Dunia menghalalkan pertumpahan darah umat Islam?
ISRAEL, kuasa tanpa negara menghalang penganjuran Mesyuarat Luar Biasa Peringkat Menteri Jawatankuasa Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) yang dijadualkan di Ramallah, Palestin.
Mesyuarat sepatutnya berlangsung dari 5 hingga 6 Ogos lalu. Alasan Israel ada kalangan negara anggota pergerakan itu tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan kuasa besar itu dan Malaysia salah sebuah negara yang dimaksudkan.
Justeru mesyuarat luar biasa peringkat menteri NAM tidak boleh dilangsungkan.
Dalam hal ini seperti mana juga hal-hal lain, sifat bongkak, angkuh dan gila kuasa rejim Zionis amat terserlah. Kuasa besar itu mahu meneruskan cengkaman ke atas Palestin sehinggakan persidangan yang sepatutnya berlangsung di Ramallah iaitu bumi Palestin mendapat tentangan.
Apa hak Israel? Memang benar ada kalangan negara anggota NAM seperti Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan kuasa besar itu. Tetapi apa perlunya dan apa kaitannya hubungan diplomatik dengan Israel jika mesyuarat luar biasa NAM mahu dilangsungkan di bumi Palestin?
Di mana rasional kata dua Israel itu atau sememangnya Israel telah memaktubkan keseluruhan Palestin adalah haknya sehingga terserlah keberanian menghalang mesyuarat khusus bagi membincangkan perihal negara yang tinggal sekangkang kera itu.
Mesyuarat luar biasa peringkat menteri jawatankuasa NAM adalah mengenai Palestin. Sebab itu ia diadakan di bumi yang hampir 90 peratus daripada tanahnya telah dirampas oleh Israel. Ia juga telah diputuskan ketika menteri-menteri luar bermesyuarat di Sharm El-Sheikh pada Mei lalu. Tidak ada pula Israel berbunyi ketika itu, biar pun satu dunia mengetahui pemilihan Ramallah sebagai pusat pertemuan seterusnya.
Hakikatnya, menteri-menteri luar yang menjadi ketua delegasi tidak menjejakkan kaki ke tanah Israel kerana kuasa besar itu tidak mempunyai tanah. Mereka memilih Ramallah yang merupakan wilayah Palestin, waima jika NAM bermesyuarat luar biasa di Israel sekali pun, tanah itu adalah darah dan air mata rakyat Palestin.
Israel sememangnya tidak memiliki apa-apa melainkan kekejaman menindas penduduk Palestin yang kini menjadi pelarian di negara sendiri. Kekejaman dan kezaliman itu menjadikan Israel kuasa besar sekarang ini sehingga mempunyai kekuatan untuk mencatur politik di negara-negara Islam. Israel digeruni sehinggakan tidak ada satu negara mahu pun pertubuhan mampu merungkaikan penderitaan rakyat Palestin apatah lagi mahu melunasi nyawa-nyawa yang telah terkorban.
Sekadar menghulurkan bantuan yang sarat dengan sekatan, curahan simpati selain mesyuarat tidak berkeputusan oleh NAM, Pertubuhan Persidangan Islam, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan lain-lain, dunia tidak mampu berbuat lebih daripada itu.
Selebihnya, dunia hanya mampu menjadi pemerhati kekejaman demi kekejaman dan semakin tipisnya harapan Palestin untuk memiliki semula haknya yang sejak puluhan tahun dirampas Israel.
Penderitaan rakyat Palestin hakikatnya telah menjadi sejarah. Menunggu mentari muncul tanpa sisa-sisa abu nuklear di bumi itu bermakna akan ada satu catatan sejarah baru dalam perjuangan penduduk Palestin. Sehingga hari ini apa yang disaksikan dunia adalah ulangan sejarah kekejaman dan penindasan Israel tanpa ada belas ihsan jauh sekali mahu tunduk menjenguk sekelumit keperluan penduduk di situ.
Kelukaan penduduk Islam di Palestin sudah terlalu parah. Malah dunia Islam baik di mana-mana menangisi satu persatu tragedi yang mengorbankan nyawa demi nyawa tanpa ada ihsan baik di bulan Ramadan mahu pun sebaliknya.
Sementelah konflik di negara-negara Islam di Asia Barat sendiri tidak pernah berkesudahan, manakala di ASEAN seperti Myanmar umat Islam terus dijajah malah diratah nyawa mereka tanpa ada batasan.
Siapa dalang di sebalik peristiwa berdarah ini? Adakah segala-galanya tercetus sendiri tanpa ada sebab atau provokasi? Atau darah umat Islam memang dihalalkan di mana saja oleh satu kuasa besar yang tidak akan tenteram selagi mereka tidak mendapat pengiktirafan dengan menjadikan Palestin bumi mereka secara muktamad. Akan adakah detik itu, atau akan adakah yang mampu mengubah sejarah? Tentunya ada.
No comments:
Post a Comment