Anwar sokong Dr. Zakir kekal di Malaysia
KUALA TERENGGANU 24 Ogos - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini turut menyatakan pendiriannya bahawa pendakwah antarabangsa, Dr. Zakir Naik tidak perlu dihantar pulang ke negara asalnya, India.
Beliau menegaskan, Dr. Zakir sewajarnya dibenarkan tinggal di Malaysia selagi kehadirannya ke negara ini tidak mengundang konflik serta perbalahan kalangan rakyat.
Pada masa sama Anwar turut menyatakan sokongannya terhadap pendirian serta keputusan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang membenarkan pendakwah terkenal itu tinggal di Malaysia dan tidak dihantar pulang ke India.
Beliau seterusnya mengakui mengenali Dr. Zakir termasuk menghadiri program kendalian pendakwa berkenaan di Bombay, India sebelum ini.
"Dr. Zakir Naik ini, saya kenal dia dan saya pernah hadir sidang dia di Bombay. Dia ada kekuatan sebagai pendakwah tapi kita bukan taksub. Pendekatan dia itu dalam konteks di sini (Malaysia) yang kemudian mengundang perbalahan, dia bukan daei yang baik.
"Kita buat apa yang kita rasa baik, dalam perkara ini kita rasa mulanya beri ruang kepada dia telah mengundang banyak perbalahan yang tiada kesudahan dan dia pula orang asing. Jadi, polis buat kenyataan dan pendirian (larang Dr. Zakir berceramah) dan saya sendiri telah gesa dan rayu pada beliau supaya elak dari terlibat dalam percampuran politik," katanya.
Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas merasmikan Bangunan Ibu Pejabat PKR Terengganu di Bukit Besar di sini hari ini. Yang turut hadir, seluruh kepemimpinan PKR Terengganu termasuk Pengerusinya, Azan Ismail.
Anwar diminta mengulas pendiriannya berhubung keputusan Dr. Mahathir bahawa Dr. Zakir tidak akan dihantar pulang ke India sebaliknya dibenarkan tinggal di negara ini. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment