Saturday, April 6, 2013

Pandai dakwah belum pandai siyasah


Pandai dakwah belum pandai siyasah
 
Apabila dunia Islam bergolak disebabkan kebosanan dan rasa menyampah rakyat kepada regim ataupun penguasa mereka yang korupsi dan tidak jujur, mereka mula mencari alternatif pemimpin baru untuk diberikan amanah memimpin negara. 

Dalam carian mereka, tokoh-tokoh agamawan ataupun mereka yang dilihat sebagai pendakwah antara yang dicalonkan untuk amanah tersebut.
Malangnya, dalam masa yang sama, kelompok agama ini pula ada yang seakan dalam dilemma ataupun kekaburan dalam melihat persamaan dan perbezaan antara tugasan dakwah dan tugasan politik.

Persamaan

Sebelum kita sebut perbezaan, kita tahu dakwah dan siyasah dalam Islam ini ada persamaan dalam beberapa sudut. Antaranya, keduanya hendaklah dilakukan sebagai menunaikan perintah Allah. Maka keikhlasan wajib untuk keduanya. Dakwah ke jalan Islam bermaksud mengajak manusia kepada ajaran Islam yang begitu luas. 

Siyasah syar'iyyah itu pula sebahagian dari ajaran Islam. Dalam gerak kerja dakwah, seseorang mungkin menyeru atau memfokuskan seruan dakwahnya kepada mana-mana ajaran Islam seperti akidah, ibadah, akhlak muamalat dan juga siyasah. Dengan itu seruan kepada menghayati siyasah syar'iyyah merupakan sebahagian dari aktiviti dakwah.

Kerja dakwah itu menyuruh kepada yang baik, mencegah dari kemungkaran, itulah juga tanggungjawab seseorang muslim yang mendapat kuasa siyasah. Firman Allah dalam Surah al-Hajj ayat 41 yang bermaksud: 

"Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kemungkaran. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan."

Dari ayat di atas kita tahu kekuasaan bagi membolehkan manusia aman menunaikan ibadah badaniyah dan maliyah yang diwakili oleh solat dan zakat. Kemudian dengan kekuasaan ditegakkan yang makruf iaitu segala bentuk kebaikan untuk kehidupan manusia daripada akidah, ibadah, kebajikan kehidupan harian seorang insan tanpa mengira latar agama, keadilan dan ihsan. 

Begitu dengan kuasa dicegah kemungkaran yang diperintahkan oleh Islam untuk cegah. Kezaliman, rasuah, penyalahgunaan kuasa, penindasan dan sebagainya.

Menegakkan kemaslahatan rakyat adalah tugasan penguasa, sementara mengajak manusia kepada kemaslahatan awam adalah tugasan pendakwah. Konsep 'al-Khair' ataupun kebaikan dengan makna yang luas yang diminta oleh al-Quran untuk pendakwah seru kepadanya, al-Khair yang sama dituntut kepada pemerintah untuk menegakkannya. 

Justeru, Pemerintah yang soleh sebenarnya melakukan tugasan dakwah, sementara pendakwah yang soleh membantu kepada menegakkan siyasah syar'iyyah. Maka Ta'awun ‘ala al-Birr wa al-Taqwa boleh berlaku antara dua pihak. 

Perbezaan

Walaupun terdapat persamaan antara gerak kerja ataupun tugasan dakwah dibandingkan siyasah, namun di sana juga terdapat perbezaan antara keduanya yang jika tidak difahami dengan betul akan menyebabkan kekeliruan kepada yang terlibat. Ia juga akan membawa kepada sesetengah keliru dan berada dalam dilemma dalam memahami perbezaan antara keduanya.

Antaranya, dalam dakwah, yang penting ialah kejelasan mesej yang disampaikan kepada mad'u (orang yang didakwa). Ini kerana tujuannya untuk memudahkan mereka beriman dan beramal. Sementara dalam siyasah yang penting adalah terlaksananya kemaslahatan sekalipun mungkin tidak difahami oleh orang bawahan. 

Inilah yang berlaku dalam Perjanjian Hudaibiyyah. Majoriti sahabat Nabi S.A.W melihat perjanjian itu tidak selaras dengan semangat juang mereka. Mereka terpaksa membatalkan hasrat mereka yang datang untuk menunai umrah ke Mekah dan menerima isi perjanjian yang sepintas lalu tidak selaras dengan jiwa mereka yang bersedia untuk mati membela kebenaran.

Paling tegas membantah ialah ‘Umar bin al-Khattab sendiri. Umar berkata: Wahai Rasulullah! Tidakkah kita di atas kebenaran dan mereka atas kebatilan?! Jawab Nabi s.a.w: ‘Ya'. Kata ‘Umar: "Tidakah orang yang mati dalam kalangan kita di syurga, sedangkan yang mati dalam kalangan mereka dalam neraka?! Jawab Nabi s.a.w: ‘Ya'. 

Kata ‘Umar: "Maka atas alasan apa kita mengurangkan agama kita dan pulang (ke Madinah) sedangkan Allah belum lagi menurunkan hukuman-NYA antara kita (siapa yang menang ataupun kalah). Jawab Nabi s.a.w: "Wahai anak al-Khattab! Aku ini Rasulullah, Allah tidak akan mensia-siakan aku sama sekali". (Riwayat al-Bukhari dan Muslim.)

Namun Nabi S.A.W melihat perjanjian itu di sudut politik yang mempunyai kesan yang lebih mendalam dan berterusan. Perjanjian itu telah memberi nafas baru dalam penyebaran risalah Islam dengan cara yang lebih luas dan berwibawa. Semangat dakwah menolak, tetapi strategi siyasah menerimanya.

Pemimpin

Mereka yang boleh melakukan tugasan dakwah belum tentu boleh melakukan tugasan politik. Justeru, Nabi S.A.W tidak memberikan jawatan kepimpinan kepada mereka yang soleh tetapi tidak mempunyai kemampuan kepimpinan. 

Sabda Nabi S.A.W kepada sahabatnya yang soleh Abu Zar: "Wahai Abu Zar! Sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah. Ia pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya. (Riwayat Muslim).

Dalam bahasa tempatan kita, bukan semua yang bergelar ustaz tahu berpolitik. Bahkan dalam sirah, Rasulullah S.A.W melantik muka-muka baru yang mungkin ‘tidak terkenal dengan warak' tetapi tangkas dan menetapi sasaran kepimpinan. Ini seperti melantik ‘Amr bin al-As menjadi gabenor ‘Oman walaupun beliau masih baru menganut Islam dibandingkan sahabat-sahabat yang lain.

Bahkan Nabi S.A.W mengiktiraf mereka yang mempunyai kualiti kepimpinan yang tertonjol semasa zaman jahiliah. Apabila mereka menganut Islam dan dapat memahami Islam dengan baik, maka mereka yang terpilih semasa zaman jahiliah akan terpilih juga semasa Islam. 

Senioriti dalam menganut agama bukan penentu kepada kepimpinan. Ini disebut dalam hadis "Manusia bagaikan bahan galian, seperti galian emas dan perak. Mereka yang terpilih semasa jahiliah, terpilih juga semasa Islam sekiranya mereka itu memahami Islam." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kurang Soleh

Dakwah itu menentu menuntut kepada uswah hasanah ataupun teladan yang baik. Mereka yang tertonjol dalam dakwah itu terdiri dari mereka yang terpuji akhlak di khalayak manusia. Hal ini tidak semestinya berlaku dalam politik. Dalam politik amanah kepimpinan dirujuk kepada tuntutan ataupun keperluan jawatan. Sekalipun akhlak dan nilai diri amat penting, namun kadang-kala keadaan menuntut jawatan diberikan berdasarkan kepada keperluan semasa sesuatu jawatan.

Ini disebut oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah: "Apabila dua orang, salah seorangnya lebih amanah dan seorang lagi lebih kuat (mampu) maka hendaklah didahulukan yang lebih bermanfaat untuk jawatan berkenaaan dan paling kurang mudharatnya bagi jawatan tersebut. Maka dalam mengepalai peperangan, yang kuat dan berani - walaupun padanya ada kejahatan - diutamakan dari lelaki yang lemah dan tidak berkemampuan walaupun dia seorang yang amanah. 

Ini seperti yang ditanya kepada al-Imam Ahmad: Mengenai dua lelaki yang menjadi ketua di dalam peperangan, salah seorangnya kuat tetapi jahat dan seorang lagi soleh tetapi lemah, siapakah yang layak berperang? Jawab al-Imam Ahmad: "Yang kuat dan jahat. Ini kerana kekuatannya untuk kepentingan orang Islam, kejahatannya untuk dirinya sendiri . Adapun yang solih tetapi lemah maka kesolihannya untuk dirinya tetapi kelemahannya merugikan orang Islam". Maka berperang bersama yang kuat dan jahat."

Rasulullah S.A.W juga pernah bersabda: "Sesungguhnya Allah menguatkan agama ini dengan lelaki yang jahat" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). [Ibn Tamiyyah, al-Siyasah al-Syar'iyyah fi Islah al-Ra'iy wa al-Ra'iyyah, m.s 29. Kuwait: Dar al-Arqam] 

Kerjasama

Secara umumnya, muslim perlu perkongsian dengan penganut agama lain dalam menyeru kepada akidah dan ibadah. Namun, dalam politik kerjasama dibolehkan jika ada keperluan untuk melakukan hal tersebut demi kemaslahatan awam. Bahkan kadang-kala tolak ansur antara pihak muslim dan selain muslim dibolehkan jika kemaslahatan menuntut berbuat demikian. 

Justeru Nabi s.a.w mengiktiraf dan menyokong perjanjian yang dibuat oleh Quraish semasa jahiliah kerana isinya membela golongan yang ditindas. Al-Tahawi dalam Mushkil al-Athar, juga Imam al-Baihaqi - dalam as-Sunan al-Kubra meriwayatkan Rasulullah S.A.W bersabda: 

"Sesungguhnya aku telah menyaksikan satu sumpah setia di rumah Abdullah bin Jad'an. Aku sukakan perjanjian itu melebihi unta merah. Jika aku diajak kepadanya semasa Islam pun, aku akan sertai."

Banyak lagi perbezaan yang perlu difahami oleh golongan agamawan tentang neraca politik serta gerakerjanya yang mungkin berbeza sebelum mereka menyertai dan mengulas mengenainya.

PROF MADYA DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN bekas mufti Perlis. 


                                                                                                                           Isi Kandungan 

Kenali hadis palsu menerusi matan


Kenali hadis palsu menerusi matan
 
Menyebarkan hadis palsu tanpa menerangkan kepalsuannya merupakan dosa yang amat besar. Penipuan dan bersekongkol dengan penipuan adalah dosa menurut ajaran Islam. Apatah lagi jika pembohongan itu menggunakan nama Allah dan Rasul-Nya.

Kesannya besar dan bahaya. Mereka yang terpedaya dengan penipuan tersebut akan mengamalkan sesuatu yang disangkakan bersumber dari Tuhan sedangkan hakikatnya tidak demikian. 

Jika isi pembohongan itu sesuatu yang jelas bercanggah dengan hakikat fakta, ataupun sesuatu yang ‘lekeh' maka Tuhan ataupun Rasul-Nya akan dipersalahkan. Mungkin ia akan menghilangkan keimanan manusia terhadap ajaran agama.
Justeru itu, Islam mengharamkan sama sekali perbuatan mengadakan hadis palsu seperti penegasan Nabi SAW dalam hadis mutawatir: 

"Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka."
Bukan sahaja mengadakan hadis palsu itu dosa besar, menyebarkannya juga berkongsi dosa besar yang sama. Dalam era teknologi ini, begitu mudah sesuatu hadis palsu itu tersebar. 

Menerusi SMS, email, Facebook dan Twitter, ramai yang terlibat dengan kegiatan dosa menyebarkan hadis palsu ini. Maka berhati-hatilah. Beberapa klik tanpa penelitian boleh membawa anda menjadi pendusta yang menggunakan nama Allah dan Rasul-Nya.
Mengkritik matan
Pembaca Internet juga terdedah kepada pelbagai sumber hadis palsu. Saya mengajar di USM kursus Analisa Kritis Matan Hadis untuk para pelajar ijazah tinggi. Saya rasa orang awam juga wajar dibekalkan sedikit sebanyak pengetahuan tentang analisa matan hadis.
Secara umumnya, hadis palsu dapat diketahui melalui dua cara. Pertama, kajian terhadap sanad (rangkaian perawi). 

Kedua, kajian terhadap matan atau kritik teks (textual criticism). Untuk mengkaji para perawi bukan mudah melainkan mereka yang terbabit langsung dalam bidang hadis. Apakah ada cara untuk seseorang biasa mengagak sesuatu hadis itu mungkin palsu hanya dengan membaca matan (teks) sahaja? Maka di sini datang peranan naqd al-matn (kritik teks) atau kajian teks tadi.
Pengetahuan ini amat penting kepada para pengguna Internet hari ini. Ia sekurang-kurangnya dapat menjadikan mereka berhati-hati apabila melihat ataupun mendengar teks hadis yang pelbagai. Jika pun mereka tidak dapat memutuskan kedudukan hadis-hadis tersebut, sekurang-kurangnya mereka akan menangguhkan dulu sebelum mempercayainya sehingga ternyata kedudukannya.
Ibn Qayyim
Ilmuwan hadis yang terbilang al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) pernah ditanya apakah mungkin untuk mengetahui hadis palsu tanpa melihat kepada sanadnya? Untuk menjawab persoalan yang besar itu, beliau telah menghasilkan buku yang amat penting dalam sejarah ilmu mengkritik teks hadis iaitu Al-Manar Al-Munif fi al-Sahih wa al-Da'if. 
Sesiapa yang berkemampuan membaca teks Arab, saya mencadangkan mereka membaca buku ini bersama komentar yang dibuat oleh al-Syeikh ‘Abd al-Fattah Abu Ghuddah.

Bagaimana pun, bagi yang tidak menguasainya, saya ingin memetik beberapa noktah menarik yang disebut oleh al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah dalam buku tersebut bersama sedikit ulasan.
Antara yang disebut oleh Ibn Qayyim, hadis palsu itu antara cirinya mengandungi unsur mujazafah iaitu berlebih-lebihan dalam penetapan pahala dan dosa. Perkara yang kecil diletakkan hukuman yang terlalu besar, ataupun ganjaran yang terlalu besar yang tidak munasabah. 

Contoh hadis palsu yang dibawa oleh Ibn Qayyim ialah: 

"Sesiapa yang mengucap lailaha illa Allah; Allah ciptakan kalimah itu menjadi seekor burung yang mempunyai 70,000 lidah, setiap lidah ada 70,000 bahasa yang beristighfar kepadanya." (ms 51. Halab, Syria: Maktabah al-Matbu‘at al-Islamiyyah)

Logik
Antara ciri lain hadis palsu ialah bercanggah dengan fakta yang nyata. Banyak contoh yang disebut oleh beliau; antaranya hadis palsu: "Terung itu ubat bagi segala penyakit." 

Contoh lain: "Hendak kamu memakan kacang dal kerana ia berkat dan melunakkan jantung hati. Memperbanyak air mata dan ia disucikan oleh 70 nabi." (ms 52)
Antara lain beliau menyebut hadis ciri hadis palsu itu ia kelihatan selekeh dan boleh dipersendakan. 

Banyak contohnya, antara yang disebut: "Jika beras itu lelaki nescaya dia seorang yang penyantun". 

Contoh lain: "Hendaklah kamu memakan garam kerana ia ubat bagi 70 penyakit." 

Contoh lain: "Tiada buah delima melainkan bijinya berasal dari syurga." (ms 55)
Contoh lain: "Sesiapa yang membela ayam jantan putih, maka dia tidak akan dihampiri oleh syaitan dan sihir." 

Kemudian Ibn Qayyim membuat kesimpulan tentang hadis berkaitan ayam jantan itu:

"Kesemua hadis ayam jantan adalah dusta kecuali satu hadis iaitu: Sesiapa yang mendengar kokokan ayam jantan hendaklah dia memohon kurniaan dari Allah kerana ia melihat malaikat." (riwayat Bukhari dan Muslim). (ms 56)
Dalam masyarakat melayu, terdapat juga mereka yang mempercayai kelebihan ayam jantan putih. Kepercayaan itu mungkin berasal dari hadis-hadis palsu yang seumpama ini.
Bercanggah sumber sahih
Ciri hadis palsu yang lain yang dinyatakan oleh Ibn Qayim apabila ia bercanggah dengan hadis sahih yang lain secara nyata. 

Ini seperti hadis-hadis palsu yang memuji orang yang bernama Muhammad ataupun Ahmad, bahawa sesiapa bernama seperti itu tidak akan masuk neraka. 

Ini bercanggah dengan prinsip ajaran Nabi SAW yang menegas bahawa neraka itu bukan dapat dielakkan dengan nama dan gelaran sebaliknya dengan iman dan amalan salih. (ms 57)
Antara ciri palsu lain ialah hadis yang menyebut Nabi Khidir masih hidup. Kesemua hadis yang membawa maksud tersebut adalah palsu dan dusta.

Kemudian al-Imam Ibn Qayyim mengemukan banyak hujah dari al-Quran dan al-Sunah yang membuktikan bahawa cerita Khidir masa hidup sehingga kini adalah dusta dan palsu. (ms 67-76)
Pelik
Contoh hadis palsu lain: "Pelangi di langit itu adalah tengkuk ular yang berada di bawah Arsy." 

Juga hadis palsu: "Jangan mandi air yang terdedah kepada matahari kerana ia menyebabkan sopak." (ms 60)
Antara ciri hadis palsu ialah apabila terdapat dalamnya penetapan tarikh tertentu seperti pada tahun sekian dan sekian, pada bulan sekian dan sekian akan berlaku peristiwa itu dan ini. Ini ciri kepalsuan sesuatu hadis. Ini seperti hadis bahawa akan berlaku gerhana dalam bulan Muharram kemudian berlaku peristiwa itu dan ini. (ms 64).
Banyak hadis yang seperti ini tersebar dalam Internet lalu dipercayai oleh mereka yang dangkal akal dan pengetahuan.
Antara ciri yang lain hadis yang seakan ucapan ahli perubatan, bukan ungkapan seorang nabi. Ini seperti hadis palsu: "Memakan ikan melemahkan jasad." 

Contoh lain: "Ada seseorang mengadu kepada Nabi SAW bahawa dia tiada anak. Nabi menyuruhnya memakan telur dan bawang." 

Contoh lain: "Berikan isteri-isteri kamu memakan tamar semasa nifas." (ms 65). 

Banyak hadis yang seperti yang kadang-kala dibaca oleh mereka yang bergelar ‘ustaz' dan 'ustazah' yang tidak meneliti ilmu hadis ini. Para peniaga suka hadis- hadis seperti itu untuk melariskan perniagaan mereka.
Banyak lagi ciri-ciri yang disebut oleh Ibn Qayyim al-Jauziyyah dalam karya itu. Begitu banyak hadis-hadis palsu yang beliau sertakan sebagai contoh untuk pembaca. 

Tulisan saya ini sekadar memberikan kesedaran awal untuk mereka yang kurang memberikan perhatian dalam hal ini. Anda boleh rujuk juga beberapa artikel saya tentang hadis palsu sebelum ini. 

Insya-Allah, selepas ini akan saya ikuti dengan beberapa coretan yang lain untuk membantu memahami isu hadis palsu ini.


PROF MADYA DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN bekas mufti Perlis. 



                                                                                                                                 Isi Kandungan 

Pilihan raya dan harta awam



Pilihan raya dan harta awam
 
Apabila kita membaca Sirah Nabi SAW kita merasa betapa kita umat Islam khususnya kepimpinan negara-negara umat Islam amat jauh dari mengambil teladan dari sirah baginda yang agung. 

Sekalipun nama Nabi Muhammad SAW itu sering digunakan oleh pelbagai pihak termasuk golongan politik, namun realitinya kita lebih banyak menggunakan label dari mengambil isinya. 

NONEMenjelang pilihan raya, tentu pelbagai pihak akan menyebut nama Nabi SAW seakan merekalah yang paling dekat dengan ajaran baginda. 

Ada yang mengaku keturunan Nabi SAW untuk menebalkan poket dan mendekatkan diri kepada penguasa.  Ada yang mengakui kononnya ‘salafi' bermanhaj salaf konon padahal merekalah yang menyimpang dari maqasid agama yang dibawa oleh Nabi SAW. 

Ada yang membangkitkan soal perkauman, lalu menyatakan perjuangannya diajar oleh Nabi SAW.  Golongan politik pula akan menggunakan sesiapa sahaja dan apa sahaja yang boleh menguntungkan kehendak politik mereka. 

Jika nama Nabi SAW boleh dijual, mereka mungkin akan menjualnya untuk mendapatkan untung politik.

Tidak pelik

Kita jangan hairan jika orang politik mempunyai pelbagai watak terutama musim pilihan raya ini. Kita mungkin melihat mereka bagaikan wali yang suci dengan penuh tawaduk bersujud di depan khalayak ramai dan media.

NONEKemudian kita juga mungkin mendapati mereka penuh kerakusan kuasa, meratah harta awam, membohongi rakyat jelata, berjanji dusta dan menipu semahunya. 

Kesemuanya mungkin bagi yang menjadikan kuasa matlamat kehidupan mereka. 

Tidak kira apa jenama parti sekalipun, jika penyakit gila kuasa bersarang dan menguasai salur darah dan nafas seseorang, dia ketagih kuasa dan mungkin melakukan apa sahaja.

Hudaibiyah

Saya amat kagum dengan kejujuran Nabi SAW dalam melaksanakan janji yang dimeterai dan tidak pernah khianat kepada persetujuan yang dibuat. Perjanjian Hudaibiyah yang dibuat pada tahun keenam hijrah antara bukti yang mengagumkan. 

asri jais record statment colum upacara telan air ludah ustaz 100410 pcRamai juga sahabat tidak bersetuju dengan isi perjanjian tersebut yang dimeterai antara Nabi SAW dengan kaum Quraish Mekah yang terkenal sejak dari hari awal terus menerus memerangi Islam. Suhail bin ‘Amr mewakili pihak Quraish bagi memeterai perjanjian tersebut. 

Antara isi perjanjian yang dipersetujui yang ialah sesiapa dalam kalangan Quraish yang pergi kepada pihak Muhammad (kaum muslimin di Madinah) tanpa keizinan keluarganya hendaklah dipulangkan kepada pihak Quraish. 

Sesiapa dalam kalangan mereka yang bersama Muhammad yang pergi kepada pihak Quraish, tidak dipulangkan kepada pihak Muhammad'. (Isi perjanjian ini disebut dalam pelbagai riwayat dari al-Bukhari, Muslim, Ahmad, al-Baihaqi dll).

Nabi SAW telah bersetuju dengan kandungan perjanjian ini. Ditakdirkan semasa perjanjian dimeterai, anak Suhail bin ‘Amr sendiri yang dipanggil Abu Jandal yang menganut Islam datang kepada Nabi SAW dalam keadaan dirantai kerana diseksa oleh bapanya. 

Dia berjaya melarikan diri dari kepungan lalu datang mendapatkan Nabi SAW dan kaum Muslimin. 

NONEKata Suhail kepada Nabi SAW: "Wahai Muhammad! Ini perkara pertama yang aku tuntut engkau laksanakan bagi perjanjian ini, engkau hendaklah kembalikan dia kepadaku." 

Nabi SAW cuba memujuk Suhail dengan pelbagai cara agar mengecualikan kes Abu Jandal ini. 

Namun Suhail tetap berkeras dengan isi perjanjian tersebut. Para sahabat begitu sedih melihat Abu Jandal yang menganut Islam tetapi diseksa dengan begitu dahsyat oleh bapanya. Dia dirantai dan dipukul. 

Baginda Nabi SAW terpaksa mengembalikan Abu Jandal kepada bapanya disebabkan perjanjian tersebut. 

Abu Jandal menjerit dengan suara yang kuat menyebut: "Wahai kaum Muslimin! Tergamak kamu mengembalikan daku kepada puak syirik yang akan menyeksa daku kerana agamaku?"

Rasulullah SAW bersabda kepada Abu Jandal: "Wahai Abu Jandal! Bersabar dan haraplah pahala. Sesungguhnya Allah akan menjadikan untuk engkau dan mereka yang tertindas bersamamu jalan keluar. Kita telah mengikat perjanjian dengan kaum Quraish. Kita terpaksa patuh dan mereka juga kena patuh. Kita sama sekali tidak mengkhianati mereka." (Riwayat Ahmad dan sebahagiannya dari al-Bukhari dan Ibn Ishaq).

Janji ditepati

Demikianlah setianya Nabi SAW kepada perjanjian. Walaupun para sahabat ramai yang tidak bersetuju dan mencadangkan peperangan, namun bukanlah seorang nabi jika baginda mengkhianati perjanjian. 

Memang, jika kaum Muslimin memilih perang kemungkinan besar mereka boleh menang, buktinya dua tahun kemudian disebabkan Quraish sendiri yang melanggar perjanjian, Nabi SAW pun menawan Mekah pada tahun kelapan hijrah. 

NONENamun Nabi SAW tidak memilih perang atas strategi politik baginda yang kemudiannya terbukti amat berkesan.

Jika perjanjian dengan musuh Islam dipatuhi oleh Nabi SAW tanpa khianat, apatah lagi jika kita berjanji sesama Muslim ataupun antara pemerintah dan rakyat. 

Setiap pihak, terutama yang mengaku Muslim, yang sering menggunakan nama Nabi Muhammad SAW lebih wajar untuk mematuhi persetujuan yang disepakati.

Setiap parti dalam negara ini sudah ada kerajaan sama ada di peringkat pusat ataupun negeri. BN dan Pakatan juga sama. 

Pada musim pilihan raya, mereka tidak boleh menggunakan harta negara ataupun negeri yang menjadi milik semua untuk kepentingan parti mereka. 

Kereta kerajaan, harta kerajaan dan kemudahan kerajaan tidak boleh digunakan secara khusus untuk kempen kepentingan diri ataupun parti.

Khianat

Mereka tidak boleh datang berkempen diri ataupun parti menggunakan kereta ataupun apa sahaja harta awam. Bukan semua sokong BN ataupun Pakatan. Jika yang pro-BN reda, yang pro-Pakatan mungkin tidak reda. 

Jika yang pro-Pakatan reda, yang pro-BN mungkin tidak reda. Jika kedua pihak reda meredai dalam membelasah harta awam, mungkin mereka yang tidak pro BN atau Pakatan tidak reda. Maka, mereka jangan khianat amanah yang diberikan di tangan mereka.

bagan pinang by-election nomination 031009 pakatan and bn supporterDemikian juga media awam yang dibayar oleh harta kerajaan, hendaklah bebas dari kepentingan mana-mana parti politik. 

Sekian lama sejak merdeka, pihak penguasa sering ‘merembat' habis-habisan media-media awam ini, termasuk TV Hijrah yang kelihatan ‘agama' yang turut digunakan untuk kempen. Padahal ia dibiayai oleh harta awam yang menjadi milik bersama.

Dalam negara demokrasi yang berjanji satu proses pilihan raya yang adil, janji wajib itu dilaksanakan. Saya akur, telah berlaku usaha pembaikian pengurusan pilihanraya kita untuk membolehkan ia lebih adil. Kita hargai. Namun masih ada ruang yang patut dibaiki. 

Saya tidak fanatik mana-mana parti. Bukan juga penjilat mana-mana pemimpin kerajaan ataupun pembangkang. Saya juga tidak beriman dengan kejujuran mana-mana parti yang sedia ada itu.
Namun setiap rakyat memerlukan maklumat yang saksama untuk dia membuat pilihan. Media awam patutnya memainkan peranan tersebut. 

Jika ada media yang dimiliki oleh pihak-pihak tertentu, pihak lain juga patut diberikan lesen memiliki media mereka untuk membolehkan mereka menyiarkan pandangan mereka. Mana-mana pihak yang sanggup membentuk kerajaan yang memberikan hak tersebut, wajar disokong.

Akhirnya, setelah ruang mengenali setiap pihak dibuka secara adil, bermula dari mereka di universiti sehingga atuk dan tok wan di kampung dapat berfikir semampunya apa yang menjadi hasrat mereka sebagai rakyat, mereka pun mengundi.  Undian itu mempunyai harga dan maruah diri rakyat. 

Percayalah, jika ruang sepenuh dibuka pun, tidak semestinya mereka akan menukar kerajaan ataupun memilih pembangkang. Jika mereka menukar pun, itu hak mereka yang diberikan oleh sebuah negara yang adil.

PROF MADYA DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN bekas mufti Perlis. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinnya menggambarlan pendirian rasmi Malaysiakini.

                                                                                                                                      Isi Kandungan