pendapat al-Hasan dan Mujahid.
* Beberapa waktu malam kerana begitu cergas untuk beribadat. Ini pendapat Ibnu Qutaibah.
* Permulaan malam. Ini pendapat Ata' dan Ikrimah.
* Semua malam dipanggil nasyiah kerana ia wujud selepas siang seperti pendapat Ibnu Abbas.
Al-Maraghi berkata: "Ibadah malam qiamullail akan meninggalkan kesan yang lebih kuat dan berlakunya kesatuan hati dengan lidah. Justeru, dengan mengerjakannya lebih menumpukan fikiran untuk meneruskan bacaan dan memahaminya kerana pada waktu malam pasti memberi ketenangan kepada hati berbanding dengan waktu siang."
Hamka berkata: "Abdullah bin Mas'ud memberi peringatan jika membaca al-Quran jangan tergesa-tergesa, terburu-buru, bahkan dibaca dengan perlahan tanpa perlu mendendangkan syair. Sekiranya bertemu dengan sesuatu keajaibannya dan hikmah maka berhenti sejenak dan renungkanlah untuk iktibar."
Oleh itu, terdapat kaitan antara solat tengah malam dan membaca Quran secara tartil dan ia banyak dilakukan oleh Nabi SAW ketika bulan Ramadan serta solat terawih. Ini lebih mendekatkan diri kepada Allah SWT dan perbuatan yang diredai-Nya.
No comments:
Post a Comment