Tuesday, January 7, 2014

1Malaysia dan La Convivencia

1Malaysia dan La Convivencia

KEMENANGAN calon BN di Hulu Selangor membuktikan gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan pada tahun lalu diterima oleh rakyat.


SECARA ringkas, gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak didasarkan kepada dua teras utama. Teras yang pertama adalah konsep penerimaan berbanding dengan toleransi terhadap tiga perkara pokok iaitu perbezaan bangsa, keadilan sosial dan prinsip kenegaraan berlandaskan prinsip Perlembagaan dan Rukun Negara. Teras yang kedua pula adalah asimilasi prinsip perpaduan dan nilai aspirasi.
1Malaysia merupakan gagasan yang tidak jauh beza dengan apa yang telah lama diamalkan oleh kerajaan sejak merdeka. Yang berbeza adalah cara perlaksanaanya yang disesuaikan dengan masa. 1Malaysia menyeru seluruh rakyat menerima hakikat bahawa keadilan dalam segenap aspek mesti dipanjangkan kepada kaum yang memerlukan dan sebaliknya. Ia adalah bertunj angkan kepada batu asas keadilan yang tidak semestinya bermutlakkan sama rata dan sama rasa.
1Malaysia, dengan kata lain, menyeru bahawa segenap rakyat tidak taksub dengan konsep toleransi dan kesamarataan semata tanpa memikirkan kesan dan sebab buruk yang mungkin terhasil daripadanya. Ia secara tidak langsung menganjurkan bahawa rakyat Malaysia bersatu dan berpadu di bawah fabrik sosial yang sedia wujud, menerima perbezaan seadanya dan mula bergerak ke hadapan untuk membina kekuatan daripada kelemahan yang ada.
Integrasi Ekstrem
Ini amat berbeza dengan apa yang telah lama menjadi objektif perjuangan beberapa kumpulan sahsiah dan bukan sahsiah di Malaysia yang memperjuangkan konsep perpaduan, selain daripada apa yang telah lama menjadi amalan negara. Konsep yang dianjurkan itu mungkin mempunyai beberapa persamaan dari segi objektif dengan konsep integrasi yang diamalkan di Switzerland yang mengamalkan sistem integrasi kaum yang ekstrem berbanding dengan Malaysia.
Switzerland yang berpenduduk 7.7 juta orang mempunyai empat bahasa kebangsaan iaitu bahasa Jerman, Perancis, Itali dan Romansh. Ia mempunyai 26 buah negeri yang dikenali sebagai Canton. Setiap Canton mempunyai sistem pendidikan sendiri dan biasanya didiami oleh kaum tertentu. Dalam erti kata lain, setiap kaum menduduki Canton yang berbeza.
Negara Switzerland tidak mempunyai agama rasmi. Kerajaan Persekutuan berkomunikasi menggunakan empat bahasa-bahasa kebangsaan itu, manakala perbahasan di Parlimen pula menyediakan terjemahan daripada dan kepada bahasa Jerman, Perancis dan Itali.
Switzerland, dalam bahasa mudah adalah seperti sepinggan nasi yang dibahagi kepada empat bahagian. Tiada kuah, tiada ulam dan tiada lauk. Setiap bahagian hanya dihubungkan atas dasar keperluan perkongsian sebuah pinggan. Setiap bahagian hanya memikirkan kepentingan diri dan kaum masing-masing sahaja.
Jika ini yang hendak dijadikan amalan di Malaysia, negara ini pasti akan hancur kerana ketidakpuasan hati golongan rakyat yang masih amat perlu kepada bantuan dan sokongan penuh Kerajaan Pusat. Memerintah dan mentadbir sesebuah negara tidaklah semudah mengunyah nasi yang telah sedia dikepal untuk dibahagi kepada empat bahagian.
Konsep Perpaduan La Convivencia
1Malaysia mempunyai persamaan dengan apa yang pernah diamalkan oleh Kerajaan Islam Umayyad ketika mereka memerintah Sepanyol. Konsep perpaduan itu dikenali sebagai La Convivencia. Selama 781 tahun (711 - 1492), penduduk berbilang kaum dan agama di bawah pemerintahan Dinasti Umayyad di Andalusia, Sepanyol hidup aman, tenteram dan saling bergantungan antara satu sama lain. Hasilnya, gabungan tiga komuniti terbesar iaitu Islam, Yahudi dan Kristian telah memainkan peranan penting dalam melonjakkan nama Andalusia sebagai salah satu kota dan tamadun agung yang melahirkan ramai ilmuwan dan pakar dalam pelbagai bidang pendidikan, teknologi kejuruteraan dan perubatan.
Di samping itu, tempat-tempat ibadat seperti masjid, gereja dan synagogue dibina bersebelahan antara satu sama lain di sebalik perbezaan ketara dari segi bahasa, budaya dan agama.
Namun, masjid mempunyai menara yang paling tinggi kerana keperluan untuk melaungkan azan dan ini diterima dengan baik oleh penganut agama lain. Perpaduan kaum dalam era itu dikenali sebagai La Convivencia atau 'Kehidupan Bersama'. Zaman emas La Convivencia berakhir dengan kejatuhan Kerajaan Umayyad di tangan pemerintah Kerajaan Kristian Sepanyol Utara iaitu Raja Ferdinand.
Pengajaran La Convivencia
Integrasi kaum di Andalusia memperlihatkan bagaimana berbilang bangsa dan agama boleh hidup dan tinggal bersama-sama selama hampir seribu tahun. Kehidupan bersama di antara mereka telah membuahkan sebuah tamadun emas yang tiada galang gantinya sehingga kini.
Integrasi gaya Switzerland pula adalah sebenarnya 'integrasi bersifat pengasingan mutlak'. Cara ini penuh dengan nilai individualistik, materialistik dan kapitalistik pada tahap tertinggi. Ia adalah sebuah negara kaya tetapi miskin nilai dan moral kehidupan bermasyarakat. Ia tidak menganjurkan nilai moral seperti mana yang dilihat di negara Malaysia dan ia tidak menjurus kepada nilai-nilai murni yang diperlihatkan pada era La Convivencia.
Malaysia tidak boleh menjadi seperti Switzerland. Tetapi, Malaysia boleh beraspirasi untuk mengamalkan La Convivencia. Sesungguhnya ia adalah model terbaik integrasi kaum yang pernah ditunjukkan oleh sebuah Kerajaan Islam. Jika tidak, rakyat negara ini paling kurang harus belajar daripada kisah Sri Lanka.
Negara ini menyediakan contoh terbaik yang memperlihatkan apakah yang boleh terjadi kepada sebuah negara di mana kegagalan memahami peri pentingnya konsep penerimaan, konsep toleransi dan kepentingan sejarah pasti akan berakhir dengan tragedi penuh darah, api, bom dan peluru.
1Malaysia adalah seruan mulia agar rakyat tetap menyokong penuh tonggak konsep batu asas kenegaraan Malaysia yang telah terbukti berjaya membentuk kehidupan aman damai yang dinikmati rakyat sejak lebih 52 tahun lalu.
Justeru, tidak perlulah ia disamakan dengan konsep bukan-bukan seperti One Israel.
Penulis ialah Pensyarah Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM Terengganu


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0426&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm#ixzz2pmYFhQUp 
© Utusan Melayu (M) Bhd





 

No comments: