Saturday, June 16, 2012

Mia yang aktif

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

MIA leka bermain anak patung baby alive.

KETIKA ini, kalau ditanya siapa pelakon kanak-kanak yang paling digemari, pasti nama Mia Sara Nasuha Muhammad Ridhuan, 7, yang menjadi sebutan.
Wajahnya yang comel itu membuatkan mata penonton tidak lepas pandang setiap kali Mia muncul beraksi di layar kaca atau filem.
Gelagatnya yang bersahaja apabila berlakon memperlihatkan Mia sebagai seorang berbakat dan lebih matang dari usia sebenarnya.
Namun sewaktu S3 berpeluang berkunjung ke rumahnya di Kota Damansara, Selangor baru-baru ini, Mia yang saya lihat sama sahaja seperti kanak-kanak lain.
Semua benda hendak ditunjuk pada saya dan jurufoto. Nasib baik papanya, Muhammad Ridhuan Muhammad Salleh menghalang kerana dalam tempoh terbatas itu, Mia perlu ke sekolah pada pukul 12.45 tengah hari.
Mia merupakan pelajar tahun satu sesi petang, kelas satu Ikhlas, Sekolah Kebangsaan Seksyen 6, Kota Damansara.
“Kalau tidak ditegur, mengadap tv saja kerjanya. Selalunya sebelum dia tengok tv, saya akan pastikan dia siapkan kerja sekolah terlebih dahulu.
“Sebelum itu saya akan mengajar Mia baca Muqaddam. Pagi-pagi rumah kami memang sunyi sebab kakak dan abangnya, Adriana Izzati, 11 dan Muhammad Danish Iman, 8, sekolah sesi pagi. Adiknya, Amani Iman, 2 pula saya hantar rumah pengasuh," cerita Muhammad Ridhuan.
Mia yang sempat bertanya pada saya barang apa yang perlu dibawa ke sekolah untuk pembelajaran berkata, dia suka mata pelajaran sains kerana banyak aktiviti.
Sambil menunjukkan anak patungnya baby alive yang boleh makan dan minum, kemudian membuang air besar dan air kecil itu, Mia bercerita di sekolah dia berkawan baik dengan Alisya Dania dan Aliana.
“Mia dah tengok jadual waktu ke belum. Buku yang perlu dibawa sudah dimasuk ke dalam beg belum?" tanya papanya pada Mia yang leka bermain anak patung itu.
“Sudah papa. Auntie nak tengok tak buku Matematik Mia," katanya lantas berlari ke meja untuk mengeluarkan kerja sekolahnya itu.
Biarpun Mia sibuk sebagai pelakon sejak usia lima tahun namun dia tidak pernah ketinggalan dalam pelajaran.
Sebagai pengurus, Muhammad Ridhuan berkata, dia hanya akan menerima tawaran berlakon untuk Mia pada hujung minggu atau cuti sekolah sahaja.
“Sekarang ini memang saya memilih sikit untuk Mia. Perlu selektif untuk menjaga namanya. Kalau ikutkan, semua dia nak berlakon. Semua orang ingat saya yang paksa Mia berlakon, sebenarnya semua atas kehendak Mia.
“Bila Mia nak berlakon sangat, saya beri syarat supaya buat betul-betul. Saya perlu bertegas kerana sejak dia aktif berlakon, saya perlu berhenti kerja untuk menjaganya," katanya terus terang.
Kelas agama
Mia yang dihantar dan diambil ke sekolah oleh papanya tidak berkesempatan mengikuti kelas agama seperti rakan-rakan lain. Namun Muhammad Ridhuan tidak pernah mengabaikan ilmu agama terhadap anak-anak.
Katanya, setiap Rabu, pukul 8 hingga 9.30 malam, Mia dan adik-beradik akan belajar tajwid di masjid berhampiran.
“Bukan saya tidak mahu hantar Mia ke kelas agama, takut pelajarannya terganggu kalau sering ponteng untuk berlakon. Jadi saya panggil guru untuk mengajar Iqra di rumah setiap pagi Rabu hingga Jumaat.
“Mia mula belajar Iqra sejak tahun lepas. Kalau ikutkan jadual Mia memang padat tapi saya perlu pantau. Setakat ini, semuanya dalam kawalan," katanya tanpa berselindung.
Ketika sibuk bercerita itu jugalah Muhammad Ridhuan mengarah Mia ke atas untuk menukar baju. Sebaik sahaja Mia selesai mengenakan pakaian sukan untuk ke sekolah, Muhammad Ridhuan tanpa kekok menyikat rambut dan menyapu bedak ke wajah puterinya.
“Kita pergi makan dulu ya kat gerai depan. Selalunya macam inilah, saya akan bawa dia makan di kedai sebelum hantar ke sekolah," ceritanya sambil menuju ke dapur untuk mengambil bekas air untuk Mia bawa ke sekolah.
Mia yang leka memakai kasut di hadapan muka pintu rumah turut menyoal papanya tentang wang sakunya.
Sewaktu kami sampai di gerai nasi ayam, saya lihat Mia seperti kanak-kanak lain culas untuk makan walaupun dia sebenarnya kelaparan.
“Papa cepatlah suapkan Mia makan," pintanya sambil mencuit nasi di pinggan dengan sudu.
Jelas Muhammad Ridhuan, selalunya dia akan makan dahulu sebelum menyuap Mia makan.
“Dia ni kalau bersuap, pantas saja. Cepat Mia, kita sudah tidak ada waktu ni," pujuknya.
“Ala papa tak buat bunyi kapal terbang pun," rengek Mia.
Mahu tak mahu terpaksalah dia melayan karenah Mia sambil menggayakan sudu yang penuh dengan nasi sebagai ‘kapal terbang’ sebelum mendarat ke mulut anaknya.
Sebaik sahaja selesai makan, Muhammad Ridhuan terus menghantar Mia ke sekolah. Sebaik sahaja bersalam dengan papanya, Mia terus berlari ke kawasan sekolah.
Meskipun Mia telah berlakon drama Adamaya, Epilog Syurga Cinta, Tiramisu, Zoo The Series, Begitukah Cinta, Pengorbanan Terakhir dan Cinta Buat Emelda namun sifat kanak-kanaknya tetap menebal.
Mia yang telah berlakon filem Nur Kasih The Movie, Sekali Lagi dan Papa I Love You, bakal muncul dalam filem Lagenda Budak Setan 3 tidak lama lagi.
Lain-lain komersial lakonan Mia adalah produk susu kanak-kanak, Astro Beyond, pelembut pakaian Softlan, Bank Islam dan syarikat telekomunikasi seperti Celcom dan TM.





No comments: