Then Siaw Lian
Gadis berketurunan Cina ini nampak manis bila berbaju kebaya songket. Sama dengan kebanyakan gadis Cina Malaysia yang lain, dia ada sifat orang Timur. Tetapi ada kelainan pada jiwa gadis bernama Then Siaw Lian ini.
Gadis dari Kota Samarahan, Sarawak ini menggamit perhatian saya ketika menyaksikan pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2015, peringkat separuh akhir di Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Khamis lalu.
Bukan sebab dia muncul sebagai peserta bukan Melayu pertama mewakili negara dan layak ke peringkat akhir kategori Alam Melayu dalam pertandingan pidato berprestij itu. Sesiapa yang mendengar pidato Siaw Lian akan terkesan dengan bait-bait kata yang tersusun indah dan penuh makna. Terima kasih diucapkan kepada pembimbing Siaw Lian iaitu Azzairi Rosle dan Khairul Afsan Abu Bakar dari Alumni Debat dan ahli Majlis Debat Universiti-universiti Malaysia (MaDUM).
Mesej pidato Siaw Lian bertajuk Makna Sebuah Perpaduan, cukup mendalam. Rupa-rupanya masih wujud gadis Cina yang prihatin akan perpaduan antara kaum.
Dalam ruangan ini saya masukkan bait-bait ungkapan pidato penuntut tahun akhir Sarjana Muda Undang-undang, Universiti Malaya untuk dikongsi perasaan dan harapan yang sama. Hayatilah pesanan tiga moyang Siaw Lian untuk rakyat Malaysia dan bangsa lain di dunia.
"Makna sebuah Perpaduan"
Saya Then Siaw Lian. Bangsa Malaysia. Saya dedikasikan pidato ini khas buat bangsa Malaysia dan seluruh warga dunia yang cinta akan keamanan.
Makna sebuah perpaduan, berkehendakkan kita, untuk merungkai wadah, wasilah, serta baris-baris hikmah yang terbina dalam perjalanan sebuah penyatuan. Kerana menyeru perpaduan, jauh melangkau riuh slogan, kehadapan, menjangkau kesanggupan.
Justeru saya bawakan pidato ini dengan membawa tiga peribahasa daripada tiga moyang saya yang berbeza.
Pesan moyang Melayu saya, seikat bak sirih, serumpun bak serai. 58 tahun Malaysia merdeka, saya tidak boleh menipu anda, dengan menyatakan bahawa selamanya kita aman, dan penyatuan kita tidak punya ranjau.
Bumi bertuah ini pernah berasa sakit, perit, menangis, merintih, kerana menyatukan warna kulit yang berbeza, agama yang berbeza, fahaman yang berbeza umpama menghela tali jala, rasa tegang dikendurkan, rasa kendur ditegangkan. 13 Mei 1969, Kontrak Sosial, institusi beraja, serta puluhan lagi isu yang asalnya menekan bangsa Malaysia hingga takut pada sejarah, tetapi akhirnya kami bangun sebagai bangsa yang besar, berani dan bermaruah.
Kerana bangsa Malaysia percaya, cinta akan negara maknanya menerima tanpa syarat, sayang akan negara maknanya berkorban apa sahaja, kasih akan negara maknanya berkongsi segala apa yang kita ada.
Lihatlah betapa bijaknya Baginda Muhammad, menghamparkan serbannya, agar setiap penjuru dipikul puak berbeza, mengangkat Hajarul Aswad kembali ke datar asalnya. Benar kata Dalai Lama, “kita boleh hidup tanpa agama dan meditasi, tapi kita tak boleh hidup, tanpa hubungan sesama manusia”.
Agaknya kerana itulah seawal lahirnya Adam, sehingga manusia terakhir, Tuhan mengajar kita meraikan kepelbagaian atas satu makna seikat bak sirih, serumpun bak serai.
Kedua, Peribahasa moyang India saya “Yadum Ure Yavarum Kelir”. Jangan kita pernah lupa pada pesan-pesan Tuhan buat manusia, Kitab Purana dan Upanisad menekankan hubungan sesama manusia di awal dan akhir penceritaan. Kitab Marcus dan Luccas, mengingatkan betapa manusia tidak pernah bersendirian. Malah perkara pertama dipelajari Cat Stevens dalam al-Quran adalah hikmah kesepakatan ummah.
Kalau kita masih tidak bersyukur, insafilah kisah Donatis di Afrika, Arian di Mesir, Fonitis di Panonia dan ingatlah ribuan yang ditindas di bawah panji aparteid. Bagaimana pula dengan 1.1 juta bangsa Rohingya, yang maruahnya, agamanya, dipijak, diinjak, ditoreh dari dalam, tajam dan menikam.
Saya, hanya mampu terus berdoa, "Tuhan, semoga engkau sentiasa ada."
Sejujurnya, saya rindu akan kehidupan kecil saya di Kota Samarahan, saya membesar di perkampungan Melayu, walaupun saya Cha Ya Nun Alif, bersama teman-teman saya belajar alif ba ta, saya belajar doa makan, sehinggakan mimpi saya pun masih dalam bahasa Melayu.
Ingatlah, yang memisahkan kita, temboknya bukan agama, temboknya bukan budaya, bukan warna bangsa tetapi keegoaan, assabiyah, dan annaniyah.
Kepelbagaian bangsa ini, bukan sekadar warna di atas fabrik, sebaliknya ia adalah benang-benang yang menyulam. Jika perpaduan ini umpama kesabaran mengait selembar benang, sabarlah sehingga ia menjadi kain.
Maka benarlah peribahasa moyang India “Yadum Ure Yavarum Kelir” “manusia saling memiliki antara satu sama lain’.
Pesanan terakhir, pesanan moyang Cina saya "senang sama senang, susah sama susah".
Anda pasti pernah menonton Filem Jenggo Unchained, lakonan Jamie Fox dan Leonardo diCaprio, yang mengajar kita betapa murahnya nilai manusia dan penghambaan.
Malah saya percaya, tujuh bilion penghuni dunia, tidak akan berhenti berharap pada bait-bait lagu Heal the World nyanyian mendiang Michael Jackson. Jua semangat Sarjan Marcilus M. Crocker, tahukah anda, sekalipun di saat kaum kulit hitam ditindas, beliau kekal sebagai tentera kulit hitam, yang menjadi tentera terakhir Amerika Syarikat dalam peperangan sivil. Kerana dia sedar, darahnya untuk negara!
Dongaklah ke langit lepas, bumi ini hanya planet kecil dari berbilion planet lain yang bertebaran di angkasa, dan kita hanya menumpang di satu sudut kecil di muka bumi.
Berhentilah untuk bertanya tanah ini milik siapa? Siapa pemilik, siapa pendatang? Siapa pejuang, siapa petualang?
Bangun dan bersumpahlah, kita akan berhenti bercakap tentang perkauman, penindasan, pemusuhan dan pengkhianatan.
Di telinga anak-anak kecil, bisikan bahawa ibumu, nenekmu, moyangmu tidak akan mewariskan rasa benci, rasa dengki, rasa dendam, rasa iri hati. Kerana moyang Cina saya berpesan, biar apa pun terjadi, senang sama senang, susah sama susah.
Demikianlah, makna sebuah perpaduan, yang terangkum daripada tiga peribahasa tiga pesanan moyang saya.
Wahai penduduk dunia, bangun pulanglah ke negara asalmu. Khabarkan pada mereka, hanya satu yang kamu mahu, di situ kamu dilahirkan di situ jua kamu mahu dikuburkan.
Saya bersumpah atas nama Malaysia tanah bertuah ini, hatiku, nadiku, jiwaku, akan terus tertanam dan terpasak di sini kerana di sini lahirnya sebuah cinta.
No comments:
Post a Comment