Kisah jurutera Jepun memeluk Islam
MUSTAFA JUN AKIMA bergambar kenangan bersama penulis (kanan sekali) dan dua rakyat Singapura selepas mengucap dua kalimah syahadah.
CERITA rakan saya, Mustafa Jun Akima, 30, amat unik. Beliau yang memiliki karier stabil sebagai seorang jurutera marin dalam pengkhususan reka bentuk kapal sanggup berhenti kerja semata-mata kerana ingin mendalami Islam.
Destinasi pilihannya yang fasih bertutur dalam bahasa Inggeris, Indonesia, Mandarin dan semestinya Jepun ialah Malaysia atau lebih khusus lagi di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor.
Alhamdulillah dan terima kasih kepada semua pihak terlibat merealisasikan impian murni Mustafa termasuk Pusat Islam UKM, Dr. Wan Fariza Alyati, Shazlinda Md. Yusuf dan Ustazah Sharipah Hendon yang sudi mengambil Mustafa sebagai anak angkat.
Kami di Jepun memang amat kekurangan tenaga pengajar Islam (ustaz) warganegara Jepun.
Kebanyakan masjid di sini berimamkan individu luar yang majoritinya tidak boleh berbahasa Jepun.
Ini adalah antara penyebab utama Islam amat sukar berkembang di negara matahari terbit itu.
Ini adalah antara tujuan utama dakwah saya di sini. Mengenal pasti warga Jepun yang berminat untuk mendalami Islam dan seterusnya berminat menjadi ustaz.
Kami amat berharap dermawan dari Malaysia sudi membiayai pembelajaran warga Jepun Muslim seperti Mustafa pada masa hadapan.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 261: “Bandingan (derma) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi 100 biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya.”
Jika sesiapa ke UKM dan terjumpa warga Mustafa, berilah salam kepadanya.
DETIK PELUK ISLAM
Pada 10 September 2017, saya yang singgah di Masjid Osaka untuk menunaikan solat asar terjumpa seorang warga Jepun dalam masjid itu. Kami berbual dan dalam perbualan itu, beliau menceritakan pengalamannya lebih 10 tahun belajar mengenai Islam, malah mampu berbahasa Melayu.
Antara perbualan kami:
Saya: Sudah Muslim?
Mustafa: Belum lagi
Saya: Mengapa...tadi kata dah faham Islam, percaya pada Tuhan?
Mustafa: Ya saya percaya
Saya: Percaya pada Nabi Muhammad?
Mustafa: Ya saya percaya
Saya: Secara teknikalnya anda adalah Muslim. Mengapa datang ke masjid?
Mustafa: Saya suka berada di masjid kerana berasa tenang bila berada dalamnya.
Kemudian kami (bersama dua rakyat Singapura) terus bercerita mengenai Islam selama lebih kurang 20 minit. Didapati bahawa beliau telah memahami Islam sepenuhnya.
Pada akhir perbualan, kami mengajaknya untuk secara ‘rasmi’ memeluk Islam. Mustafa langsung tidak menolak sambil menyatakan bahawa sebelum ini tiada sesiapa pun mengajaknya memeluk Islam.
Selepas solat asar, Mustafa secara rasminya menjadi saudara seislam setelah mengucapkan lafaz dua kalimah syahadah.
Daripada peristiwa pengislaman Mustafa, dapat disimpulkan bahawa sekiranya bertemu seseorang bukan Islam yang datang ke masjid untuk mencari ketenangan, santunilah mereka dan lakukan dakwah. Insya-Allah hidayah sudah sampai kepadanya, cuma tidak mengetahui langkah seterusnya untuk dilakukan.
Lelaki Jepun itu telah lama memilih nama Islam yang disukainya iaitu Mustafa, malah setelah memeluk Islam beliau meminta kami memanggilnya dengan nama istimewa itu.
BERPUTIKNYA HIDAYAH
Cara Mustafa menerima Islam amat menarik iaitu beliau mendalami maksud perkataan Islam. Bagi beliau maksud Islam, menyerah diri kepada Yang Maha Kuasa dengan melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya amat berbekas dalam dirinya.
Dengan fahaman itulah yang berjaya menjadi pendinding kepadanya apabila pelbagai keburukan disandarkan kepada Islam terutama tohmahan Islam menggalakkan keganasan.
Beliau tahu itu bukannya ajaran Islam yang sebenarnya menekankan kepada kepatuhan dan ketaatan kepada perintah Allah.
Kepada yang membaca tulisan ini, diharapkan agar dapat mendoakan kami agar diberikan kekuatan untuk terus berdakwah dan mengembangkan syiar Islam di Jepun.
Tag Berkaitan
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/rencana/agama/kisah-jurutera-jepun-memeluk-islam-1.614124#ixzz57t5eFHR0
© Utusan Melayu (M) Bhd