Lebih menganehkan beliau semacam tidak dapat menyembunyikan niat serongnya, apabila beliau cuba membuat ‘prejudgement’ dengan memberi nilaian yang negatif walaupun beliau sendiri ternyata tiada sebarang maklumat mengenai apa itu Piagam UMNO-Pas.
Keseluruhan tulisan beliau tersasar jauh apabila cuba membandingkan HPU914 dengan Majlis Pembentukan Pakatan Rakyat (PR) 2019 di Shah Alam. Jelas sekali beliau cuba meraba-raba di dalam kegelapan.
HPU914 bukan majlis pembentukan satu GABUNGAN PARTI ALTERNATIF YANG BAHARU..belum lagi saudara Yb Dr. Mujahid. Harap saudara dapat bersabar dan mengawal keresahan saudara.
UMNO dan Pas bukan parti berusia dua atau tiga tahun. UMNO dan Pas juga bukan serpihan kecil yang desperado mencari gabungan untuk hidup menerusi formula rapuh yang menggadai prinsip, maruah dan harga diri sehingga sanggup bersekongkol, membajai dan menyirami politik yang ternyata menyanggah kepentingan agama, bangsa dan falsafah asas negara. Ia kini semakin jelas negara dan rakyat sedang diheret secara songsang menuju kehancuran.
UMNO dan Pas ada perancangan sendiri. Ia akan diketahui apabila sampai masanya. Sudah pasti ia sukar diramal oleh orang seperti Dr. Mujahid, yang sedang tenggelam dalam kolam politiknya sendiri. Tergapai-gapai dan semakin lemas di kolam yang cetek.
UMNO dan Pas mengambil langkah yang asas tetapi penting. Ummah yang parah berpecah-belah perlu disatu-padukan. Islam dan Pribumi adalah KELOMPOK TERAS kepada kewujudan negara bangsa.
Ia merupakan TIANG SERI POLITIK NEGARA. Sekiranya ia patah atau lemah, politik negara tidak mungkin berdiri tegak. Di sinilah RAPUHNYA GAGASAN PH yang dianggotai oleh Dr. Mujahid.
Justeru, bukan soal survival UMNO atau Pas yang menjadi perhitungan. Apa maknanya jika sekadar ‘survive’ seperti Amanah dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam PH sekarang. Itu bukan model yang mahu dibina oleh UMNO dan Pas.
Ketika ini, UMNO dan Pas berganding bahu mengubati luka parah kesatuan ummah. Kita secara komited mahu mendekatkan yang jauh dan menyatukan yang bercerai-berai. Selari dengan ajaran Islam itu sendiri, kita mengikat semula dengan tali Allah, menyatukan ummah seperti mana diatur Rasulullah SAW. Taawun, sebelum tercipta Tahaluf.
Justeru pada 14 September 2019, bukan untuk mengumumkan PAKATAN BAHARU, dengan ‘Common Policy Framework’ (CPF) yang baharu. Belum lagi, masih terlalu awal dan setiap langkah disusun rapi agar serentak dan sederap.
Insya-Allah kita ada ‘roadmap’ yang bakal kita kembangkan secara organik. Kita tidak membawa TOTAL SOLUTION secara sekelip mata. Biar itu menjadi rahsia kami buat masa ini.
Malah apa yang bakal diisytiharkan, hanyalah SATU MUKA SURAT YANG MERUPAKAN RINGKASAN, dan dinamakan sebagai piagam, manakala dokumen terperinci antara Pas dan UMNO yang juga ditandatangani pada 14 haribulan ini kekal sebagai dokumen dalaman kedua-dua parti.
UMNO dan Pas amat kenal dengan siapa kami berdepan. Maka langkah kami langkah berhemat, langkah cermat Insya-Allah.
Yang pasti UMNO dan PAS akan bergerak dengan mendokongi aspirasi rakyat, menjadi lidah mata dan telinga rakyat, serta menjulang harapan jujur rakyat.
Penyatuan ummah bukan bersifat ‘one off’ atau ‘one event program’. Ia akan kita gerakkan sebagai satu gelombang rakyat. Rakyat pelbagai kaum, agama dan latarbelakang yang diharmonikan secara penuh kesedaran atas prinsip dan cara yang dipandu oleh Islam itu sendiri.
Kerangka membina semula harus kukuh. Bukan penyelesaian mi segera yang kita cari. Jika tidak, kita AKAN MENGULANGI KEGAGALAN PH SEPERTI YANG SEDANG KITA SAKSIKAN SEKARANG. Ia amat mengecewakan rakyat.
Formula PH ternyata palsu atau ‘fake’. Penuh sandiwara. Janji-janji yang lunak mengecewakan rakyat. Baharu beberapa bulan mendapat mandat, mereka bercakaran sesama sendiri. Mereka tidak pernah fokus dengan agenda rakyat. Mereka masih dalam keadaan ‘denial mode’ dan menyalahkan orang lain.
Mereka cuba memberikan gambaran situasi ‘lebih buruk dari yang sebenar’ yang kemudiannya benar-benar menjadi lebih buruk. Pada masa yang sama mereka terpalit dengan skandal demi skandal yang amat memalukan.
Setiap minggu negara berdepan dengan berita buruk yang akhirnya menghapuskan sama sekali ‘FEEL-GOOD FACTOR’ dalam kalangan rakyat. Semakin hari semakin ketara negara diperintah oleh satu rejim KAKISTOCRACY (kerajaan atau pemerintahan yang HOPELESS). Kerajaan yang songsang sifatnya.
Sebab itu UMNO dan Pas mahu membina sesuatu yang KENTAL (SOLID) dan TULEN untuk Malaysia. Bukan membina HARAPAN palsu.
Tak usahlah ada pihak yang cuba meramal atau melakar apa yang kami mahu lakukan berdasarkan firasat yang serong. Sebagai dua buah parti yang telah melalui pasang surut dan suka duka politik tanah air, UMNO dan Pas akan bergabung tenaga secara jujur lagi luhur untuk membawa penyelesaian kepada aspirasi rakyat yang selama ini hampa dan mengecewakan.
UMNO dan Pas akan berjuang mempertahankan setiap asas Perlembagaan dan Rukun Negara yang sedia terbina. UMNO dan Pas akan mempastikan MUAFAKAT yang baharu benar-benar membawa Malaysia yang majmuk menjadi sebuah negara yang harmoni, bersatu padu serta lebih maju.
Kami yakin kami lebih mampu melakukannya demi kepentingan rakyat.
MUAFAKAT KAMI MUAFAKAT RAKYAT

Tan Sri Annuar Musa
Sekretariat Ta'awun UMNO-Pas

*Penafian: Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian Utusan.