Thursday, October 3, 2013

Bukan kurang jubah, tapi kurang amanah

Bukan kurang jubah, tapi kurang amanah
 
Negara-negara umat Islam hari ini tidak kekurangan jubah dan serban. Tidak juga kekurangan mereka yang bercakap agama dan berlagak ‘beragama'. Tidak pula kekurangan mereka yang berzikir kuat di khalayak ramai dengan pelbagai lagu dan dendangan. 

Tidak juga kekurangan penceramah yang pelbagai stail lawak jenaka dan seloka sehingga ceramah agama menjadi ‘new entertainment' dalam mencari pasaran pendengar dan ‘pembayar'.

Tidak pula kita kekurangan orang politik yang cuba menempelkan diri dengan agama. Sama ada menjadi penaja kepada program-program agama yang membolehkan mereka mendapat keuntungan politik, ataupun mereka sendiri melafazkan kalimah-kalimah yang berunsur agama bagi memboleh rakyat lebih mempercayai mereka. 

Tidak kurang juga program-program yang dirasmikan oleh orang politik yang ‘tidaklah beragama sangat'. Di samping terdapat juga yang memang ikhlas melibatkan diri dalam semua itu.

Kekurangan

Kita tidak kurang kesemua itu. Apa yang menjadi kekurangan kita ialah penghayatan sebenar kepada hakikat agama Islam yang diturunkan Allah untuk manusia. 

Kita sering mempamerkan agama ini dalam bentuk upacara-upacara yang direka dan diadakan oleh pihak yang mempunyai agenda yang tersendiri seperti upacara berteriak tangis zikir di khalayak ramai bagi memukau orang ramai agar begitu terpengaruh kepada tokoh-tokoh dan mempercayai mereka sebagai ‘orang-orang Tuhan'. 

Orang politik juga boleh menumpang sekaki supaya kelihatan mereka manusia yang mendapat ‘blessing' dari orang-orang Tuhan itu. Dalam masa yang sama kita melupai inti pati ajaran Islam seperti amanah dalam pengurusan harta awam ataupun kepimpinan negara.

Maka jangan hairan jika setiap negara Islam ada mufti dan pelbagai jawatan agama yang lain, ada pelbagai upacara agama, ataupun ‘agama yang diupacarakan', malangnya dalam masa yang sama indeks rasuah, pengalahgunaan kuasa, salah tadbir urus juga cukup tinggi. 

Rakyat ramai yang tertipu dan terdiam kerana mata mereka terlindung oleh jubah-jubah tokoh agama, telinga mereka tersumbat oleh degungan doa yang dibaca memuja dan memuji penguasa samada menteri, presiden, raja ataupun sultan sekalipun mereka itu mencemari segala amanah yang Allah tanggungkan atas bahu mereka.

Saya hairan bagaimana ada rakyat di negeri ‘antah berantah' yang memuji sultannya melangit tinggi bagaikan wali tuhan kerana isteri sultan berkenaan bertudung. Dalam masa yang sama mereka melupai bagaimana sang sultan itu sedang membina istana yang harga berbilion dari wang rakyat jelata. 

Kehebatan seorang sultan, raja, presiden, perdana menteri dan seumpamanya bukan kerena berjubah ataupun berserban, isteri bertudung, pergi ke masjid dan segala amalan peribadi yang lain. Itu adalah tanggungjawab setiap muslim tanpa mengira siapa pun dia, rakyat ataupun raja. 

Namun kehebatan seorang penguasa apabila dia amanah terhadap jawatan dan harta negara yang berada di bawah kawalannya. Itulah perkara yang tidak dapat dibuat oleh rakyat, hanya mampu dibuat oleh yang berkuasa kerana dia memegang tampok kuasa.

Khianat

Jika mereka tidak amanah, sekalipun memakai pelbagai gelaran agama, ataupun dipagari oleh jubah-jubah agama, mereka tetap pengkhianat. 

Dalam hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim, seorang yang menyertai misi jihad bersama Rasulullah S.A.W telah dibunuh. Orang ramai mengucapkan tahniah kerana beliau telah mati syahid.

Namun Nabi S.A.W menyebut: "Tidak! Sesungguhnya selendang dari harta rampasan perang yang dia ambil pada hari Peperangan Khaibar tanpa pembahagian (yang betul) sedang menyalakan api neraka ke atasnya".

Betapa, seorang mati semasa berjuang bersama Nabi S.A.W tetap Allah hukum kerana telah mengambil harta awam dengan cara yang salah. Itu sehelai selendang, bagaimanakah pula jutaan, bahkan ratusan juta harta awam?

Maka sebahagian negara barat, walaupun mereka tiada paderi negara yang bertaraf jusa, tiada upacara doa mingguan memuja penguasa tapi apabila mereka amanah, maka negara mereka lebih teratur dan baik urus tadbirnya dibandingkan negara-negara umat Islam. 

Ini kerana di Barat, sama ada secara ‘terpaksa' ataupun terbudaya dalam sistem yang mereka bina dan pakai, mereka memegang kepada prinsip pentadbiran yang terpenting iaitu amanah.

Kita pula sibuk dengan upacara-upacara agama yang sebahagian itu tidak pernah diamalkan oleh Nabi S.A.W dan para sahabat pun, tapi dalam masa yang sama kita melupai inti ataupun essence kepada ajaran Islam ini, iaitu amanah dalam pentadbiran.

Justeru itu al-Quran sebelum mendatangkan ayat yang memerintah taat kepada penguasa, didatangkan terlebih dahulu ayat yang memerintahkan amanah diberikan kepada yang layak dan penguasa yang diberikan amanah itu hendaklah memerintah dengan adil. 

Maka Allah terlebih dahulu menyebut bermaksud: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu memberikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum dalam kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil.

Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha mendengar lagi Maha melihat". (Surah al-Nisa: 58).

Selepas itu barulah diikuti dengan firman-NYA bermaksud: "Wahai mereka yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul dan uli al-Amr (pemimpin) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih pendapat maka kembalilah kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (Sunnah), jika kamu benar beriman dengan Allah dan hari akhirat. Yang demikian itu yang paling utama dan paling baik akibatnya" (Surah al-Nisa' 59).

Al-Imam al-Qurtubi menyebut riwayat daripada khalifah Ali bin Abi Talib r.a bahawa beliau menyebut: "Tanggungjawab imam (pemerintah) adalah memerintah dengan adil dan menunaikan amanah. Apabila dia menjalankan tanggungjawab sedemikian maka wajib ke atas muslimin mentaatinya. Ini kerana Allah menyuruh agar ditunaikan amanah dan melaksanakan keadilan kemudian diperintahkan agar rakyat mentaatinya (pemerintah)" (Al-Qurtubi, al-Jami' li Ahkam al-Quran, 5/259, Beirut: Dar al-Fikr).

Amanah adalah isu utama kegagalan good governance ataupun urus tadbir yang baik dalam dunia umat Islam hari ini. Di samping soal ‘al-quwwah' ataupun keupayaan sebagai pentadbir yang baik. Kebanyakan negara Islam bukannya miskin. Banyak hasilnya, tetapi diuruskan oleh yang tidak amanah dan tidak berkemampuan, maka lemah dan rosaklah negara.

Kesan

Seringkali mimbar-mimbar Jumaat dan ceramah agama menyebut nama ‘Umar bin al-Khattab, khalifah kedua yang sangat hebat. Apa yang kita teladani daripadanya? Pada tahun 17 dan 18 Hijrah telah berlaku kemarau teruk di Madinah. Rakyat menjadi susah. 

Ibn Jarir al-Tabari meriwayatkan bahawa ‘Umar bin al-Khattab tidak memakan pada tahun berkenaan lemak haiwan, susu dan daging sehingga orang ramai dapat memakannya. Barangan makanan berkurangan di pasar. Pada suatu hari pekerjanya dapat membeli untuknya lemak dan susu namun dengan harga yang agak tinggi. 

‘Umar enggan makan bahkan berkata: "Engkau telah menyebabkan lemak dan susu menjadi mahal, sedekahkan keduanya, aku bencikan pembaziran. Bagaimana aku dapat memahami keadaan rakyat jika tidak mengenaiku apa yang mengenai mereka?". (Al-Tabari, 2/358, Beirut: Dar al-Fikr).

‘Umar ilmuwan besar yang menjadi rujukan dalam Islam. Beliau tidak berkata: ‘kenaikan harga barang merupakan takdir Allah, bersyukur dan berterima kasih kepada penguasa'. 

Beliau juga tidak membuat fatwa dungu yang menyatakan ‘subsidi tiada dalam Islam'. Sebaliknya beliau dengan penuh amanah dan tanggungjawab di hadapan Allah menghadapi keadaan tersebut.

Kita perlu membetulkan asas kefahaman kita tentang agama. Bukti kesan ajaran Islam bukan pada fesyen pakaian, ataupun hiasan doa upacara yang gaji pembacanya dibayar atau dendangan lagu agama atas pentas yang dihadiri oleh mereka berpangkat dan jawatan. 

Tetapi kesannya terhasil akidah yang bersih, ibadah yang sahih dan nilai etika yang luhur yang diamalkan oleh para penguasa dan diikuti oleh rakyat jelata. Dalam konteks politik dunia Islam, perlukan manusia-manusia yang amanah untuk memerintah, bukan sekadar berjubah atau berdamping dengan yang berjubah tapi tidak amanah terhadap harta negara dan rakyat.


Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin adalah bekas mufti Perlis


Sunday, September 22, 2013

Senarai penuh calon bagi pemilihan Umno

Senarai penuh calon bagi pemilihan Umno
7:30PM Sep 21 2013 
dikemaskini Berikut ialah senarai calon yang berdaftar untuk bertanding jawatan utama Umno pusat pada pemilihan bulan depan, selepas tempoh pendaftaran calon berakhir pada pukul 5 petang ini:

    PENGERUSI TETAP : 
    1. Tan Sri Badruddin Amiruldin (Penyandang/Menang Tanpa Bertanding)
    
    PRESIDEN:
    1. Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak (Penyandang/Menang Tanpa Bertanding)

    TIMBALAN PRESIDEN:
    1. Tan Sri Muhyiddin Yassin (Penyandang/Menang Tanpa Bertanding)

    NAIB PRESIDEN:
    1. Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (Penyandang)
    2. Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Penyandang)
    3. Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Penyandang)
    4. Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad
    5. Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir
    6. Datuk Seri Mohd Ali Rustam

    KETUA WANITA:
    1. Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil (Penyandang)
    2. Raihan Suleiman Palestin
    3. Datuk Maznah Mazlan

    NAIB KETUA WANITA:
    1. Datuk Suraya Yaacub
    2. Datuk Azizah Mohd Dun
    3. Datuk Hamidah Osman

    KETUA PEMUDA:
    1. Khairy Jamaluddin Abu Bakar (Penyandang)
    2. Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi
    3. Syed Rosli Syed Harman Jamalullail
    4. Abd Karim Ali
    5. Irwan Ambak Khalid Izhar

    NAIB KETUA PEMUDA:
    1. Jamawi Jaafar
    2. Lokman Noor Adam
    3. Mohd Iruan Zulkefli
    4. Khairul Azwan Harun

    KETUA PUTERI:

    1. Mas Ermieyanti Shamsudin
    2. Jamilah Hanim Othman

    NAIB KETUA PUTERI:
    1. Datin Norsabrina Mohd Noor
    2. Zahida Zarikh Khan
    3. Nazliah Ali
    
Senarai penuh calon yang akan bertanding pemilihan Umno 2013 dijangka diumum pada Rabu. 
    
- Bernama
 
 

'Tuduhan Mahathir tak adil pada Umno'

'Tuduhan Mahathir tak adil pada Umno'
11:28AM Sep 22 2013 
Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata, pandangan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Umno kini hanya berjuang untuk diri sendiri tidak berapa adil kepada parti itu.

Katanya, ini kerana Umno masih lagi berjuang untuk orang Melayu dan masih ikhlas memperjuangkan nasib dan memperkasakan kaum itu.

NONE"Kalau sekiranya ada seorang dua pemimpin yang berjuang disebabkan diri sendiri, jangan kerana nila setitik kita hukum semua. 

"Kita harus lihat parti secara keseluruhan dan harus melihat kepada keikhlasan kita," katanya ketika diwawancaraBernama.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas artikel berjudul "Umno Dahulu dan Sekarang" oleh Dr Mahathir yang berkata, Umno kini hanya berjuang untuk diri sendiri dan tidak lagi untuk bangsa, agama dan tanah air menyebabkan orang Melayu tidak lagi menyokongnya. 

Khairy berkata, keikhlasan dalam Umno juga diterjemahkan dalam bentuk sokongan Melayu dalam pilihan raya umum lepas. 

"Kalau betul Umno dah out of touch dengan perjuangannya untuk rakyat biasa terutamanya orang Melayu, sudah pasti bilangan kerusi Parlimen Umno tidak meningkat pada pilihan raya umum lepas dan sudah pasti orang Melayu juga akan menyokong pembangkang," beliau dipetik sebagai berkata.
 
 

Khairy: Peluang saya wallahu a'lam



Khairy: Peluang saya wallahu a'lam

Menjelang pemilihan Pergerakan Pemuda Umno 12 Okt ini, fokus turut ditumpukan ke arah barisan kepimpinan sayap parti dalam mengharungi pelbagai cabaran termasuk Pilihan Raya Umum ke-14.

Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin yang akan mempertahankan jawatan bagi penggal kedua berkongsi pandangan beliau mengenai visi dan misi, masa depan serta isu-isu berkaitan Umno dalam menghadapi landskap dan geopolitik negara yang semakin mencabar.

Pada pemilihan sayap 12 Okt ini, Khairy akan berentap dengan empat individu lain yang menawarkan diri merebut jawatan itu.

Berikut adalah intipati temubual beliau bersama BERNAMA yang diadakan di pejabatnya baru-baru ini:

BERNAMA: Selain Yang Berhormat (YB), dikhabarkan ada anggota yang ingin mencabar kepimpinan YB sebagai Ketua Pemuda. Adakah perkara ini suatu yang sudah dijangka? Apakah peluang YB?

KHAIRY: Dalam sistem pemilihan hari ini yang terbuka, kita terima hakikat bahawa kebebasan diberi kepada hampir setiap ahli untuk menawarkan diri terutamanya untuk jawatan tertinggi termasuklah Majlis Tertinggi (MT), ketua-ketua sayap hatta naib presiden pun. Ini adalah satu penegasan bahawa sistem pemilihan dalam Umno ini amat terbuka sekali dan mungkin paling terbuka di kalangan semua parti politik di Malaysia.

Ini satu perkara positif sebab kita nak tunjukkan kepada rakyat bahawa pemimpin Umno walaupun dah sampai ke tahap naib presiden dan ketua sayap, bersedia dan terbuka untuk jawatan kita dipertandingkan.

Peluang... wallahu a'lam tapi saya rasa sebagai penyandang jawatan selama empat tahun sebagai Ketua Pemuda, tiga penggal dalam Exco Pemuda penggal pertama sebagai exco biasa, penggal kedua Naib Ketua dan ketiga sebagai Ketua Pemuda dan ini penggal keempat saya sekiranya saya dipilih sekali lagi.

Pertamanya, saya ada 'track record', ada pengalaman dan sejarah perjuangan dalam Pemuda Umno dan kedua dengan peranan saya sebagai Menteri Belia dan Sukan, saya dapat bawa gagasan Pemuda Umno itu melalui program-program dan perancangan saya sebagai seorang menteri dan ketiga saya kenal semua ketua-ketua Pemuda bahagian dan ada rangkaian luas di kalangan ahli-ahli Pemuda.

Saya tidak mengganggap cabaran yang diberikan calon-calon lain sebagai cabaran yang remeh. Saya mengambil serius walaupun cabaran tidak datang daripada Exco atau Ketua Pemuda Bahagian. Kita hormati sesiapa yang menawar diri untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda.

Jadi saya serah kepada perwakilan untuk memilih. Saya cuma menjawab panggilan perjuangan yang meminta saya teruskan usaha untuk memastikan pertamanya, pengundi muda bersama dengan Umno dan Barisan Nasional (BN).

Keduanya, aspirasi generasi muda Melayu dan generasi muda Malaysia keseluruhannya dapat diterjemahkan oleh kerajaan. Sebab itu penting hari ini, Ketua Pemuda berada dalam kerajaan supaya dapat berjalan seiring dengan dasar kerajaan.

BERNAMA: Kenapa YB mengharapkan perwakilan memberi mandat untuk memimpin Pergerakan Pemuda sekali lagi dan apakah urusan yang belum diselesaikan YB?

KHAIRY: Saya harap perwakilan akan dapat beri mandat kepada saya sebab memimpin dan mentadbir pergerakan Pemuda ini bukan satu perkara yang mudah. Kita ada keahlian yang mencecah 650,000 orang dan ini memerlukan pemimpin yang ada pengalaman. Bukan saya memperkecilkan latar belakang dan pengalaman calon-calon yang menawarkan diri tetapi calon yang nak pimpin pemuda Umno ini mestilah tahu bagaimana nak menjaga satu organisasi.

Mestilah ada pengalaman sebagai seorang Ketua Pemuda Cawangan dan Ketua Pemuda Bahagian. Dia faham bagaimana nak jaga organisasi dan macam mana nak menjadi pemimpin kepada organisasi yang besar.

Saya harap perwakilan akan memikirkan perkara itu walaupun ada banyak benda yang kita nak buat tetapi soal menjaga pentadbiran parti adalah perkara penting.

Ketua Pemuda adalah sama dengan jawatan Naib Presiden, terlibat dalam pengurusan
parti, biro politik parti, MT parti.

Perkara-perkara yang belum dapat saya selesaikan ialah yang ialah pertamanya, proses pendampingan dengan generasi muda. Ia satu proses berterusan yang telah saya mulakan empat tahun dahulu melalui program yang fokus kepada kepentingan orang muda dalam soal pekerjaan, perumahan, pendidikan, pinjaman dan keusahawanan.

Pemuda hari ini lebih kepada penyelesaian masalah daripada hanya beretorik. Kedua adalah latihan. Oleh kerana empat tahun lepas kita banyak tertumpu kepada usaha mendampingi pengundi muda, kita tak cukup masa untuk membuat modul latihan. Jadi pada masa akan datang, saya nak buat satu modul latihan baharu terutamanya untuk pemimpin-pemimpin Pemuda supaya kita ada proses pengkaderan yang lebih jelas lagi.

Jadi pemimpin muda Umno ini ada satu latihan dan pendedahan yang lebih baik daripada apa yang diberi pada hari ini dan dengan itu kita akan melihat dan mempercepatkan lagi proses peremajaan parti sebab hari ini apabila kita minta pemimpin muda ke depan, ada pemimpin dewasa kata 'you are not ready yet'.

Jadi dengan proses latihan ini, kita nak kata kepada mereka bahawa kita sedang menyediakan barisan pelapis bukan untuk mengambil alih tempat mereka, tetapi untuk bersedia jika suatu hari nanti mereka diberi amanah menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin parti di setiap peringkat.

Soal latihan ini amat penting dan saya rasa kalau kita dapat adunkan antara latihan dan proses pendampingan ini, kita akan dapat melihat satu kuasa Pemuda yang lebih dinamik di masa akan datang.

BERNAMA: YB dikenali sebagai menantu (bekas Presiden Umno dan Perdana Menteri) Tun Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) dan pada pemilihan parti 2009, YB dilihat memenangi jawatan Ketua Pemuda kerana faktor Pak Lah. Adakah pada kali ini YB boleh berdiri di atas kaki sendiri?

KHAIRY: Pada pemilihan parti yang lepas, walaupun Pak Lah masih lagi presiden, tetapi dia presiden yang akan melepaskan jawatan dalam perhimpunan agung parti pada 2009. Jadi pada saya, tidak ada apa-apa kelebihan pada waktu itu menjadi menantu Pak Lah sebenarnya.

Saya bertanding pada 2009 menentang Dr Mohamad Khir Toyo dan Datuk Mukhriz Mahathir dalam keadaan yang amat sukar sekali keadaan yang boleh saya katakan 'hostile'. Tapi dalam keadaan begitu saya diberi amanah oleh perwakilan untuk menjadi Ketua Pemuda.

Saya telah diuji dalam keadaan yang amat sukar sekali dan dalam keadaan semacam itu, Alhamdulillah, perwakilan memberi amanah kepada saya. Kalau pada 2009, saya hadapi keadaan yang hostile dan sukar untuk saya, kali ini tidak ada apa-apa lagi persepsi tentang perkara itu.

BERNAMA: Sekiranya berjaya pada pemilihan kali ini, apakah visi dan misi YB untuk tempoh tiga tahun akan datang dan seterusnya Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14)?

KHAIRY: Soal latihan dan pendampingan golongan muda adalah perancangan jelas saya untuk tempoh tiga atau empat tahun akan datang dan matlamatnya adalah kemenangan BN pada PRU-14.

Ramai yang kata bahawa PRU-13, kita tak dapat sokongan orang muda, tetapi bila kita tengok survey Merdeka Centre mendapati bahawa kalangan pengundi Melayu yang berumur antara 21 hingga 30 tahun, 54 peratus memberi sokongan kepada BN.

Kajian saya sendiri menunjukkan bahawa kita ketinggalan disebabkan pengundi-pengundi di kawasan bandar terutamanya di kalangan pengundi Cina. Di kalangan pengundi Melayu terutamanya mereka yang di bawah 30 tahun, kita masih lagi kompetitif, boleh bersaing dengan parti pembangkang.

Ini satu petanda baik bagi Umno, maksudnya apa yang kita buat, walaupun tidak dapat sokongan secara majoriti yang besar tetapi telah membuahkan hasil.

Kita sekurang-kurangnya dapat bersaing dengan pembangkang di kalangan pengundi berumur 21 tahun hingga 30 tahun.

Cabaran akan datang ialah untuk memastikan bahawa mereka yang berumur 30 hingga 40 tahun ini dapat kita yakinkan dan pengundi muda akan mendaftar.

Mereka yang hari ini berumur 17 atau 18 tahun dan mereka yang baru habis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), baru nak masuk universiti, yang ini kita kena yakinkan dengan pendekatan menfokuskan kepada isu.

Satu perkara yang dapat saya bawa kepada perjuangan adalah untuk meyakinkan mereka yang di atas pagar. Saya percaya dengan pendekatan yang kita buat untuk meyakinkan mereka ialah tidak menghukum dan tidak melabelkan mereka ini yang kritikal kepada kerajaan bahawa mereka ini penyokong pembangkang.

Saya rasa ada ramai di atas pagar yang mungkin kritikal kepada kerajaan, mereka tidak suka dilabel. Kalau kita labelkan mereka bermakna kita akan pastikan mereka tidak akan menyokong kita.

Kita kena berdamping dengan mereka dan kena menjawab persoalan mereka... beri pencerahan kepada mereka tentang isu-isu semasa sama ada soal subsidi, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan soal-soal janji pembangkang. Ini penting kepada kita.

Cara saya bukanlah cara memekik, menjerit soal retorik sahaja tetapi saya lebih kepada penyelesaian masalah orang muda dan saya sukaenggagement secara intelektual.

Ada orang kata kita tak lantang seperti dahulu tapi bagi saya zaman sudah berubah. Hari ini jauh beza daripada zaman 60an atau 70an yang mana kita buat demonstrasi dan bermacam-macam. Hari ini walaupun ada peranan untuk kita berdemonstrasi tetapi persaingan minda adalah lebih penting daripada retorik politik.

BERNAMA: Jika menang pada pemilihan kali ini, adakah ia benar-benar penggal terakhir YB sebagai Ketua Pemuda?

KHAIRY: Saya secara sukarela selepas penggal ini dan saya mencapai umur 41 tahun, walaupun masih boleh lagi bertanding Ketua Pemuda, amat penting bagi kita menunjuk teladan yang baik.

Sudah sampai dua penggal dah masuk usia 41 tahun, saya rasa adalah paling baik untuk meninggalkan zaman Pemuda dan serahkannya kepada pemimpin lain. 

Sekiranya kita tak letak satu tempoh bagi kita meninggalkan Pemuda, kita tak buat satu perkara yang paling penting dalam menjadi seorang pemimpin iaitu menyediakan pelapis.

Saya rasa ramai pemimpin yang berjaya sebab menyediakan pemimpin pelapis atau pengganti yang dapat membawa institusi itu kepada kejayaan lebih tinggi lagi. Jadi dalam masa ini, saya sebutkan soal latihan tadi sebab saya nak menyediakan bakal pemimpin untuk Pemuda.

Jadi tugas saya kalau saya nak berjaya, saya kena sediakan enam atau tujuh pemimpin yang boleh menggantikan saya sebagai Ketua Pemuda Umno Malaysia.

BERNAMA: Pemuda mencalonkan empat anggotanya bertanding di peringkat MT pada pemilihan kali ini. Adakah dengan mengisi beberapa muka baharu atau orang muda di peringkat tertinggi parti mencukupi untuk menggambarkan bahawa inilah yang dimaksudkan dengan peremajaan parti?

KHAIRY: Itu sebahagian proses peremajaan parti dan saya harap bahawa mereka akan dapat sokongan daripada perwakilan bahagian sebab dulu kita cuma hantar satu dan paling banyak dua, tapi kali ini kita cuba empat.

Saya harap keempat-empat mereka akan berjaya sebagai tanda parti ini menerima proses peremajaan dan penerimaan proses peremajaan hanya akan berlaku sekiranya diterjemahkan dalam bentuk memilih pemimpin muda sebagai ahli MT.

Bukan hanya orang muda di Pemuda sahaja tetapi kita nak mengarusperdanakan pemimpin muda dalam parti.

Soal meremajakan parti bukan semata-mata boleh dilihat atau dilaksanakan dengan adanya pemimpin muda di peringkat tertinggi. Sudah pasti dasar dan 'outlook' parti itu sendiri mestilah mesra remaja.

Tak guna kalau kita ada pemimpin muda duduk dalam MT tetapi dasar kita masih lagi tidak diterima oleh orang muda. Orang muda akan melihat Umno secara keseluruhannya dan ia tidak akan hanya melihat kepada Pemuda. Walau pun dia suka kepada Pemuda dan suka kepada program Pemuda, tetapi kalau parti secara keseluruhan dilihat sebagai parti yang 'out of touch' dengan orang muda, dia tidak akan sokong Umno.

Umno memerlukan dasar dan pendekatan yang mesra kepada generasi muda tetapi bagi saya, untuk kita melihat dasar dan pendekatan mesra golongan muda, kita memerlukan orang muda dalam MT untuk memberi idea supaya parti kita ke arah tersebut.

Kalau tidak ada langsung suara orang muda, selain Ketua Pemuda dalam MT, bahawa inilah pandangan orang muda atau inilah reaksi orang muda sekiranya kita buat sesuatu, saya rasa suara Ketua Pemuda itu boleh tenggelam. Tetapi kalau ada tiga atau empat orang lain yang wakili generasi muda, suara kita lebih didengari.

BERNAMA: Tentang artikel yang berjudul "Umno Dahulu dan Sekarang" oleh Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyatakan bahawa Umno kini hanya berjuang untuk diri sendiri dan tidak lagi untuk bangsa, agama dan tanah air menyebabkan orang Melayu tidak lagi menyokong Umno. Adakah perkara ini benar atau hanya persepsi dan apakah tindakan Umno untuk meningkatkan penguasaan Melayu dalam Ekonomi untuk bersaing dengan bangsa lain?

KHAIRY: Saya rasa pandangan ini tidak berapa adil kepada Umno. Umno masih lagi berjuang untuk orang Melayu dan Umno masih lagi ikhlas memperjuangkan nasib dan memperkasakan orang Melayu.

Baru-baru ini pengumuman dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai agenda memperkasakan ekonomi bumiputera. Itu adalah agenda Umno untuk memperkasakan bumiputera secara keseluruhannya oleh kerajaan yang ditunjangi Umno.

Kalau sekiranya ada seorang dua pemimpin yang berjuang disebabkan diri sendiri, jangan kerana nila setitik kita hukum semua. Kita harus lihat parti secara keseluruhan dan harus melihat kepada keikhlasan kita.

Keikhlasan ini diterjemahkan dalam bentuk sokongan orang Melayu dalam pilihan raya umum lepas. Kalau betul Umno dah 'out of touch' dengan perjuangannya untuk rakyat biasa terutamanya orang Melayu, sudah pasti bilangan kerusi Parlimen Umno tidak meningkat pada pilihan raya umum lepas dan sudah pasti orang Melayu juga akan menyokong pembangkang.

Hakikatnya orang Melayu telah memberi sokongan padu kepada Umno. Tugas Umno adalah untuk memastikan bahawa perancangan itu dilaksanakan sepenuhnya. Masalah kita dalam soal agenda Melayu ini adalah perancangan itu memang terbaik sekali, tetapi pelaksanaannya yang menghampakan harapan orang Melayu.

Jadi tugas Umno untuk menjadi pemantau supaya pelaksanaan agenda pemerkasaan ekonomi bumiputera itu betul-betul berlaku. Maksudnya kita bantu mereka yang layak dibantu dan bukannya bantu mereka yang dah tak layak dibantu atau mereka yang boleh dikatakan sebagai kroni dan sebagainya sebabnya kita nak tunjuk kepada masyarakat umum bahawa kita memperkasakan bumiputera bukannya kita memperkasakan orang yang rapat dengan kita.

BERNAMA: Bagi memastikan negara tidak kehilangan bakat atau pakar daripada golongan belia yang berhijrah ke luar negara, apakah perancangan YB untuk mengatasi perkara ini?

KHAIRY: Insya-Allah, jika saya dipilih sebagai Ketua Pemuda, tahun depan saya akan buat jelajah seluruh dunia jumpa dengan masyarakat kita dan orang muda yang menetap di luar negara supaya mereka turut menyumbang kepada pembangunan negara.

Tahun ini sibuk dengan pilihan raya dan pemilihan Umno. Saya rasa, Insya-Allah tahun depan adalah masa sedikit untuk saya ke luar negara.

- Bernama

Kebenaran itu rentas sempadan

Kebenaran itu rentas sempadan
 
Tiada siapa yang terlepas dari kesilapan dalam dunia ini. Nabi Muhammad S.A.W pun pernah ditegur oleh Allah beberapa kali, termasuk cara baginda melayan ‘Abd Allah bin Ummi Maktum sehingga Allah menurunkan Surah ‘Abasa. 

Apatah lagi selain nabi, tentu sahaja bukan sekadar kesilapan, tetapi kesalahan dan dosa. Sebesar mana pun ketokohan dan keilmuannya, dosa tetap akan tertampal dalam kehidupannya. Jika tidak pada perbuatan anggotanya, pada niat dan apa yang tersirat dalam jantung hatinya.

Tiada tokoh agamawan yang sunyi dari dosa. Biar pun sebesar mana nama dan kemasyhurannya. Tiada tokoh sarjana sebijak mana sekalipun, pasti ada kebodohannya. Biar pun sebesar mana kesarjanaan dan kepakarannya. Tiada yang sempurna melainkan Allah.

Manfaat

Jika kita mencari semua yang sempurna tanpa sebarang kekurangan dan menolak setiap yang ada kekurangan dan kecacatan, maka kita tidak boleh hidup di dunia ini. Orang yang pertama kita kena tolak ialah diri kita sendiri yang penuh dengan segala macam kelemahan dan kekurangan. Namun, kita sering memaafkan diri kita apa yang kita tidak maafkan orang lain.

Dalam memperolehi manfaat ilmu dan hikmah, kita juga tidak boleh terlalu ideal sehingga menolak setiap yang kita nampak kecacatan dan kekurangannya. Kita tidak boleh menolak pendapat yang benar hanya kerana perbezaan agama, aliran mazhab, kumpulan, jamaah, parti politik dan seumpamanya. 

Kata al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H): 

"Bersama setiap kumpulan itu kebenaran dan kebatilan. Apa yang menjadi kewajipan ialah bersetuju dengan mereka mengenai apa yang benar yang mereka kata. Juga menolak apa yang batil, yang mereka kata. Sesiapa yang Allah buka untuknya jalan ini (menerima yang benar dan menolak yang salah tanpa mengira dari siapa datangnya) maka bererti Allah telah buka untuknya ilmu dan agama dari setiap pintu. Allah juga akan mudahkan untuk mendapat kedua-dua perkara itu dengan pelbagai sebab". (Tariq al-Hijratain, m.s 386. Saudi: al-Islamiyyah al-‘Arabiyyah).

Ketika menutup kata bagi karya kerohaniannya yang agung iaitu Madarij al-Salikin pula, Ibn Qayyim menyebut lagi: 

"Wahai pembaca! Bagi kamu hasilnya, ke atas penulis tanggungjawabnya. Apa yang kamu dapati pada buku ini dari ketepatan dan kebenaran maka terimalah. Jangan kamu lihat kepada pengucapnya. Bahkan lihatlah kepada apa yang dia kata, bukan siapa yang berkata. Allah mencerca orang menolak kebenaran apabila kebenaran itu datang dari orang yang dia benci. Dia menerima apabila yang berkata itu orang yang dia suka. Ini adalah akhlak golongan yang dikuasai emosi. Kalangan sahabah berkata: ‘Terimalah kebenaran dari sesiapa pun yang berkata walaupun dia dibenci. Tolaklah kebatilan dari sesiapa pun yang berkata walaupun dia dikasihi"(3/384. Beirut: Muassasah Fuad).

Insaf

Inilah sikap golongan yang insaf. Maka tidak menjadi kesalahan dalam kehidupan ini untuk kita memetik dan mengambil pengajaran dari mana-mana tokoh pun. Hanya golongan emosi dan tersesat pemikiran seperti aliran ‘salafi madkhali' yang mengharamkan umat Islam mengambil manfaat pandangan atau pendapat tokoh yang mereka anggap sebagai ahli bid'ah. 

Sudah pasti mereka juga mengharamkan memetik tokoh-tokoh yang bukan beragama Islam. Aliran ini dipelopori oleh beberapa kelompok fanatik yang mendakwa mereka menurut jalan salafussoleh padahal jalan yang mereka ikuti itu adalah jalan emosi yang jauh dari telunjuk al-Kitab dan al-Sunnah.

Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah r.h. pernah berkata: "Allah memerintahkan kita agar tidak berkata kecuali yang benar. Jangan kita berkata tentang Allah tanpa ilmu. DIA memerintahkan kita agar adil dan saksama. Kita tidak boleh apabila seseorang Yahudi ataupun Kristian, apatah lagi Syiah Rafidah berkata sesuatu pendapat yang padanya ada kebenaran lalu kita tinggalkan ataupun tolak kesemuanya. Bahkan kita hanya tolak apabila padanya ada kebatilan dan tiada kebenaran". (Minhaj al-Sunnah al-Nabawiyyah, 2/342. Muassasah Qurtubah).

Fanatik

Kesederhanaan dan kesediaan ini membolehkan ilmu seorang muslim berkembang. Namun fanatik, telah membuta mata banyak pihak dari mengambil manfaat dari pihak yang lain. Ada yang menolak tulisan-tulisan yang baik kerana perbezaan agama. 

Ada tokoh agama yang menolak karya sarjana atas alasan ‘dia orientalis'. Ada yang menolak kerana ‘dia penulis Yahudi', ataupun ‘dia penulis Kristian' dan seumpamanya. Tanpa melihat kepada hujah dan alasan yang dikemukakan.

Begitu juga, betapa kita lihat sebahagian sufi yang menolak pendapat seseorang hanya kerana beraliran salafi, demikian yang salafi enggan mengambil pendapat orang yang dianggap beraliran sufi kerana kononnya tidak semanhaj dengan mereka. Ataupun salafi madkhali yang menolak pendapat kerana ‘ikhwani' dan seumpamanya. 

Menghadkan ilmu dan hikmah kerana ketaksuban kepada sesuatu aliran amatlah merugikan. Banyak kebaikan yang ada dalam aliran salafi dan demikian juga banyak kebaikan yang ada dalam aliran sufi yang terikat dengan al-Kitab dan al-Sunnah. Demikian juga Ikhwani. 

Tiada aliran yang boleh mendakwa bahawa mereka telah menguasai kebenaran secara mutlak sehingga tiada lagi ruang kebenaran di pihak yang lain. Sesiapa yang mendakwa demikian bererti dia telah menjadikan alirannya berstatus agama yang menentukan iman dan kufur seseorang.

Demikian mazhab fekah, tiada siapa boleh mendakwa bahawa segala kebenaran tertumpu kepada mazhab fekah yang dia pegang semata. Tidak Mazhab Syafi'e, tidak Mazhab Hanbali, tidak Mazhab Maliki dan tidak Hanafi yang boleh mendakwa bahawa kebenaran telah dibolot oleh mereka dan mengikut pandangan selain mereka bererti kesalahan. 

Imam-imam yang agung itu tidak pernah mendakwa demikian. Hanya pengikut yang melampaui batas sahaja yang cuba membuat dakwaan yang seperti itu. ‘Jangan keluar Mazhab Syafi'e' nanti awak sesat adalah dakwaan jahil yang tidak berasaskan ilmu sama sekali.

Ijtihad strategi
Kata sarjana fekah yang terbilang Dr ‘Abd al-Karim Zaidan: 

"Sesungguhnya syariat Islam adalah hujah mengatasi seluruh mazhab. Bukanlah mazhab yang menjadi hujah mengatasi syariat Islam... Apabila jelas kepada pengikut sesuatu mazhab bahawa mazhabnya salah dalam masalah tertentu, sementara kebenaran berada pada pendapat yang lain dan masalah itu cukup jelas baginya, maka hendaklah dia bertukar mazhab kepada pendapat yang benar dalam masalah tersebut...harus bagi pengikut sesuatu mazhab mengikut mazhab lain dalam sebahagian masalah. Ini kerana tidak wajib kepadanya untuk terikat dengan semua ijtihad mazhabnya. Dengan syarat ia disebabkan oleh dalil yang menuntutnya berubah dari mazhabnya ke mazhab yang lain dalam masalah tertentu. Demikian juga harus untuk dia bertanya mana-mana ahli fekah bukan dari mazhabnya dalam sebarang hukum syarak. Dia boleh beramal berdasarkan apa yang difatwakan kepadanya". (Dr Abd al-Karim, Al-Wajiz fi Usul al-Fiqh, m.s. 412-413, Beirut: Muassasah al-Risalah)

Betapa kita lihat sesetengah fanatik politik PAS yang enggan mendengar pendapat seseorang hanya kerana orang itu Umno. Demikian juga sebaliknya. Padahal parti politik itu bukan diasaskan atas dalil-dalil syara' seperti mazhab fekah. 

Lagikan mazhab fekah tidak mutlak kebenarannya, inikan parti politik yang hanya atas ijtihad strategi dan pandangan politik yang terdedah kepada betul dan salah. Bukan semua pendapat UMNO itu salah dan bukan semua pendapat PAS itu betul. Begitu juga sebaliknya. PKR dan DAP juga demikian. 

Keluasan menerima pendapat adalah ajaran agama ini yang mesti kita manfaatkan. Kebenaran itu merentasi sempadan agama, mazhab, kumpulan dan lain-lain. Namun Islam sebagai al-din adalah kebenaran mutlak.

PROF MADYA DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN adalah bekas mufti Perlis.


Monday, September 16, 2013

Anjing dan isu masyarakat Malaysia

Anjing dan isu masyarakat Malaysia
 
 
 
Dalam masyarakat yang rencam agama dan budaya, pelbagai perkara sensitif mudah timbul. Di zaman teknologi maklumat, bermacam sudut pandang akan muncul. Sememang inilah realiti masyarakat ‘era baru' kini yang mempunyai pelbagai dimensi dan perspektif baru yang tidak dimiliki oleh generasi yang hidup dalam era yang lepas.

Umpamanya apabila isu video anjing yang dikaitkan dengan umat Islam menyambut hari raya timbul, pelbagai reaksi lahir. Ada yang kata anjing binatang yang dimusuhi Islam. Ada yang kata video itu hina umat Islam.

Ada yang kata perbuatan memegang anjing diharamkan oleh Islam. Ada pula yang kata, apa salahnya kita membela anjing macam orang lain. Macam-macam lagi yang ditimbulkan. Ada yang berdasar fakta, ada berdasar emosi.

Ramai yang meminta saya mencoretkan sesuatu tentang anjing pada pandangan muslim. Dalam ruang yang terbatas ini, saya ingin sebutkan secara ringkas isu-isu berikut:

Samakan dengan anjing

Walaupun manusia mempunyai pelbagai latar budaya dan agama, namun secara umumnya semua masyarakat menganggap menyamakan mana-mana individu dan pihak dengan anjing merupakan satu penghinaan.

Sekalipun masyarakat Barat ramai yang menganggap ‘a dog is a man's best friend' namun jika kita berkata ‘you are like a dog' ia merupakan satu penghinaan. Jika pun ada yang memahami dengan maksud kesetiaan ataupun loyalty namun ia bermaksud kesetiaan yang membuta tuli.

Al-Quran juga menjadikan anjing sebagai satu perumpamaan yang buruk bagi golongan ulama penjilat dunia yang menjual prinsip kebenaran demi kepentingan diri. Firman Allah yang bermaksud:

"Dan bacakanlah kepada mereka (Wahai Muhammad), khabar berita seorang yang Kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat Kami. Kemudian dia menjadikan dirinya terkeluar dari mematuhinya, lalu dia diikuti oleh syaitan, maka dia dari kalangan yang sesat. Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami angkat kedudukannya dengan (berpegang) ayat-ayat itu, tetapi dia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya, ia menghulurkan lidahnya, dan jika Engkau membiarkannya, ia juga menghulurkan lidahnya. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir (Surah al-'Araf: 175-176).

Jadi, jika masyarakat muslim sensitif apabila mereka ataupun amalan mereka dibandingkan dengan anjing, maka itu memang sepatutnya. Mereka yang membuat apa-apa provokasi dalam hal yang seperti itu memang membuat onar dan ingin menimbul permusuhan dengan masyarakat muslim tanpa sebab. Perbuatan itu merosakkan keharmonian masyarakat di negara ini.

Islam benci anjing?

Ada orang bertanya pula, jadi apakah Islam membenci anjing dan melarang muslim berbuat baik kepada binatang berkenaan?

Dalam al-Quran, Allah menceritakan tentang anjing yang mengiring para pemuda al-Kahfi dan turut bersama mereka semasa berjuang menghadapi rejim yang zalim pada zaman mereka. Firman Allah yang bermaksud:

"Dan engkau sangka mereka sedar, padahal mereka tidur; dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri; sedangkan anjing mereka menghulurkan dua kaki depannya dekat pintu gua; jika engkau melihat mereka, tentulah engkau akan berpaling melarikan diri dari mereka, dan tentulah engkau akan merasa amat gerun takut kepada mereka." (Surah al-Kahfi, ayat 18).

Anjing tersebut melambangkan binatang yang bersahabat dengan para pejuang kebenaran. Anjing itu lambang kemuliaan. Sesetengah riwayat Yahudi menamakan anjing itu ‘qidmir'.

Sementara dalam hadis pula, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:

"Diampunkan dosa seorang pelacur yang melintasi seekor anjing yang berada di tepi sebuah telaga yang lidahnya terjelir. Hampir kehausan membunuhnya. Maka pelacur itu pun menanggalkan kasutnya, lalu dia ikat kasut itu dengan tudungnya lantas dia menceduk air untuk anjing tersebut. Dia diampunkan disebabkan kejadian itu" (Riwayat al-Bukhari).

Betapa seorang pelacur yang buruk sekalipun diampuni dosanya oleh Allah kerana dengan ikhlas memberikan minum kepada seekor anjing. Bagaimana mungkin untuk kita menganggap bahawa Islam tidak menilai sebagai satu perbuatan yang baik jika muslim memberi makan dan minum kepada anjing? Jika ada orang muslim yang memberi makan kepada anjing patutlah dipuji.

Bolehkah muslim memiliki anjing?

Dalam al-Quran, Allah menyebut yang bermaksud:

"Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad): "Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka?" bagi menjawabnya: "Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang baik-baik, dan (buruan yang ditangkap oleh) binatang-binatang pemburu yang telah kamu ajar (untuk berburu) mengikut cara pelatih-pelatih binatang pemburu. Kamu mengajar serta melatihnya (adab peraturan berburu) sebagaimana yang telah diajarkan Allah kepada kamu, oleh itu makanlah dari apa yang mereka (binatang-binatang buruan) itu tangkap untuk kamu dan sebutlah nama Allah atasnya (ketika kamu melepaskannya berburu); dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha cepat hitungan hisab-Nya" (Surah al-Maidah, ayat 4)

Binatang pemburu yang biasa digunakan ialah anjing. Kitab-kitab tafsir seperti Tafsir Ibn Kathir dan selainnya akan menyebut anjing sebagai pemburu utama. Juga perkataan mukallibin dalam ayat ini boleh bermaksud tuan-tuan empunya anjing seperti yang disenarai oleh al-Imam Ibn al-Jauzi (meninggal 597H) dalam Zad al-Masir.

Ertinya, muslim memiliki anjing buruan. Demikian dia boleh memiliki anjing yang menemaninya berjalan atau menjaga keselamatan rumah seperti anjing Ashab al-Kahfi yang disebutkan tadi.

Bolehkah muslim memegang anjing?

Ada yang menyatakan haram memegang anjing kerana najis. Kalau kerana ia najis haram dipegang, maka haram juga seseorang menyentuh najis dirinya, ataupun anaknya ataupun sesiapa di bawah jagaannya ketika membersihkannya.

Haramlah juga mereka yang berkerja yang membabitkan bahan-bahan bernajis seperti mencuci tandas ataupun darah ataupun nanah dan lain-lain. Begitu juga dengan doktor veterinar. Maka itu kesimpulan hukum yang cetek.

Najis boleh disentuh tetapi hendaklah dibasuh apabila kita hendak beribadat ataupun berurusan dengan masyarakat. Menyentuh anjing yang kering sepakat ulama tidak najis. Menyentuh anjing basah khilaf pendapat dalam kalangan sarjana. Mazhab Syafie agak tegas dalam hal ini.

Namun, pendapat-pendapat mazhab lain lebih luas dan mudah. Sebahagian fuqaha hanya membataskan najis anjing itu hanya jilatannya kerana itu sahaja yang disebut dalam hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Apabila anjing menjilat bekas seseorang kamu, maka basuhlah sebanyak tujuh kali. Salah satunya dengan tanah" (Riwayat al-Bukhari).

Memelihara anjing dalam rumah

Adapun memelihara anjing dalam rumah tanpa sebab adalah tidak digalakkan oleh Islam. Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

"Sesiapa yang memelihara anjing kecuali anjing buruan ataupun ternakan (menjaga ternakan) maka berkurangan pahalanya setiap hari sebesar qirat (Bukit Uhud)" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Berdasarkan hadis ini, maka sekurang-kurangnya memelihara anjing tanpa sebab yang disebutkan berada pada hukum makruh. Ada ulama yang mengharamkan. Namun hadis di atas tidak menyebut dosa, tetapi pengurang pahala sahaja.

Maka, hukum makruh dipilih oleh sebahagian fuqaha. Hikmahnya, mungkin atas beberapa sebab yang berkaitan kerohanian dan kemasyarakat.

Islam menyuruh kita mengalukan tetamu. Bukan semua orang suka dengan anjing. Baunya dan juga salakannya boleh menakutkan sesetengah orang. Sesiapa yang pernah pergi ke rumah pemelihara anjing, atau menaiki kenderaan yang ada anjing dia akan tahu baunya yang bukan semua orang dapat bertahan.

Salakan anjing dan bulu-bulu di sana-sini bagaikan tidak mengalu-alukan tetamu. Sedangkan Islam agama kemasyarakatan dan hubungan baik antara jiran, saudara-mara dan sahabat handai.

Dari segi keselamatan dan kesihatan juga mempunyai kemerbahayaannya. Gigitan anjing, najis serta jilatannya merbahaya. Banyak penyelidikan yang telah dibuat tentang hal ini. Apabila Islam cuba mengelakkan bahaya anjing yang dipelihara dalam rumah dengan melarang penganutnya berbuat demikian, bukan itu bererti penindasan terhadap anjing.

Betapa banyak binatang yang manusia elakkan dari menghampirinya kerana kemerbahayaannya. Itu semua bukan bererti penindasan atau kekejaman!

Dalam hadis tadi Nabi SAW bersabda: "Apabila anjing menjilat bekas seseorang kamu, maka basuhlah sebanyak tujuh kali. Salah satunya dengan tanah" (Riwayat al-Bukhari).

Untuk mengelakkan jilatan anjing yang sentiasa menjelir lidah, yang dianggap najis dari segi agama dan juga bahaya dari segi saintifik maka Islam melarang untuk kita memelihara anjing di dalam rumah tanpa alasan yang diizinkan.

Maka ini ringkasan yang sempat saya coretkan petang ini berhubung dengan sisi pandangan nas-nas Islam berkaitan dengan anjing.


Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin adalah bekas mufti Perlis.
 
 

Kehidupan bukan sebuah novel

Kehidupan bukan sebuah novel
 
 

Novel, filem dan drama kadang-kala mempengaruhi minda sesetengah pihak sehingga mereka tenggelam dalam khayalan dunia seperti itu. Memang benar, membaca novel, menonton filem ataupun karya seni lain yang menceritakan watak-watak khayalan yang diwujudkan merupakan satu hiburan dan ruang untuk kita menjenguk sisi pandang pengkarya tentang watak dan babak yang diwujudkan itu. Ia membantu percambahan minda, tambahan maklumat dan kadang-kala ia boleh melebarkan diskusi pemikiran.

Namun, pada pandangan saya, kesungguhan untuk memberikan penilaian terhadap rumusan keseluruhan kehidupan bagi sesebuah watak yang diwujudkan dalam novel, cerpen, drama, filem ataupun sebagainya bukanlah satu kerja yang begitu bermanfaat. Ini kerana kisah kehidupan yang diwujudkan dalam karya bikinan manusia itu tidak realiti dan hanya andaian semata. Jalan kisah bagi watak-watak itu ditulis oleh manusia. Sedangkan, kehidupan yang hakiki ditulis oleh Tuhan.

Khayalan dan realiti

Para pengkarya menulis cerita berdasarkan khayalan dan kehendak yang ada dalam diri mereka. Khayalan ini dipengaruhi oleh faktor dalaman jiwa, kepentingan diri dan tuntutan persekitaran. Episod dan babak kehidupan yang direka itu, ditafsirkan pula dari sudut pandang seseorang pengkarya yang mempunyai latar diri dan kepentingan yang tersendiri. Sementara kehidupan yang hakiki, jalan kisahnya ditulis oleh Tuhan yang tidak mempunyai apa-apa kepentingan dan keperluan, sebaliknya Dia Maha Kaya dan Maha Perkasa.

Walaupun Allah SWT memberikan ruang kebebasan kepada manusia untuk memilih antara yang baik dan yang buruk, sehingga ada pihak yang mungkin dizalimi dalam kehidupan dunia atas pemilihan buruk dibuat oleh sebahagian manusia, namun Allah SWT menentukan pelbagai keadaan dalam memberikan keadilan dan menzahirkan hikmah dalam perjalanan hidup seseorang. Campur tangan Tuhan dalam plot-plot kehidupan ini sangat ajaib dan halus.

Kisah kehidupan sebenar, jika diteliti tiada yang boleh dikatakan berlaku secara kebetulan, tetapi ia bagaikan plot-plot yang jika dilihat dari awal sehingga akhir, yang zahir dan tersembunyi, yang tersirat dan yang tersurat akan terbongkar rahsianya yang dapat diketahui oleh diri yang melaluinya. Kisah dan watak sebenar yang diceritakan kepada kita dalam banyak keadaan hanya zahir berita yang diriwayatkan. Hakikat dalaman diri seseorang sehingga babak, episod dan jalan cerita yang seperti itu boleh berlaku, hanya Tuhan yang Maha Tahu dan diri berkenaan juga mungkin tahu. 

Dalam banyak kisah kita hanya mengetahui zahirnya sahaja, sedangkan batin kisah tersebut yang membabitkan rahsia seseorang, niatnya, episod dan babak yang disembunyikan, banyak yang kita tidak tahu. Maka kita menilai sesuatu berdasarkan zahir yang kita tahu, sedangkan Tuhan melihat segalanya zahir dan batin. Apakah sama, antara karya manusia dan realiti hidup yang ditentukan oleh Tuhan.

Tersurat dan tersirat

Saya selalu mengambil kisah pelacur dan anjing yang disebut dalam hadis Nabi SAW. Nabi SAW bersabda:

"Diampunkan dosa seorang pelacur yang melintasi seekor anjing yang berada di tepi sebuah telaga yang lidahnya terjelir. Hampir kehausan membunuhnya. Maka pelacur itu pun menanggalkan kasutnya, lalu dia ikat kasut itu dengan tudungnya lantas dia mencedok air untuk anjing tersebut. Dia diampunkan disebabkan kejadian itu." (Riwayat al-Bukhari)

Mungkin ada yang bertanya bagaimanakah dengan mudah seorang pelacur yang memberikan minum seekor anjing mendapat keampunan. Apakah ini bererti setiap pelacur yang memberi minum kepada anjing ataupun yang membelanja rakan-rakan yang ‘manusia' untuk makan dan minum akan mendapat keampunan? Kisah ini bukan soal memberikan anjing atau apa-apa haiwan makan dan minum, tapi apakah yang ada di sebalik perasaannya ketika dia memberi anjing berkenaan minum. Juga kehidupan yang pernah dilaluinya sehingga Tuhan mencampak rahmat ke dalam jantung hatinya untuk melahir dan menzahirkan simpati terhadap anjing berkenaan. 

Demikian, sudah pasti ada episod yang dilalui pelacur yang menyebabkan Tuhan memilihnya untuk memberikan hidayah dan peristiwa memberi minum anjing itu dijadikan titik tolak keampunan untuknya. Banyak yang tersirat di sebalik yang tersurat.
Jangan pula kita hairan, jika wanita di medan pelacuran mendapat keampunan sedangkan ada mujahid di medan jihad yang mendapat kemurkaan Tuhan.

Kata Abu Hurairah RA:

"Kami menyertai Rasulullah SAW dalam satu peperangan. Baginda berkata kepada seorang lelaki yang mendakwa Islam, dia dalam kalangan ahli neraka.

"Apabila peperangan berlaku, lelaki tersebut telah berperang dengan hebat dan tercedera. Lalu ditanya Rasulullah SAW: Engkau telah berkata dia dalam kalangan ahli neraka sedangkan dia berperang hari ini dengan hebatnya dan telah mati.

"Jawab baginda: Ke neraka. Maka sesetengah pihak merasa keraguan. Dalam keadaan tersebut, tiba-tiba mereka dimaklumkan dia belum mati, tetapi tercedera parah. Apabila malam menjelang dia tidak dapat sabar atas kecederaannya, lalu membunuh diri.

"Lalu diberitahu perkara tersebut kepada Rasulullah SAW, lantas baginda bersabda: Allahu Akbar! Aku menyaksikan aku hamba Allah dan rasul-Nya!

"Lalu baginda perintahkan Bilal agar mengisytiharkan bahawa tidak akan masuk syurga melainkan jiwa yang Muslim dan Allah mungkin menguatkan agama-Nya dengan lelaki yang jahat." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Ini semua berlaku kerana Tuhan sahaja yang mengetahui hakikat yang tersimpan dalam kehidupan seseorang. Ini merentasi andaian setiap kita yang kebanyakannya hanya mampu menilai pada zahir semata. Sekali lagi, banyak yang tersirat di sebalik yang tersurat.

Zahir dan batin 

Tuhan pula dalam melimpahkan kebahagiaan untuk seseorang itu menerusi pelbagai warna, cara dan rasa. Ia kadang kala merentasi khayalan dan andaian manusia. Betapa ramai yang kita pandang zahirnya derita, batinnya mungkin jauh lebih bahagia dari apa yang kita rasa. Betapa ramai yang dilihat sedang bermandian dengan nikmat dan kebahagiaan, tetapi hakikat Tuhan sedang mencampakkan dalam jiwa keresahan dan derita jiwa yang tidak dapat dihuraikan dan ungkapkan dengan lidah untuk diadukan kepada sesiapa. Kehidupan ini sungguh ajaib dan luar biasa. 

Tuhan menulis kehidupan yang hakiki, ia merentasi khayalan seorang penulis. Diari kehidupan seseorang yang berjalan dalam alam realiti bersama dengan segala asam garam kehidupan, yang tersurat dan tersirat dan yang zahir dan batin yang ditentukan oleh Tuhan itu, tentu tidak dapat digarap oleh khayalan seorang insan.

Rumusan sebuah kehidupan

Walaupun novel mempunyai peranannya yang tersendiri, setiap babak yang dikhayalkan itu juga mungkin kiasan realiti kehidupan yang benar-benar wujud, namun cantuman plot dan babak yang dirangkumkan sehingga menjadi riwayat hidup sesuatu watak ia tetap suatu khayalan semata. Dalam bahasa yang agak kasar, penulis seakan menjadi Tuhan kepada watak-watak rekaan mereka dalam menentukan perjalanan dan takdir hidup yang penulis mahukan. 

Jika kita andaikan watak itu benar-benar wujud dalam alam realiti, apakah demikian jalan cerita dan gabungan plot yang Tuhan akan tentukan?
Oleh kerana itu, kesimpulan novel banyak dipengaruhi oleh mazhab dan pemikiran seorang pengkarya. Mungkin yang salah itu akan zahir sebagai yang benar dan direlai Tuhan atas kehendak penulis. Mungkin watak yang benar pada alam realiti, akan zahir sebagai yang salah dan tidak mendapat rahmat Tuhan ataupun kurniaan kehidupan kerana watak itu bertentangan dengan mazhab ataupun pegangan pengkarya.

Maka, saya simpulkan dari segi agama bahawa kita boleh menilai peristiwa-peristiwa yang dikhayal dalam sebuah karya sebagai satu andaian peristiwa seperti andaian hukum bagi perkara iftiradi (andaian), namun kita tidak boleh membuat kesimpulan tentang keseluruhan kehidupan yang direka dan dirumuskan oleh seseorang pengkarya. Ini kerana ia hanya rekaan semata sedangkan perjalanan hidup sebenar yang Tuhan takdirkan yang sangat tersendiri dengan segala hikmat dan rahsianya.

PROF MADYA DATO' DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN bekas mufti Perlis.