Sunday, July 28, 2013

Pandai dakwah belum pandai siyasah

                                                                                                                             Isi Kandungan

Pandai dakwah belum pandai siyasah
 
Apabila dunia Islam bergolak disebabkan kebosanan dan rasa menyampah rakyat kepada regim ataupun penguasa mereka yang korupsi dan tidak jujur, mereka mula mencari alternatif pemimpin baru untuk diberikan amanah memimpin negara. 

Dalam carian mereka, tokoh-tokoh agamawan ataupun mereka yang dilihat sebagai pendakwah antara yang dicalonkan untuk amanah tersebut.

Malangnya, dalam masa yang sama, kelompok agama ini pula ada yang seakan dalam dilemma ataupun kekaburan dalam melihat persamaan dan perbezaan antara tugasan dakwah dan tugasan politik.

Persamaan

Sebelum kita sebut perbezaan, kita tahu dakwah dan siyasah dalam Islam ini ada persamaan dalam beberapa sudut. Antaranya, keduanya hendaklah dilakukan sebagai menunaikan perintah Allah. Maka keikhlasan wajib untuk keduanya. Dakwah ke jalan Islam bermaksud mengajak manusia kepada ajaran Islam yang begitu luas. 

Siyasah syar'iyyah itu pula sebahagian dari ajaran Islam. Dalam gerak kerja dakwah, seseorang mungkin menyeru atau memfokuskan seruan dakwahnya kepada mana-mana ajaran Islam seperti akidah, ibadah, akhlak muamalat dan juga siyasah. Dengan itu seruan kepada menghayati siyasah syar'iyyah merupakan sebahagian dari aktiviti dakwah.

Kerja dakwah itu menyuruh kepada yang baik, mencegah dari kemungkaran, itulah juga tanggungjawab seseorang muslim yang mendapat kuasa siyasah. Firman Allah dalam Surah al-Hajj ayat 41 yang bermaksud: 

"Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kemungkaran. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan."

Dari ayat di atas kita tahu kekuasaan bagi membolehkan manusia aman menunaikan ibadah badaniyah dan maliyah yang diwakili oleh solat dan zakat. Kemudian dengan kekuasaan ditegakkan yang makruf iaitu segala bentuk kebaikan untuk kehidupan manusia daripada akidah, ibadah, kebajikan kehidupan harian seorang insan tanpa mengira latar agama, keadilan dan ihsan. 

Begitu dengan kuasa dicegah kemungkaran yang diperintahkan oleh Islam untuk cegah. Kezaliman, rasuah, penyalahgunaan kuasa, penindasan dan sebagainya.

Menegakkan kemaslahatan rakyat adalah tugasan penguasa, sementara mengajak manusia kepada kemaslahatan awam adalah tugasan pendakwah. Konsep 'al-Khair' ataupun kebaikan dengan makna yang luas yang diminta oleh al-Quran untuk pendakwah seru kepadanya, al-Khair yang sama dituntut kepada pemerintah untuk menegakkannya. 

Justeru, Pemerintah yang soleh sebenarnya melakukan tugasan dakwah, sementara pendakwah yang soleh membantu kepada menegakkan siyasah syar'iyyah. Maka Ta'awun ‘ala al-Birr wa al-Taqwa boleh berlaku antara dua pihak. 

Perbezaan

Walaupun terdapat persamaan antara gerak kerja ataupun tugasan dakwah dibandingkan siyasah, namun di sana juga terdapat perbezaan antara keduanya yang jika tidak difahami dengan betul akan menyebabkan kekeliruan kepada yang terlibat. Ia juga akan membawa kepada sesetengah keliru dan berada dalam dilemma dalam memahami perbezaan antara keduanya.

Antaranya, dalam dakwah, yang penting ialah kejelasan mesej yang disampaikan kepada mad'u (orang yang didakwa). Ini kerana tujuannya untuk memudahkan mereka beriman dan beramal. Sementara dalam siyasah yang penting adalah terlaksananya kemaslahatan sekalipun mungkin tidak difahami oleh orang bawahan. 

Inilah yang berlaku dalam Perjanjian Hudaibiyyah. Majoriti sahabat Nabi S.A.W melihat perjanjian itu tidak selaras dengan semangat juang mereka. Mereka terpaksa membatalkan hasrat mereka yang datang untuk menunai umrah ke Mekah dan menerima isi perjanjian yang sepintas lalu tidak selaras dengan jiwa mereka yang bersedia untuk mati membela kebenaran.

Paling tegas membantah ialah ‘Umar bin al-Khattab sendiri. Umar berkata: Wahai Rasulullah! Tidakkah kita di atas kebenaran dan mereka atas kebatilan?! Jawab Nabi s.a.w: ‘Ya'. Kata ‘Umar: "Tidakah orang yang mati dalam kalangan kita di syurga, sedangkan yang mati dalam kalangan mereka dalam neraka?! Jawab Nabi s.a.w: ‘Ya'. 

Kata ‘Umar: "Maka atas alasan apa kita mengurangkan agama kita dan pulang (ke Madinah) sedangkan Allah belum lagi menurunkan hukuman-NYA antara kita (siapa yang menang ataupun kalah). Jawab Nabi s.a.w: "Wahai anak al-Khattab! Aku ini Rasulullah, Allah tidak akan mensia-siakan aku sama sekali". (Riwayat al-Bukhari dan Muslim.)

Namun Nabi S.A.W melihat perjanjian itu di sudut politik yang mempunyai kesan yang lebih mendalam dan berterusan. Perjanjian itu telah memberi nafas baru dalam penyebaran risalah Islam dengan cara yang lebih luas dan berwibawa. Semangat dakwah menolak, tetapi strategi siyasah menerimanya.

Pemimpin

Mereka yang boleh melakukan tugasan dakwah belum tentu boleh melakukan tugasan politik. Justeru, Nabi S.A.W tidak memberikan jawatan kepimpinan kepada mereka yang soleh tetapi tidak mempunyai kemampuan kepimpinan. 

Sabda Nabi S.A.W kepada sahabatnya yang soleh Abu Zar: "Wahai Abu Zar! Sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah. Ia pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya. (Riwayat Muslim).

Dalam bahasa tempatan kita, bukan semua yang bergelar ustaz tahu berpolitik. Bahkan dalam sirah, Rasulullah S.A.W melantik muka-muka baru yang mungkin ‘tidak terkenal dengan warak' tetapi tangkas dan menetapi sasaran kepimpinan. Ini seperti melantik ‘Amr bin al-As menjadi gabenor ‘Oman walaupun beliau masih baru menganut Islam dibandingkan sahabat-sahabat yang lain.

Bahkan Nabi S.A.W mengiktiraf mereka yang mempunyai kualiti kepimpinan yang tertonjol semasa zaman jahiliah. Apabila mereka menganut Islam dan dapat memahami Islam dengan baik, maka mereka yang terpilih semasa zaman jahiliah akan terpilih juga semasa Islam. 

Senioriti dalam menganut agama bukan penentu kepada kepimpinan. Ini disebut dalam hadis "Manusia bagaikan bahan galian, seperti galian emas dan perak. Mereka yang terpilih semasa jahiliah, terpilih juga semasa Islam sekiranya mereka itu memahami Islam." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kurang Soleh

Dakwah itu menentu menuntut kepada uswah hasanah ataupun teladan yang baik. Mereka yang tertonjol dalam dakwah itu terdiri dari mereka yang terpuji akhlak di khalayak manusia. Hal ini tidak semestinya berlaku dalam politik. Dalam politik amanah kepimpinan dirujuk kepada tuntutan ataupun keperluan jawatan. Sekalipun akhlak dan nilai diri amat penting, namun kadang-kala keadaan menuntut jawatan diberikan berdasarkan kepada keperluan semasa sesuatu jawatan.

Ini disebut oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah: "Apabila dua orang, salah seorangnya lebih amanah dan seorang lagi lebih kuat (mampu) maka hendaklah didahulukan yang lebih bermanfaat untuk jawatan berkenaaan dan paling kurang mudharatnya bagi jawatan tersebut. Maka dalam mengepalai peperangan, yang kuat dan berani - walaupun padanya ada kejahatan - diutamakan dari lelaki yang lemah dan tidak berkemampuan walaupun dia seorang yang amanah. 

Ini seperti yang ditanya kepada al-Imam Ahmad: Mengenai dua lelaki yang menjadi ketua di dalam peperangan, salah seorangnya kuat tetapi jahat dan seorang lagi soleh tetapi lemah, siapakah yang layak berperang? Jawab al-Imam Ahmad: "Yang kuat dan jahat. Ini kerana kekuatannya untuk kepentingan orang Islam, kejahatannya untuk dirinya sendiri . Adapun yang solih tetapi lemah maka kesolihannya untuk dirinya tetapi kelemahannya merugikan orang Islam". Maka berperang bersama yang kuat dan jahat."

Rasulullah S.A.W juga pernah bersabda: "Sesungguhnya Allah menguatkan agama ini dengan lelaki yang jahat" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). [Ibn Tamiyyah, al-Siyasah al-Syar'iyyah fi Islah al-Ra'iy wa al-Ra'iyyah, m.s 29. Kuwait: Dar al-Arqam] 

Kerjasama

Secara umumnya, muslim perlu perkongsian dengan penganut agama lain dalam menyeru kepada akidah dan ibadah. Namun, dalam politik kerjasama dibolehkan jika ada keperluan untuk melakukan hal tersebut demi kemaslahatan awam. Bahkan kadang-kala tolak ansur antara pihak muslim dan selain muslim dibolehkan jika kemaslahatan menuntut berbuat demikian. 

Justeru Nabi s.a.w mengiktiraf dan menyokong perjanjian yang dibuat oleh Quraish semasa jahiliah kerana isinya membela golongan yang ditindas. Al-Tahawi dalam Mushkil al-Athar, juga Imam al-Baihaqi - dalam as-Sunan al-Kubra meriwayatkan Rasulullah S.A.W bersabda: 

"Sesungguhnya aku telah menyaksikan satu sumpah setia di rumah Abdullah bin Jad'an. Aku sukakan perjanjian itu melebihi unta merah. Jika aku diajak kepadanya semasa Islam pun, aku akan sertai."

Banyak lagi perbezaan yang perlu difahami oleh golongan agamawan tentang neraca politik serta gerakerjanya yang mungkin berbeza sebelum mereka menyertai dan mengulas mengenainya.


PROF MADYA DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN bekas mufti Perlis. Artikel ini pandangan peribadi penulis.


                                                                                                                                    Isi Kandungan

Saturday, July 27, 2013

Kuala Besut - Pas patut cermin diri!

                                                                                                 Isi Kandungan

Kuala Besut: Pas patut cermin diri!


Seorang penyokong Pas memakai penutup hidung yang tertera Pas for All yang berlatar belakangkan poster calon dan bendera Barisan Nasional pada hari pengundian Pilihan Raya Kecil N01 Kuala Besut, Terengganu, di Sekolah Kebangsaan Nail, pada 24 Julai lalu. - Utusan/Irwan Majid

IMPIAN pakatan pembangkang untuk menguasai Kuala Besut memang menggunung tinggi. Kata ketuanya, Anwar Ibrahim beberapa hari lepas, sejarah politik Terengganu akan berubah sekiranya calon Pas menang.
Katanya, kalau kerusi itu beralih arah, baharulah kerajaan Pusat ‘terpinga-pinga’, seterusnya akan pasti memberikan sepenuh perhatian kepada rakyat Terengganu.

Hasrat menggunung itu diperkuatkan lagi dengan kenyataan Naib Presiden Pas, Mahfuz Omar bahawa Kuala Besut boleh mencipta rekod dunia jika berlaku perubahan yang memihak pembangkang.

Keinginan mencanak Pas untuk menakluki DUN Kuala Besut membawa kepada beberapa perbuatan provokasi, antaranya sehingga penyokong mereka sanggup mengedar risalah tertera rayuan “Realisasikan semangat Melayu Bersatu, UMNO & Pas, inilah masanya 16:16." Walaupun di bawah helaian risalah itu terpampang logo empat pertubuhan, Perkasa, MBM, GPMS dan Pekida kononnya sebagai penaja gerak saraf itu, namun semua maklum itu adalah muslihat kader-kader pembangkang.

Apa akan terjadi seandainya BN kalah di Kuala Besut kelmarin? Walaupun Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengatakan pihaknya tidak akan menuntut atau berebut jawatan Menteri Besar, namun sebaliknya cakap-cakap dalam kalangan penyokong mereka memang terang lagi bersuluh mahukan jawatan itu. Antaranya, dengan posisi 16:16, maka kemungkinan akan melibatkan juga campur tangan Sultan Terengganu.

Kata mereka, walaupun DUN tetap kekal dikuasai BN kerana parti kerajaan ada satu undi lagi iaitu Speaker lantikan BN, namun mereka tetap masih boleh mencabarnya. Jika Pas menang di Kuala Besut dan kemudian membuat usul undi tidak percaya kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, maka apa yang akan berlaku ketika itu?

Barangkalilah, sejarah Sidang DUN Perak di bawah pokok seperti yang berlaku pada 3 Mac 2009 boleh berulang kerana pembangkang boleh melakukan tindakan-tindakan yang di luar jangkaan.

Pembangkang boleh melakukan tindakan di luar dugaan untuk menarik perhatian rakyat. Walaupun perkara-perkara seumpama itu sepatutnya tidak perlu dilakukan tetapi tidak mustahil dilakukan oleh pembangkang.
Contoh terbaharu, demonstrasi Blackout 505 - itu juga salah satu cara mereka untuk mengalih perhatian rakyat dan membentuk kebencian rakyat kepada kerajaan.

Namun, malam 24 Julai lalu, kenyataannya di Kuala Besut memihak kepada BN. Ini apabila calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman meraih majoriti 2,592 undi, lebih tinggi berbanding 2,343 pada Mei lalu. Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman memperoleh 8,288 manakala lawannya dari Pas, Endot @ Azlan Yusof mendapat 5,696 undi.

Sejumlah 79.78 peratus atau 14,108 orang daripada 17,683 pengundi di kawasan DUN Kuala Besut menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam pilihan raya kecil kawasan itu.  Dan mahu tak mahu Pas mesti terima hakikatnya bahawa parti itu tidak boleh pandang mudah kepada kekuatan UMNO.  Kalaupun dihidu dari peringkat awal lagi, kekalahan Pas di Kuala Besut memang telah dijangkakan. Perkara ini terang-terangan yang mana semua pihak percaya jangkaan ini.

Jentera Pas sendiri seakan-akan tidak bermaya.  Tidak seperti beberapa siri pilihan raya kecil yang berlangsung sebelum ini yang jelas menampakkan kesungguhan jentera dan petugas parti itu bersemuka dengan jentera dari BN, elemen ini tidak pula berlaku di Kuala Besut.

Kain rentang dan bendera Pas tidak banyak kelihatan berbanding suasana yang bertambah biru didominasi BN. Kumpulan ulama dan jentera muslimah seperti membawa haluan sendiri.  Dikatakan calon pilihan Naib Presiden Pas, Husam Musa itu sendiri berdepan sabotaj parti.  Ramai di Kuala Besut sudah mengagak perkara ini apatah lagi kelibat Pesuruhjaya Pas Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut juga langsung tidak kelihatan membantu jentera parti.
Dipercayai ini ada kaitan dengan rasa tidak puas hati mereka dengan tindakan kepimpinan Pas Pusat yang menolak mentah-mentah calon yang dikemukakan oleh Pas negeri dan kawasan.

Kerana itulah dikatakan Pas Pusat terpaksa membawa Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat yang berusia 82 tahun turun padang membantu jentera meskipun beliau sendiri dalam keadaan cukup uzur.  Sepanduk-sepanduk serta poster yang dinaikkan oleh Pas untuk memburukkan UMNO dan BN hanya menjatuhkan imej Pas di mata penduduk Kuala Besut. Taktik ‘menjanjikan’ pengundi berusia 21 tahun ke atas dengan petrol untuk motosikal secara percuma di saat-saat akhir juga telah memalit persepsi tidak baik penyokong Pas sendiri terhadap parti itu. Malah, kelibat pelajar-pelajar universiti terutama dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, juga tidak banyak membantu.

Pas bergerak bersendirian tanpa DAP yang akur dengan pengundi Cina di Kuala Besut - cuma berjumlah 148 orang manakala India cuma empat orang.
Namun ini sepatutnya tidak menggugat ‘kewibawaan’ Pas yang memang cekap mempraktiskan ‘syurga neraka, pahala dosa’ untuk kepentingan mereka.
Pas wajar akui hakikat mereka gagal dalam pilihan raya kecil pertama selepas Pilihan Raya Umum Ke-13.

Tidak perlu bicara pasal undi popular, yang nyata Pas sewajarnya akur pakatan parti itu dengan DAP dan PKR banyak memalitkan imej tidak elok untuk mereka.  Dengan PRU-13 menyaksikan beberapa pemimpin Pas tewas termasuklah Mohamad Sabu, Salahuddin Ayub, Haron Din selain Mahfuz, yang tidak kalah tetapi kehilangan Kedah selain Nik Abdul Aziz sendiri yang ‘kian terpinggir’, Pas kena mencongak masa depan parti sendiri.

Kemenangan UMNO di Kuala Besut memastikan kestabilan politik negeri terjamin.   Memanjatkan syukur! Sidang DUN di bawah pokok tidak berulang di negeri itu.