Sunday, September 16, 2012

Politik kita memang caca marba

                                                                                                            Isi Kandungan 

Politik kita memang caca marba
  • Dr Mohd Asri Zainul Abidin
  • 11:20AM Sep 7 2012
 
Nampak kebelakangan ini, perbezaan politik bukan lagi membawa kepada pertarungan minda dan tawaran khidmat pengurusan pentadbiran yang lebih baik, tetapi pertarungan siasah di negara ini telah menyuburkan akhlak yang buruk dan kehilangan adab sopan. 

Ada yang kencing ke atas gambar pemimpin yang lain, ada pula yang baling kasut ke dalam masjid, tarian punggung dan pelbagai lagi. 

Para pemimpin politik kita ini mungkin terlalu sibuk berkempen sehingga lupa untuk mengajar adab sopan sebagai insan kepada para pengikut mereka.

Disiplin

Kehidupan ini bukan segala-galanya politik untuk kita menggadaikan segala adab dan kesopanan hanya kerana politik. 

Insan itu walau apapun kelemahan peribadinya, tetapi dia sepatutnya memiliki ketertiban dan kesopanan pergaulan yang diwarisi sama ada dari agama ataupun budaya.

Bahkan dalam Islam, dalam medan perang yang saling bunuh membunuh itu pun, adab dan akhlak yang baik dipertahankan. Disiplin mesti dipatuhi. 

Dalam hadis apabila Rasulullah SAW mengirimkan pasukan tentera maka baginda bersabda: 

"Keluarlah kamu (medan jihad) dengan nama Allah, perangilah di jalan Allah sesiapa yang kufur dengan Allah. Jangan kamu melanggar perjanjian, jangan kamu mengkhianati harta rampasan perang, jangan kamu rosakkan mayat, jangan kamu bunuh kanak-kanak dan ahli-ahli rumah ibadat". (Riwayat Ahmad, kata Ahmad Muhammad Syakir: "Sanad hadith ini hasan.")

Nilai pejuang rakyat itu apabila dia dapat mendisiplinkan dirinya dan menghiasi diri dengan budi dan sopan yang menyebabkan rakyat menjadikan ikutan. 

Justeru, kawalan diri sekalipun di hadapan musuh yang hendak membunuh antara nilai peradaban yang diajar oleh Islam.

Lihatlah apa yang Allah tegaskan kepada orang Islam yang berperang dengan musuh-musuh yang menyerang dan ingin membunuh mereka. 

Maksudnya: "Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya Allah tidak menyukai mereka yang melampaui batas."(Surah al-Baqarah ayat 190).

Apakah politik ini lebih buruk dari medan perang darah sehingga kita hendak berlebih-lebih dalam perangai dan budi. Kita jangan lupa apa yang Nabi SAW bersabda: 

"Manusia yang paling Allah benci ialah yang berkeras kepala dalam perbalahan." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Orang politik lupa, pengikut yang ‘kurang ajar' dan tidak beradab itu hari ini mereka biadap dengan musuh politik mereka, esok kebiadapan itu akan dihalakan pula kepada orang yang disokong pada hari ini.

Dalil agama ikut kehendak parti
Paling masalah apabila setiap pihak cuba bertindak membalas keburukan dengan keburukan. 

Jika kita berikan nasihat "mengapa awak londeh seluar kepada gambar pemimpin tertentu" maka akan ada yang menjawab "mereka lagi teruk, ada macam-macam lagi yang mereka pun buat".

Demikianlah puak-puak politik itu saling menghalalkan tindakan masing-masing atas nama keburukan lawan mereka. 

Apa yang pelik dalam masa yang sama masing-masing mendakwa mereka lebih baik dari lawan mereka. 

Malangnya, apabila tiba masalah budi perangai, masing-masing memakai piawai yang setaraf dengan pihak lawan ataupun lebih teruk.

Itu belum lagi datang "geng agama" parti masing-masing yang akan mengeluarkan dalil untuk menghalalkan perangai buruk anggota dan penyokong masing-masing. 

Dalil agama dibaca bukan mengikuti kehendak Tuhan, tetapi kehendak parti!

Ustaz muda

Apatah lagi jika ada pula ulama atau ustaz muda mana-mana parti yang baru kenal politik sehari dua, dan mungkin ghairah hendak menjadi calon maka segala dalil dibawa, segala sirah Salafussoleh dibaca seakan-akan yang dipertahankan itu Abu Bakar al-Siddiq dan Umar al-Khattab. 

Dalil-dalil agama dipermainkan untuk kepentingan politik masing-masing. Apa yang terkena pada orang lain dibaca secara terang, yang terkena diri sendiri ditakwil dengan sejuta penafsiran. 

Jika parti lawan berkumpul untuk bantahan maka mereka namakan tunjuk perasaan dan dihukum haram. Kononnya, bukan amalan salafussoleh. 

Jika geng parti sendiri berkumpul dinamakan menyuarakan pendirian, hukumnya halal. Dimasukkan dalam amar makruf dan nahi mungkar. 

Maka perhimpunan di Kuala Lumpur oleh parti lawan sibuk diharamkan dengan segala fatwa, tetapi di Jeli dan Gua Musang oleh parti sendiri didiamkan. 

Jika pemimpin kerajaan parti lain yang buat silap, ditegur dalam media dan ditulis surat terbuka. 

Namun jika pemimpin kerajaan parti sendiri buat salah, difatwakan haram bercakap kesalahan pemimpin di khalayak ramai, kena berbisik di telinga mereka. 

Dalil-dalil agama dan nama salafussoleh dikhianati atas kedangkalan pengetahuan, ataupun kepentingan politik ‘orang muda agama'. 

Maka tidak pelik jika Allah menyifatkan golongan ulama yang menjual agamanya seperti anjing. Firman Allah: 

"Dan bacakanlah kepada mereka (Wahai Muhammad), khabar berita seorang yang Kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat Kami. Kemudian dia menjadikan dirinya terkeluar dari mematuhinya, lalu dia diikuti oleh syaitan, maka dia dari kalangan yang sesat. 

"Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami angkat kedudukannya dengan (berpegang) ayat-ayat itu, tetapi dia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya, ia menghulurkan lidahnya, dan jika Engkau membiarkannya, ia juga menghulurkan lidahnya. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir. (Surah al-A'raaf: 175-176)

Fatwa artis
Di celahan itu yang menarik hari ini artis-artis yang baru masuk politik sehari dua pun seakan sudah menjadi ‘sarjana Islam'. Mula mengeluarkan hukum ke atas orang lain. Sambutannya hebat. 

Modalnya bukan ilmu, tapi ‘wajah dan penampilan' yang memikat penganjur. Jika ‘ustaz' dibayar seratus dua, tetapi artis yang bercakap Islam dibayar beberapa ribu ringgit satu ceramah. 

Namun jika artis lelaki, ataupun artis wanita yang ‘kurang comel', tidaklah seberapa sambutan dan bayarannya. 

Kita hendaklah tahu seperti yang disebut oleh para sarjana Islam, bab politik islami bukan mudah untuk dihuraikan. Politik memerlukan kefahaman tentang maslahah dan maqasid syarak. 

Suatu ilmu yang memerlukan banyak latar pengetahuan yang baik. Namun, jika artis masuk parti politik, segala kesarjanaan itu seakan diberikan kepadanya. Ini memang tanda-tanda akhir zaman. 

"Sesungguhnya sebelum kedatangan dajjal -dalam riwayat yang lain: sebelum kiamat- adanya tahun-tahun yang penuh tipu daya. Ketika itu didustakan orang yang benar, dianggap benar orang yang dusta, dianggap khianat orang yang amanah, dianggap amanah orang yang khianat, dan bercakap ketika itu 'al-Ruwaibidoh'. 

Para sahabat bertanya: "Siapakah al-Ruwaibidoh?" Sabda Nabi SAW: "Orang lekeh yang berbicara mengenai urusan awam (orang ramai)." 

Hadith ini diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad, Abu Ya'la, al-Bazzar, Ibnu Majah, al-Kharaiti, dan al-Hakim. Al-Hakim menyatakan isnadnya sahih dan ini disetujui oleh Al-Zahabi.

Bukan salah artis berceramah dan berkongsi pengalaman. Mereka yang berubah memang dialu-alukan. Namun setiap orang kena tahu kadar pengetahuannya mengenai apa yang dia perkatakan. Jangan cepat simpulkan hukum sedangkan anda bukan ahlinya.

Apa pun, politik kita memang ajaib. ‘Macam-macam ada' dan semua boleh. Dulu ada orang cakap, asal barang jadi duit, kita ambil. Hari ini, asal barang jadi politik, kita angkut!

PROF MADYA DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN bekas mufti Perlis. Artikel ini pandangan peribadi penulis.


                                                                                                                  Isi Kandungan 

Taat pada penguasa ada batasnya

                                                                                                            Isi Kandungan 


Taat pada penguasa ada batasnya
  • Dr Mohd Asri Zainul Abidin
  • 4:38PM Sep 13 2012
 
Pada Sabtu ini, saya Insya-Allah akan membentangkan kertas dalam Konvensyen Fiqh Politik Islam Semasa di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA), Gombak. 

Tajuk yang diberikan kepada saya ialah "Mentaati Pemerintah: Antara Literal dan Maqasid". 

Oleh kerana penyertaan ke konvensyen itu terhad, maka saya ingin berkongsi sedikit di ruangan yang terhad ini mengenai tajuk tersebut.

Mentaati pemerintah ini termasuk dalam fikah siasah iaitu fikah Islam yang berkaitan dengan imarah, imamah ataupun kepimpinan dalam Islam. 

Perbezaan pandangan dalam hal ini, bukanlah masalah akidah. Saya sebutkan ini kerana ada golongan muda agama politik tertentu yang menganggap isu ini isu akidah. 

Dalam erti kata lain, sesiapa yang tidak taat kepada kerajaan bererti rosak akidahnya. Ini tidak tepat. Al-Imam Ibn ‘Ashur ketika menyebut tentang sebab-sebab perpecahan: 

"Kelima: memasukkan ke dalam tauhid perkara-perkara yang bukan daripadanya. Tujuan untuk membesarkannya pada mata orang awam seperti masalah khilafiyyah, tentang keluar menentang penguasa, mengenai mengikut salah satu imam mazhab yang empat...." (Muhammad Tahir ibn ‘Asyur, Alaisa al-Subh bi Qarib, 186. Tunisia: Dar Suhnun)

Walaupun tujuan mereka mungkin untuk menghalang fitnah yang mereka jangka, tetapi memasukkan bab-bab itu ke dalam tauhid adalah tidak benar. 

Ia akan membawa kekecohan bawa iaitu kafir-mengkafir, ataupun sesat menyesat kerana politik. 

Hal yang sama berlaku kepada golongan yang menjadikan penyertaan kepada parti politik mereka termasuk dalam isu akidah, lantas mereka mengkafirkan ataupun memandang sesat sesiapa yang tidak menyokong parti tertentu. 

Sejarah hitam kafir mengkafir di Malaysia adalah hasil dari nas-nas agama ditafsirkan menurut kehendak politik kepartian. 

Rukun kedamaian

Mentaati ulil amri ataupun penguasa adalah rukun dalam penegakanmaslahah siasiyah (kemaslahatan politik). 

Mustahil dapat diwujud satu kerajaan yang aman dan kuat yang melaksanakan kemaslahan rakyat tanpa ketaatan daripada rakyat itu sendiri. 

Ini seperti mana mustahil dapat ditegakkan keamanan tanpa keadilan daripada pemerintah yang menguruskan kehidupan negara dan rakyat.

Allah menegaskan dalam al-Quran, Surah al-Nisa' ayat 58-59 yang bermaksud: 

"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. 

"Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat. 

"Wahai mereka yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul dan uli al-Amr dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih pendapat dalam sesuatu maka kembalilah kepada Allah (al-Quran) dan al-Rasul (sunnah), jika kamu benar beriman dengan Allah dan hari akhirat. Yang demikian itu yang paling utama dan paling baik akibatnya."

Ayat perintah ketaatan datang selepas penegasan Allah tentang tanggungjawab memilih pemimpin dan orang yang layak untuk memegang amanah, kemudian pemimpin pula berhukum dengan adil.

Apabila dua tanggungjawab utama itu dilaksanakan, mana datangnya penegasan tanggungjawab ketaatan. 

Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya menyebut petikan ucapan yang disandarkan kepada Ali bin Abi Talib: 

"Tanggungjawab pemerintah ialah berhukum dengan adil dan menunaikan amanah. Apabila dia melakukan yang demikian, wajib ke atas muslimin untuk mentaatinya kerana Allah memerintahkan kita menunaikan amanah dan adil, kemudian memerintah agar mentaati pemerintah". (Al-Qurtubi: Abu ‘Abdillah Muhammad bin Ahmad, al-Jami' li Ahkam al-Quran, 5/359. Beirut: Dar al-Fikr)

Ibn Hajar al-‘Asqalani (meninggal 852H) menyebut dalam kitab Fath al-Bari

"Antara jawaban yang menarik, ungkapan kalangan tabiin kepada para pemerintah Bani Umayyah apabila ada yang berkata: Tidakkah Allah memerintahkan kamu untuk taat kepada kami dalam firman-Nya ‘dan Ulil Amri dari kalangan kamu'. 

"Maka dijawab: 'Tidakkah kewajiban taat itu telah dicabut (dibatalkan) apabila kamu menyanggahi kebenaran dengan firman-Nya ‘jika kamu berselisih pendapat dalam sesuatu maka kembalilah kepada Allah (al-Quran) dan ar-Rasul (Sunnah), jika kamu benar beriman dengan Allah. (Ibn Hajar al-‘Asqalani, Fath al-Bari 15/4. Beirut: Dar al-Fikr).

Dalam Tafsir al-Nasafi disebut dialog ini antara tokoh tabiin yang terkenal Abu Hazim dengan Maslamah bin ‘Abd al-Malik bin Marwan.(Jilid 1/232. Beirut: Dar al-Fikr)

Ini kerana, apabila pemerintahan menyanggahi kebenaran, maka hilanglah kemaslahatan siasah yang menjadi kewajibannya untuk dia tegakkan. 

Maka, ketika itu penilaian terhadap arahan pemerintah hendaklah dirujuk kepada asas-asas ajaran Allah dan rasul-Nya.

Tidak mutlak

Maka, ketaatan kepada para pemerintah ada batasannya. Hak untuk mereka ditaati tidak sama dengan ketaatan kepada Allah dan rasul-Nya. Ketaatan kepada Allah dan rasul-Nya adalah mutlak.
Allah dan rasul tidak boleh dibantah. Dalam masa yang sama kita tahu segala arahan yang bersifat syariat yang datang dari keduanya adalah untuk kemaslahatan manusia.

Hal ini tidak sama dengan para pemerintah. Ketaatan kepada mereka tidak mutlak. Mereka sentiasa terdedah kepada kepentingan diri seperti mana manusia lain, maka bukan semestinya semua yang datang dari mereka itu untuk maslahat rakyat dan negara.
Kemungkinan arahan mereka membawa kerosakan bukan kemaslahatan, yang mana ia bercanggah dengan prinsip-prinsip Islam.
Untuk itu jika kita melihat firman Allah dalam hal ini, Allah menyebut yang bermaksud: 
"Wahai mereka yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul dan Ulil Amr dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih pendapat dalam sesuatu maka kembalilah kepada Allah (al-Quran) dan al-Rasul (Sunnah), jika kamu benar beriman dengan Allah dan hari akhirat. Yang demikian itu yang paling utama dan paling baik akibatnya."

Ibn Hajar dalam Fath al-Bari menukilkan kata-kata al-Tibi: 

"Berkata al-Tibi: Allah mengulangi arahan dalam firman-Nya ‘taatilah Rasul' sebagai isyarat bahawa kemutlakan Rasul itu dalam ketaatan. Dia tidak mengulanginya pada ulil amr sebagai isyarat terdapat dalam kalangan mereka (ulil amri) yang tidak wajib ditaati. 

"Kemudian Allah terangkan perkara itu dengan firman-Nya ‘jika kamu berselisih pendapat dalam sesuatu...' seakan dikatakan jika mereka tidak beramal dengan kebenaran maka kamu jangan taat dan kembalikan apa yang kamu selisihkan mengenainya kepada hukum Allah dan Rasul-nya". (Ibn Hajar al-‘Asqalani, Fath al-Bari 15/4)

Taat dalam perkara ijtihadi

Tidak dinafikan kadang-kala ada tindakan pemerintah yang tidak dipersetujui oleh rakyat bawahan sedangkan tindakan itu tidak mungkar. 

Maka sekiranya tindakan itu tidak menyanggahi syarak, tidak membawa mafsadah (kerosakan) yang nyata ataupun bukan satu kezaliman, maka ia termasuk dalam batas-batas ijtihad pemerintah yang diizinkan syarak, dan rakyat mesti taat. 

Ini kerana jika setiap orang mahu bertindak mengikut ijtihad sendiri dalam perkara yang membabitkan kepentingan awam, tentu rosak keadaan negara dan musnah kemaslahatan awam. 

Dalam keadaan seperti ini, ijtihad rakyat hendaklah akur kepada bidang kuasa pemerintah dalam perkara yang membabitkan pengurusan kemaslahatan awam. 

Daripada ‘Abd Allah bin ‘Umar RA, daripada Nabi SAW, sabda baginda:

"Dengar dan taat (kepada pemerintah) adalah kewajipan setiap individu muslim dalam perkara yang dia suka atau benci selagi dia tidak diperintahkan dalam perkara maksiat. Apabila dia diperintahkan dalam perkara maksiat maka tiada lagi dengar dan taat. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hadis di atas dengan jelas mewajibkan setiap muslim mentaati para pemerintah dalam apa jua perkara, selagi tidak berbentuk maksiat kepada Allah. 

Bahkan dalam hadis di atas baginda Nabi SAW menegaskan bahawa ketaatan kepada para pemerintah merangkumi perkara yang disukai atau dibenci selagi ia tidak menyanggahi Allah. 

Kata al-Nawawi (wafat 676H) dalam mensyarahkan hadith berkenaan: 

"Maksudnya, wajib mentaati para pemerintah dalam perkara yang susah, yang tidak disukai oleh jiwa dan selainnya dalam perkara yang tidak maksiat". (Al-Nawawi, Syarah Sahih Muslim 12/537, Beirut: Dar al-Khair).

Dengan itu, jika pandangan kita berbeza dengan pandangan pemerintah sedangkan pandangan pemerintah itu bersifat ijtihadiyyah yang tidak menyanggahi al-Quran dan al-Sunnah secara jelas, juga kemaslahatan awam secara nyata, maka kita diamkan diri dan serahkan urusan tersebut kepadanya. 

Ini tidak menghalang kita memberikan pandangan kita melalui saluran yang disediakan.

Membezakan

Maka, rakyat hendaklah membezakan antara perkara mungkar, zalim dan mafsadah (merosakkan) dengan ijtihad pemerintah yang mungkin tidak disukai oleh sesetengah pihak tetapi ia tidak mungkar, tidak zalim dan tidak merosakkan kepentingan awam. 

Maka bahagian yang kedua termasuk dalam ijtihad pemerintah yang wajib ditaati oleh seorang muslim sekalipun dia tidak menyukainya. 

Namun, jika ia mungkar, kezaliman dan kerosakan yang nyata, maka ia tidak ditaati.

PROF MADYA DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN bekas mufti Perlis. Artikel ini pandangan peribadi penulis.


                                                                                                             Isi Kandungan 

Apa yang saya lalui tentang Yahudi

                                                                                                            Isi Kandungan

Apa yang saya lalui tentang Yahudi
DR MOHD ASRI
23 Mac 2012
DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN
DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN
Semalam (21 Mac 2012) saya bermusafir dari UK ke Jordan. Saya hadir memenuhi undangan pelajar Malaysia di sini. Ada seminar yang sedang berlangsung. Sebanyak empat sesi untuk saya. Asalnya, saya macam ‘berusaha’ untuk tidak memenuhi undangan yang datang daripada pelbagai pihak sepanjang berada di Oxford kerana ingin menumpukan kepada tugasan saya. Pelbagai jemputan khususnya daripada pelajar Malaysia dari Eropah, saya masih tidak tangguhkan.

Saya pernah berkata kepada beberapa sahabat "rasanya jemputan yang saya dapat melebihi hari-hari yang ada." Tapi, saya terima undangan dari Jordan, sekalipun jauh selama lima jam penerbangan. Sedangkan saya baru sahaja selesai ibadah umrah beberapa hari lepas di Mekah. Saya datang juga kerana di sini tempat saya belajar dahulu. Saya ingin mencium bau padang pasir dan udaranya yang lama saya tinggalkan. Saya ingin menikmati ‘maqlubah’, kunafah, mansaf dan lain-lain hidangan Jordan.
Namun lebih penting, saya rindu ingin melihat wajah guru-guru saya. Kata orang Melayu "tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain."

Saya pulang dari Jordan pada 1995, setelah hampir lima tahun berada di sini. Saya belajar ijazah pertama Bahasa Arab dan Syariah di University of Jordan. Pulang ke Malaysia ketika usia masih 20an. Kini baru saya datang kembali setelah menjejak kaki ke pelbagai benua dan negara. Jika imam yang agung dan besar seperti al-Imam al-Syafi’i itu berubah pandangan dan pendapat setelah melalui pelbagai kembara, pastinya insan kerdil seperti saya terdedah kepada perubahan. Namun, kesan dan pengaruh pengalaman mewarnai banyak perkara dalam hidupan.


Isu Yahudi

Di Malaysia sekarang timbul isu Yahudi. Sesiapa yang pernah hidup di Jordan terutama pada era saya berada dahulu yang mana Perang Teluk memuncak, akan tahu betapa Israel dan Yahudi menjadi ‘zikir’ bicara setiap rakyat Jordan. Kedudukan Jordan yang bersempadan dengan Israel dan jumlah orang Palestin yang memenuhi pelbagai ruang di negara ini menjadikan isu Palestin sentiasa segar. Di sinilah saya mengikuti pelbagai aktiviti yang kesemuanya ke arah pembebasan Palestin dan penghapusan Yahudi.

Demonstrasi, khutbah, ceramah, nasyid, syair dan segala pementasan seni dan segala berasaskan isu Palestin dan Israel. Guru-guru saya di masjid seperti as-Syeikh Dr Salah ‘Abd al-Fattah al-Khalidi, as-Syeikkh Dr Hammam Said, as-Syeikh Dr Muhammad Abu Faris dan lain-lain merupakan lambang rakyat dalam menentang Yahudi. Di universiti juga demikian. Kawan-kawan Arab ramai yang bersemangat jihad. Kadang-kadang kami ponteng kelas kerana menyertai demonstrasi anti-Yahudi. Sehingga saya terfikir untuk pergi berperang di Palestin dan mati syahid di sana. Usia yang teramat muda, yang baru sahaja meninggalkan alam remaja ketika itu menjadikan segala slogan-slogan itu berkobar terbakar dalam darah dan perasaan. Apa tidaknya, nasib Palestin dan kekejaman Yahudi yang disaksikan saban hari.

Di Jordan inilah kami menghafal slogan-slogan bersemangat menentang Yahudi. Dalam demonstrasi, slogan-slogan seperti Khaibar, Khaibar Ya Yahud, Jaisyu Muhammad saufa ya’ud (Khaibar! Khaibar! wahai Yahudi! Tentera Muhammad akan kembali) berkumandang di sana sini. Lirik-lirik nasyid juga penuh dengan isu Yahudi. Kami menghafal dan mendendangkannya. Maka Yahudi isu asas di sini. Bak kata guru-guru kami; kerana Yahudi itu isu asas, maka Surah al-Isra ataupun Bani Israel itu berada paling tengah al-Quran.


Yahudi di Barat

Apabila saya melawat Berlin, Jerman pada tahun 2009, saya melihat gambaran yang lain cuba diberikan. Yahudi dilihat sebagai mangsa kekejaman Hitler. Dibuat memorial khas untuk mengenang Yahudi yang menjadi mangsa pembunuhan di Eropah. Walaupun banyak yang boleh dipersoalkan.

Apabila saya ke Oxford sekarang, saya mendapati betapa ramai penulis Muslim di Barat membincangkan mengenai Yahudi di sudut ia sebagai salah satu agama tanpa isu Palestin. Maka Yahudi dilihat sebagai agama seperti agama Kristian. Emosi Palestin tidak berperanan.

Sementara di pihak sebahagian penulis dan media Barat pula menjadikan isu Israel itu sebagai asas dalam menilai seseorang tokoh Muslim. Sesiapa yang tidak mengiktiraf Israel tidak akan mendapat reda Barat sekalipun dia seorang pemikir yang hebat. Sehebat mana pun ilmunya, seluas mana pun toleransi dan keterbukaannya dengan pihak yang lain, namun jika dia tidak mengiktiraf Israel, maka dia tidak akan digolongkan dalam ‘moderate Muslim’. Ini persis seperti yang disebut oleh Louay Safi dalam artikelnya Reflection on Ijtihad and Moderate Islam, kata beliau: “I would, rather, underscore an important point: The effort to dismiss authentic Muslim voices when they express views critical of American foreign policy or Israeli policies in the West Bank and Gaza violates the essence of democratic politics. We must all recognize that efforts to intimidate and marginalize voices critical of Israel and American foreign policy are anti-democratic and extremist. Therefore, I fully agree with Graham Fuller that the term moderate Muslim is subject to an unrealistic litmus test regarding views on Israel that excludes the majority of serious Muslims voices, thereby dismissing potential interlocutors. I would add that such isolation tactics work both ways in a world in which the United States increasingly finds itself unable to sustain its unilateralist approach to world politics”.

Maka, disebabkan hal inilah yang menyebabkan sebahagian tokoh-tokoh Muslim tidak mahu atau tidak mampu mengkritik Israel. Hakikatnya, jika seseorang tokoh Muslim itu takut mengkritik Israel dan dasar luar Amerika, dia sebenarnya gagal menghayati asas demokrasi yang sepatutnya dipertahankan. Juga tipis nilai ukhuwah islamiahnya.


Yahudi dan Islam

Yahudi sebenarnya bukan seperti agama lain. Yahudi itu agama dan keturunan. Itulah Yahudi yang asal. Seperti mana yang saya tegaskan bahawa Islam adalah agama yang menghormati semua keturunan manusia. Islam tidak menghukum seseorang disebabkan keturunannya. Tidak mungkin ALLAH SWT menghukum ciptaan-Nya, yang bukan pilihan makhluk yang dicipta itu. Keturunan bukan pilihan seseorang. Juga, Islam juga tidak memaksa orang menganut Islam dan memerangi serta menghukum hanya kerana perbezaan agama. Demikian seseorang Yahudi tidak boleh dihukum hanya kerana dia berketurunan Yahudi atau beragama Yahudi. Permusuhan berlaku antara masyarakat Yahudi dan Nabi Muhammad SAW dalam sejarah disebabkan sikap permusuhan mereka terhadap Islam, bukan keturunan mereka. Maka, permusuhan umat Islam dan Yahudi pada hari ini juga sepatutnya atas isu kekejaman mereka di Palestin. Sesiapa dalam kalangan Yahudi yang tidak terlibat, maka dia tidak dimusuhi.

Dalam sejarah Nabi; Baginda mempunyai isteri yang merupakan seorang Yahudi iaitu Safiyyah binti Huyai. Sahabat Nabi yang dianggap ilmuwan ‘Abdullah bin Salam, juga seorang Yahudi. Baginda dalam urusan muamalat pernah menggadai barang kepada Yahudi. Baginda juga menziarahi Yahudi yang sakit. Ini menunjukkan kita boleh berbuat baik kepada Yahudi atas dasar persahabatan yang tidak mengkhianati Islam atau atas asas dakwah. Bahkan al-Quran dalam surah al-Maidah membenarkan perkahwinan dengan wanita Yahudi dan Kristian yang dikategorikan sebagai Ahlul Kitab.

Maka, seseorang Yahudi ataupun Negara Yahudi kerana permusuhan mereka. Sementara Yahudi di tempat lain yang tidak menzahirkan permusuhan kepada umat Islam, tidak wajar dimusuhi. Emosi tidak membolehkan menghukum yang tidak bersalah, dan juga tidak boleh membiarkan kezaliman ke atas yang pihak yang lain. Firman ALLAH: “ALLAH tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya ALLAH mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya ALLAH hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”. (Surah al-Mumtahah, 8-9)

Juga perlu kita tahu, al-Quran menyatakan bahawa kecenderungan Yahudi dan penyembah berhala memusuhi Islam lebih besar dibandingkan orang Kristian. Orang Kristian disifatkan lebih lunak kepada orang Islam dibandingkan Yahudi dan Musyrikin. Firman ALLAH: “Demi sesungguhnya engkau (Wahai Muhammad) akan dapati manusia yang keras sekali permusuhannya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang Musyrik demi sesungguhnya engkau akan dapati orang-orang yang paling dekat sekali kasih mesranya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: “Bahawa kami ini orang-orang Nasrani” yang demikian itu, disebabkan antara mereka pendita-pendita dan ahli-ahli ibadat, dan kerana mereka pula tidak sombong” (Surah al-Maidah: 82).

Pun begitu, Islam hanya bertindak apabila terbukti. Sesiapa yang tidak menzahirkan tindakan permusuhan maka dia tidak dimusuhi sekalipun dia Yahudi. Dalam sejarah Yahudi, The Golden Age of Judaism itu di Sepanyol ketika di bawah pemerintahan umat Islam. Sedangkan di Eropah pada masa dahulu, Kristian sering memandang buruk dan jahat terhadap Yahudi disebabkan perangai mereka. Sebab itu mereka terpaksa hidup di sebalik tembok ghetto. Rekod Yahudi yang buruk itu menjadikan mereka sering dimusuhi di serata tempat dan Hitler itu hanya salah satu manifestasi kebencian itu. Namun, Islam yang tulen hanya menghukum berdasarkan kesalahan yang dizahirkan.

                                                                                                             Isi Kandungan

Tuesday, September 4, 2012

Hendaklah Tuhan di tiap tabir ilmu

Hendaklah Tuhan di tiap tabir ilmu
  • Dr Mohd Asri Zainul Abidin
  • 8:16AM Nov 19 2011
 
Alangkah baiknya jika kita memiliki bandar seperti Oxford ini. Sebuah Bandar yang penuh dengan pusat-pusat pengajian. Hampir setiap manusia yang bergerak di bandar ini mempunyai kaitan dengan pengajian. 

Pelbagai tajuk yang pelik dan aneh dikaji. BBC Oxford juga ada kelainannya. Isu-isu yang dibincangkan sesuai dengan taraf keilmuan di bandar ini.

Seminar itu dan ini begitu banyak dalam pelbagai cabang ilmu pengetahuan. Hampir semuanya percuma. Mereka biasanya tidak memperuntukkan tempat yang canggih dan anggun untuk berseminar. Cukup dengan satu ruang dalam pepustakaan ataupun selainnya yang boleh memuatkan beberapa puluh orang.

Kebanyakannya tiada pembesar suara. Hanya kerusi, meja dan pembicara. Sebahagian seminar hanya beberapa belas orang. Ia tetap berlangsung dengan penuh diskusi pengetahuan. Saya sendiri cuba hadir dalam banyak seminar setiap minggu, samada yang ada kaitan secara langsung atau tidak langsung dengan bidang saya.

Beberapa seminar di School of Anthropology umpamanya memberikan saya pengetahuan baru di luar bidang. Semalam di Muslim-Christian Studies, ada pembentangan oleh Martin Whittingham, seorang Kristian dengan tajuk: Ezra as the Corrupter of the Old Testament Text? Ibn Hazm and the Long History of an idea.

Seorang Kristian yang memperkatakan tentang idea al-Imam Ibn Hazm. Ya, banyak yang boleh dimanfaatkan jika kita ingin mencari pengetahuan di sini. Jika kita buru pengetahuan memang hidup akan sibuk. Sehingga saya kadang-kala terfikir untuk berhenti menulis setiap minggu yang sentiasa menekan waktu saya sejak hampir lima tahun lalu.

Dahulu ketika di Mingguan Malaysia, deadline saya pada hari sabtu amat mendesak. Sekarang di Sinar Harian deadline saya pada hari khamis untuk edisi Jumaat. Waktu Malaysia pula awal lapan jam dari UK. 

Namun, oleh kerana tulisan menghubungkan saya dengan ramai manusia, di akhbar dan internet maka saya teruskan. Dengan harapan ada kebaikan yang mendatangkan pahala di sebalik setiap artikel yang dikeluarkan.

Ilmu untuk apa?

Di sebalik kesibukan manusia memburu ilmu di bandar seperti Cambridge dan Oxford ini, saya tertanya ke manakah ilmu pengetahuan yang penuh sarat ini akan membawa manusia? Apakah tujuan ilmu? Apakah ilmu untuk ilmu, atau ilmu hanya jambatan kepada satu tujuan lain yang lebih murni.

Apakah cukup seorang insan memegang gelaran ilmu kemudian hidup dalam lingkungan sendiri tanpa menjadikan pengetahuannya memberikan sumbangan kepada pembangunan insan? Lebih buruk lagi, apabila apa yang dianggap ‘ilmu' itu menyumbang kepada kemusnahan kehidupan manusia.

Sebelum saya pergi lebih jauh, saya teringat hari pertama saya sampai di bilik penginapan, saya bertanya arah kiblat kepada jiran bilik saya yang juga seorang ilmuwan muslim. Beliau berkata beliau tidak tahu. Saya terdiam dan berfikir apakah peranan ilmu dalam kehidupan seorang individu Muslim? 

Apakah makna bagi sebuah perbahasan agama yang kononnya mencapai ketinggian falsafah sehingga ke langit tinggi jika pembahasnya gagal untuk meletakkan dahi ke bumi untuk sujud kepada Tuhan Maha Tinggi? Ilmu itu ada ruh dan tuntutannya.

Kita tidak menafikan betapa malunya dunia Islam yang ketinggalan dalam pembangunan ilmu. Sedangkan dahulu, dunia Islam telah ke hadapan dalam hal ini. Museum History Science di Oxford yang bersebelahan dengan tempat tinggal saya ini, mengiktiraf sumbangan dunia Islam terhadap perkembangan sains serta mengakui bahawa Barat mengambil manfaat dari kaum Muslimin. 

Barat yang pada mulanya mengambil ilmu dari dunia Muslim lalu mengembangkannya sehingga mereka maju ke hadapan dalam pelbagai bidang kehidupan. Kita pula ketinggalan, bahkan ramai yang hidup dalam kejumudan. Ada memusuhi ilmu pengetahuan dengan menganggap pengajian selain ilmu-ilmu langsung berkaitan agama hanyalah sia-sia. 

Bahkan ada yang melarang menuntut ilmu dengan orang kafir atau di ‘negara kafir'. Golongan literalist ini melupai bahawa sebahagian kemudahan beragama adalah hasil sumbangan ilmu dalam pelbagai bidang. 

Perkara asas dalam kehidupan seperti jam untuk solat, kompas untuk arah kiblat, kenderaan untuk ke Mekah, pembesar suara, mesin cetak, internet dan pelbagai lagi yang membolehkan Islam tersebar adalah hasil sumbangan ilmu dalam pelbagai bidang yang secara zahirnya tidak kelihatan berkaitan agama. Namun, ramai manusia kembali kepada Tuhan hasil perantaraan ilmu dari bidang yang lain.

Permasalahan utama para penuntut ilmu di Barat ataupun Timur adalah mereka gagal menghubungkan ilmu pengetahuan dengan Tuhan semesta alam. Apabila mereka terlupa, ataupun syaitan melupakan mereka bahawa segala falsafah dan penemuan dalam pembukaan ilmu hanyalah usaha menemui rahsia ciptaan Tuhan di alam maya ini. 

Umpamanya, kehairanan saintis tentang ‘black holes' yang akan menelan kehidupan maya pada ini, tidak dapat dirungkaikan tanpa menyelak lembaran-lembaran tentang kiamat dan kehidupan baru selepas kemusnahan alam.

Islam tidak pernah memusuhi ilmu. Walaupun ada pandangan-pandangan jumud seperti konservatif agama dahulu di Indonesia dan Malaya yang menentang Kiyai Ahmad Dahlan dan ‘Kaum Muda', atau golongan literalis hari ini yang menentang pengajian falsafah, namun sejarah umat Islam tidaklah seburuk Kristian yang membakar hidup ribuan ilmuan dalam rekod sejarah mereka. 

Dalam dunia Islam, walaupun ada kezaliman disebabkan aliran mazhab dan school of thought yang berbeza, tetapi ruang ilmu tetap luas. Al-Ghazali, Ibn Rusyd, Ibn Taimiyyah dan selain mereka yang berbahas tentang falsafah Greek dan Yunan secara pro dan kontra, kesemua mereka mendalami ilmu tersebut secara masak dan dalam.

Mereka bukan terus mengharamkan tanpa berkenalan. Dalam apa sahaja bidang, tidak sama orang yang mengetahui dengan yang tidak mengetahui (maksudnya):

"Katakanlah: apakah sama orang yang mengetahui dengan yang tidak mengetahui?" (Al-Zumar: 9)

Tuntutan ilmu
Apa yang Islam tuntut agar ilmu sentiasa dikaitkan dengan kebesaran Allah, Tuhan pencipta alam. Allah itu di sebalik segala ilmu pengetahuan. Apa yang manusia temui hanya cebisan dari penciptaan alam yang maha luas. 

Samada penemuan dalam bentuk kebendaan ataupun pemikiran dan falsafah kehidupan, semuanya hanyalah debu dari ilmu Tuhan yang tiada tepiannya. 

Inilah yang Allah nyatakan (maksudnya): "Tidaklah kamu semua diberikan ilmu melainkan sedikit" (Al-Isra: 85). 

Dengan ilmu yang sedikit itulah manusia berjaya menghasilkan pelbagai kemajuan yang mengkagumkan. Dengan ilmu yang sedikit itulah manusia berbangga antara satu sama lain. Dengan ilmu yang sedikit itu juga manusia boleh menzalimi antara satu sama lain. 

Namun, dengan ilmu yang sedikit itulah satu-satunya jalan untuk manusia mengenali Tuhan dan tunduk kepada-ya. Justeru, Allah mengajar manusia manusia sejak awal penurunan wahyu agar ilmu pengetahuan dibaca dengan nama-Nya Yang Maha Pemurah yang mengurniakan ilmu kepada insan. 

Firman Allah (maksudnya): "Bacalah dengan nama Tuhanmu Yang Menciptakan (segalanya). Dia menciptakan insan dari ‘alaq. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah . Yang mengajar dengan pena. Dia mengajarkan insan apa yang tidak diketahuinya" (Al-‘Alaq :1-5).

Demikian sejak hari awal penurunan wahyu kepada Nabi SAW, asas ini telah dipasak. Tuhan itu berada di setiap tabir ilmu. Kesimpulan seorang pengkaji ilmu akan kembali kepada kebesaran Tuhan. Apa sahaja ilmu yang dikaji, Tuhan jua yang akan ditemuinya. 

Jika dia berjaya atau gagal, dia hanya berjaya atau gagal membongkar rahsia ciptaan Tuhan. Namun dia tetap akur, segala ilmu hakiki berada di sisi Tuhan. Apa yang ditemui, hanya debuan dari kebesaranNya. Maka ilmu akan membawa insan mengenali Ilahi. Mengenali Tuhan menerusi ilmu membawa kepada cinta yang hakiki. Cinta itu pula membawa kepada kebahagiaan nurani.

Ilmuan yang berpaksikan Tuhan sentiasa akan menyimpulkan jawapan akhir bagi segala pencarian iaitu "Hanyalah Allah Yang Mengetahui hakikat setiap perkara". 

Apa yang manusia bahas dan bincangkan hanyalah zahir ilmu, batinnya tetap dalam pengetahuan Tuhan. Benar dan salah, hanya tafsiran dan takwilan fakta dan nas; hakikatnya Tuhan jua yang mengetahui.

Manusia yang memburu ilmu dengan penuh kejujuran, menemui Tuhan di setiap penjuru ilmu. Firman Allah (maksudnya): 

"Tidakkah engkau melihat bahawa Allah menurunkan hujan dari langit, lalu Kami keluarkan dengan air hujan itu buah-buahan yang berlainan warnanya; dan di antara gunung-ganang pula ada yang mempunyai jalur-jalur putih dan Merah, yang berlainan warnanya dan ada juga yang hitam legam. 

"Dan demikian pula antara manusia dan binatang-binatang yang melata serta binatang-binatang ternak, ada yang berlainan jenis dan warnanya? sebenarnya yang takutkan Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu (ulama). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun" (Fatir: 27-28).

Ayat ini sering dijadikan dalil bahawa golongan ulama yang paling takutkan Allah. Lalu, ditonjol ulama yang berserban dan berjubah, atau ahli fekah, lebai atau ustaz sebagai golongan yang takutkan Allah. 

Namun, jika kita perhatikan ayat ini ia membicarakan tentang mereka yang memerhati kejadian alam dengan segala keajaiban, selepas itulah diikuti dengan penegasan "yang takutkan Allah dari kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah orang-orang yang berilmu (ulama)". 
Jika berserban dan jubah tanpa meneroka rahsia alam, atau menelaah penemuan keajaiban ciptaan Tuhan tidak akan menimbulkan rasa kegerunan. Maka, tidak salah untuk kita katakan bahawa saintis itulah yang paling dimaksudkan mereka yang takutkan Allah. 

Saintis itulah ulama dalam konteks ayat ini. Sesiapa mengkaji alam dalam segala bidang kebendaan dan pemikiran, merekalah ulama dalam bidang mereka. Adapun yang mendaftarkan diri dalam persatuan ulama, atau badan ulama belum tentu terangkum dalam ayat ini.

Apapun, dalam apa pengetahuan perasaan itu tidak akan hadir, jika ilmu dibaca secara berasingan dari nama Tuhan. Hendaklah Tuhan berada di setiap tabir ilmu.

Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin merupakan bekas mufti Perlis dan felo pelawat di Universiti Oxford, United Kingdom.

Atas nama Tuhan dan agama

Atas nama Tuhan & agama
  • Dr Mohd Asri Zainul Abidin
  • 12:49PM Feb 19 2012
 
Sepanjang sejarah manusia, nama Tuhan sering dijadikan alat dalam mencapai tujuan atau kepentingan peribadi ataupun puak. Sedangkan ia sepatutnya menjadi nama sakti dalam menegakkan kebenaran dan menghapuskan kebatilan, malangnya digunakan untuk menegakkan kebatilan dan menghapuskan kebenaran. 

Perlambangan agama yang sepatutnya membela kekudusan ajaran Tuhan, sering kali digunakan untuk membiakkan kehendak syaitan dan hasrat nafsu serakah manusia. Maka tidak hairan jika kita melihat nama Tuhan sering dipergunakan oleh orang politik, ahli perniagaan, bomoh, ustaz, penjenayah, perasuah dan segala jenis ‘manusia' yang berkepentingan. 

Dalil-dalil diputar dan dipusing agar dapat menjelma dalam rupa reka kehendak yang berbicara. Ia bukan hanya berlaku dalam kalangan umat Islam, sebaliknya dalam semua agama. Dalam sejarah Yahudi dan Kristian berlaku dengan begitu dahsyat. 

Martin Luther yang mengasaskan Mazhab Prostestan telah membangkitkan isu ini dalam Kristian. Beliau katanya ingin membela ajaran Tuhan. Malangnya, betapa ramai pengikutnya yang dibakar oleh gereja Katolik, juga atas nama Tuhan.

Sokong rejim


Hitler juga mendapat sokongan sebahagian gereja di Jerman. Kedua aliran yang bertentangan - Katolik dan Protestan - menyokong tindakan beliau terhadap Yahudi atas nama Tuhan. Demikian Assad di Syria yang membunuh rakyat sejak sekian lama. Begitulah juga regim-regim yang lain.

Pakaian dan bahasa agama juga digunakan untuk menghiasi amalan salah atau penyalahgunaan nama Tuhan. Jika orang seperti Hitler dan Assad mampu mendapat restu golongan agama, maka tidak pelik jika ada dalam dunia ini ada mufti atau syeikh yang sanggup memuja-memuji pemerintah atau raja atau sultan dalam khutbah Jumaat dengan perhiasaan kata yang berlebihan. 

Doa bertujuan mengampu disusun khas untuk penguasa, sultan dan raja serta keturunannya sekalipun mereka itu perasuah, perembat harta rakyat, bermewahan dengan istana, kereta dan harta sedangkan rakyat bawahan menderita airmata. Doa untuk rakyat yang miskin hanya secebis.

Sebaliknya berlimpahan doa untuk penguasa, raja dan sultan dengan perhiasaan kata puja dan puji seakan mereka lebih tinggi dari para nabi. Khutbah Jumaat yang menjadi tempat umat memuja dan pemuji Tuhan, bertukar pada bahagian doanya sebagai ampuan memuja dan memuji kerajaan dan sultan. 

Hal ini bukan sangat dengan pemintaan penguasa atau raja, tetapi ‘sang berjubah agama' yang mempunyai agenda hidupnya yang tersendiri. Inilah yang berlaku di seluruh dunia ‘berjubah agama' tapi bertujuan sebaliknya.

Orang-orang agama ini mendapat gaji dan berjubah yang jauh lebih hebat dari segala ulama yang terbilang dahulu, tetapi sekadar berperanan untuk membaca doa yang puitis untuk sang singgahsana dan mengeluarkan fatwa yang meredhakan penguasa dan raja. 

Kegerunan mereka kepada hilang jawatan lebih hebat dari kegerunan mereka membohongi hukum Tuhan.

Sebab itu, ramai panguasa, raja dan sultan dalam dunia dan sepanjang sejarah sekalipun buruk tingkah laku dan ketamakan harta serta kezaliman mereka terhadap hak rakyat, terus merasa selesa kerana ada yang berlidah dan berjubah agama yang membodeknya. 

Syurga seakan sudah tempah untuknya, neraka pula seakan sudah tertutup rapat baginya sekalipun dia tidak menunaikan hak rakyat dan memakan harta secara haram.

Pisahkan agama
 

Firman Allah: (maksudnya) "Dan apabila mereka melakukan sesuatu perbuatan yang keji, mereka berkata: "Kami dapati datuk nenek kami mengerjakannya, dan Allah memerintahkan kami mengerjakannya". Katakanlah (Wahai Muhammad): "Sesungguhnya Allah tidak menyuruh mengerjakan perbuatan yang keji. Patutkah kamu mengatakan terhadap Allah apa yang kamu tidak mengetahuinya? Katakanlah: "Tuhanku menyuruh berlaku adil, dan (menyuruh supaya kamu) hadapkan wajah kamu (kepada Allah) pada tiap-tiap kali mengerjakan sembahyang, dan menyeru-Nya dengan mengikhlaskan agama kamu kepadaNYA semata-mata, sebagaimana DIA telah menjadikan kamu pada mulanya, (demikian pula) kamu akan kembali (kepada-Nya). Sebahagian (manusia) diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan sebahagian lagi berhaklah mereka ditimpa kesesatan (dengan pilihan mereka sendiri), kerana sSesungguhnya mereka telah menjadikan syaitan-syaitan itu pemimpin-pemimpin (yang ditaati) selain Allah. serta mereka pula menyangka bahawa mereka berada dalam petunjuk". (Surah al-A'raf, 28-30).

Seperti yang saya pernah catatkan bahawa saya tidak menyokong pemisahan agama dari politik, tetapi saya menyokong memisahkan agama dari penyalahgunaan golongan politik.

Lebih elok politik yang berpisah dari agama dibandingkan politik yang mempergunakan agama. Saya inshaAllah akan bahaskan tentang secular state dalam tulisan yang akan datang.

Mimpi nabi


Sebab itu amatlah berbahaya apabila agama itu telah menjadi senjata mereka yang pandai berbicara untuk kepentingan kuasa dan diri. Hakikat Tuhan akan disalahertikan oleh manusia. 

Ajaran kebenaran akan dipandang serong. Manusia akan kecewa dengan ajaran Tuhan yang dianggap tidak memenuhi panduan keadilan dan rahmat. Sebab itu agama Islam ini tertegak atas fakta dan hujah. Bukan khayalan dan mimpi.

Jika kita masih ingat bagaimana pengasas ajaran al-Arqam semasa masih hidup membuat pelbagai dakwaan. Ketika itu ada imam masjid tertentu mendakwa bahawa dia berjumpa Nabi SAW dalam mimpinya membenarkan ajaran Ashaari Muhammad. Ramai yang terpengaruh dengan mimpi tersebut. 

Itu bukan kali pertama, bahkan sudah puluhan kisah setiap kali ada yang mendakwa menjadi Mahdi, ada sahaja orang yang bermimpi berjumpa Nabi SAW dan mengakuinya. Ini termasuk kisah Mahdi di Sudan yang jauh lebih berjaya dari Ashaari Arqam.

Ada pula yang mengeluarkan dalil bahawa Nabi s.a.w telah bersabda: 

"Sesiapa yang melihatku dalam tidur sesungguhnya dia benar-benar melihatku, kerana syaitan tidak dapat menyerupaiku." (Riwayat Muslim).

Ya, syaitan memang tidak boleh menyerupai Nabi s.a.w, namun syaitan boleh menyerupai orang lain dan seseorang yang tidak pernah melihat Nabi s.a.w menyangka itu Nabi s.a.w. Tipuan syaitan sangat licik.

Dalam kitab Fath al-Bari Sharh Sahih al-Bukhari, apa yang disebut oleh tabi'in agung lagi pakar mimpi dalam sejarah Islam, al-Imam Muhammad bin Sirin (meninggal 110H) menafsirkan hadis ini bahawa ia bermaksud ‘jika seseorang melihat Nabi s.a.w dalam rupanya yang asal'.

Ertinya dia mesti mengenali hakikat rupa Nabi s.a.w. Apabila ada orang mendakwa bahawa dia melihat Nabi s.a.w, Muhammad bin Sirin meminta supaya dia menceritakan ciri-ciri Nabi s.a.w yang dia lihat dalam mimpinya. 

Apabila dia menceritakannya, beliau menjawab: ‘engkau tidak melihatnya'. Ibn ‘Abbas juga menyelidiki seseorang yang mendakwa bahawa dia bermimpi berjumpa Nabi s.a.w. Beliau bertanya sifatnya, orang itu menjawab seperti Saidina Hasan bin ‘Ali. Ibn ‘Abbas mengakuinya.

Itu jika orang tersebut tidak berbohong. Namun, bagaimana pula jika dia berbohong tentang apa yang dilihatnya? Maka mimpi tidak boleh menjadi hujah dalam agama ini. Ia boleh menjadi isyarat untuk urusan peribadi seseorang, namun bukan syariat yang diamalkan. 

Saya masih ingat kisah Presiden sebuah negara ‘bernama agama' yang menceritakan beliau dilindungi cahaya suci seperti para imam mazhabnya ketika berada di PBB. Demikian juga saya masih ingat semasa Gulf Waryang pertama, ketika itu saya belajar di Jordan. Sokongan rakyat Jordan kepada Saddam Hussain begitu kuat.

Ramai juga tokoh agama yang membaca hadis-hadis Nabi SAW dan menyatakan bahawa Saddam Hussain itu penyelamat umat yang dimaksudkan oleh Nabi SAW Saya masih ingat guru-guru hadis yang saya hadiri kuliah mereka membantah penyalahgunaan hadis tersebut. 

Baru-baru ini pun ada tokoh agama dalam parti politik tanah air yang mendakwa pemimpinnya sebagai lelaki yang dijanjikan Nabi SAW untuk membebaskan al-Aqsa. Demikianlah agama menjadi mainan mereka yang berkepentingan.

Sebab itu, agama mesti bebas dari ini semua. Semua kita wajar bimbang terhadap diri sendiri dan juga umat ini dengan amaran Nabi SAW: "Apa yang paling aku takut terhadap kamu ialah orang munafik yang petah lidahnya" (Riwayat Ahmad, sahih). 

Saya juga lucu apabila ada seseorang berceramah tentang perjuangan murninya setelah dia dipecat ialah membela Islam, Melayu dan raja. Sedangkan Melayu tidak semestinya selari dengan Islam, demikian juga raja. 

Jika Islam itu diyakini syumul, membela Islam bererti terbela segala bangsa, raja dan rakyat. Namun, apabila Islam dipergunakan, bahasa Islam dinodai untuk tujuan tersendiri, hanya satu bangsa diperjuangkan dan raja sahaja yang dibela. Bagaimana dengan rakyat bawahan seperti kita? Demikian agama sering menjadi mangsa.

ULASAN ini adalah pendapat peribadi penulis.
 
Penulis adalah bekas mufti Perlis dan kini bertugas sebagai zamil di Universiti Oxford.
 
 

Siapa Islamis sebenar

Siapa Islamis sebenar?
  • Dr Mohd Asri Zainul Abidin
  • 3:31PM Mac 2 2012
 
Ramai yang menghantar mesej kepada saya meminta saya mengulas tentang kenyataan terbaru Tun Mahathir Mohamad berhubung dengan hudud. Juga ada yang menyatakan saya double-standard apabila tiba kepada Tun Mahathir saya selalu mengelakkan untuk mengulas disebabkan saya ada hubungan baik dengan beliau. 

Sebenarnya, ia disebabkan saya di UK dan baru sahaja tahu isu itu apabila dibangkitkan oleh rakan-rakan ‘tweet' (not twit). Jika saya di Malaysia, mungkin saya akan hubungi Tun sendiri, tapi jarak jauh menghalang hasrat tersebut. 

Asas hukum hudud disebut dalam al-Quran seperti hukum potong tangan pencuri dan sebat bagi yang menuduh orang lain berzina dan yang berzina. Kewujudan hukum tersebut dalam al-Quran memang qat'i iaitu pasti tanpa sebarang takwilan lagi. 

Ini disebut sebagai qat'iya thubut. Namun perbahasan ataupun pendetilan hukum tersebut seperti syarat-syarat hukum itu dilaksanakan, konteks perlaksanaan hukum dan segala pendetilan yang lain kebanyakannya adalah ijtihad ulama fekah. 

Kebanyakan ijtihad itu berasaskan kefahaman mereka terhadap nas-nas yang zanni (speculative text l zanniyyat dilalah) iaitu nas-nas al-Quran atau hadis yang mempunyai pelbagai pentafsiran ataupun takwilan. 

Ijtihad itu terdedah kepada penilaian semula dengan menggunakan ijtihad yang lain. Berbeza pandangan dalam perkara ijtihad, bukan satu kesalahan akidah pun. 

Setelah saya tonton video Tun Mahathir tersebut, saya dapati ada kesilapan dalam menggunakan istilah. Tun Mahathir mungkin memahami hudud itu sebagai perbahasan fekah berkaitan hudud, maka beliau menyatakan hudud tiada dalam al-Quran. 

Namun dalam masa yang sama beliau menyebut hanya ada beberapa hukum yang disebut secara umum. Di sini kesilapan beliau dalam menggunakan perkataan hudud tiada dalam al-Quran, sedangkan asas hukum tersebut memang ada dalam al-Quran. 

Harap Tun Mahathir dapat membetulkan kenyataan tersebut. Namun kenyataan beliau bahawa yang penting hendaklah ditegakkan keadilan, memang sedang dipakai oleh ramai ‘Islamist' di masa kini.
Kerangka sekular
Minggu ini saya memohon dari Prof Tariq Ramadan untuk mengikuti kelas beliau ‘Political Islam, Islamism and Modern Islamic Movements'. Beliau membahaskan perkembangan golongan Islamistdi Turki hari ini. 

Beliau meminta para pelajarnya memberikan, apakah golonganIslamist di Turki itu masih layak digelar Islamist ataupun tidak? Pelbagai pandangan diberikan oleh para pelajarnya.

Kesimpulan dibiarkan terbuka. Kelas bersambung minggu hadapan. Maka saya terfikir untuk menyentuh tajuk ini dalam tulisan kali ini.
Ya, memang satu perkembangan yang menarik apabila Islamist di Turki tidak lagi melaungkan slogan perlaksanaan undang-undang syariah seperti hudud. Bahkan mereka bersedia untuk bekerja dan membangunkan negara dalam kerangka sekular (secular framework).

Mereka menegak nilai-nilai Islam seperti ketelusan, amanah, berdisiplin dan lain-lain. Mereka tidak mengubah perlembagaan, sebaliknya bekerja dan memberi nafas kepada Islam dalam kerangka yang ada, tanpa menzahirkan perjuangan menentang secularism. 

Isu hijab (tudung) di universiti di Turki yang tidak dibenar sebelum ini diatasi dengan pelantikan pentadbiran yang mempunyai yang lebih luas tentang undang-undang tersebut.

Sehingga John L Esposito dalam The Oxford Encyclopedia of Islamic World di bawah tajuk secularism menafsirkan perkembanganIslamist di Turki sebenarnya bukan pertarungan antara Islamismdan secularism, tetapi sebenarnya pertarungan dalam mentafsirkan konsep secularism itu sendiri. 

Ia antara versi secular Anglo-American yang memberikan ruang kepada penglibatan agama dalam politik dibandingkan pemahamanFrench secularism yang bersifat keras terhadap agama dengan menganggap penglibatan agama akan mengancam social order.Maka, Esposito melihat Islamist di Turki itu berpihak kepadasecularism versi Anglo-American.

Hari ini selepas ‘Arab Spring', gerakan Islam di kebanyakan negara Arab sudah mula bekerjasama dengan parti-parti lain yang tidak berasaskan Islam. Kerjasama itu sekali gus menjadikan mereka menggugurkan isu Islamic State khususnya perlaksanaan hudud. 

Hal yang sama kita lihat di Malaysia. Ini menimbulkan perbahasan sarjana semasa di Barat dan Timur, apakah mereka itu masih dianggap sebagai Islamist atau mereka sebenarnya post-Islamist? 

Pertamanya, istilah Islamist atau Islamism itu apakah maksudnya? Secara umum, perkataan Islamist difahami di Barat khususnya kelompok yang memperjuangkan politik Islam. Mereka ini berhasrat menegakkan Negara Islam yang melaksanakan undang-undang Islam khususnya hudud. 

Jika maksud ini dipakai, maka kelihatannya kebanyakan gerakan Islam hari ini bukan lagi Islamist seperti yang difahami oleh Barat. Namun jika istilah Islamist diberikan kepada mereka yang cuba menjadi Muslim yang baik dalam kehidupan harian, mengamalkan nilai-nilai Islam dalam kehidupan individunya seperti amanah dalam pentadbiran, maka mereka ini masih lagi Islamist. 

Jika disoal secara lebih jelas, apakah mereka ini pejuang negara Islam versi lama mereka ataupun negara Islam versi hudud? Jawapannya, kelihatan pada kemungkinan dan realiti, mereka bukan lagi pejuang negara Islam versi berkenaan.

Post-Islamism

Asef Bayat dalam tulisannya The Coming of a Post-Islamist Societymenggunakan istilah post-Islamism merujuk kepada golonganIslamist di Iran. Beliau menyifatkan golongan post-Islamist ini ialah mereka yang cuba mengadunkan semula antara Islam dan realiti dunia masa kini khususnya yang membabitkan soal kebebasan hak individu, demokrasi dan kemodenan.

Beliau menyebut: "Post- Islamism is expressed in the idea of fusion between Islam (as a personalized faith) and individual freedom and choice; and post-Islamism is associated with the values of democracy and aspects of modernity"
Mengapa ini berlaku? Kesemua ini berlaku disebabkan pengalaman yang dilalui oleh gerakan Islam menunjukkan kegagalan dalam banyak perkara untuk melaksanakan slogan-slogan yang dilaungkan sebelum ini. 

Realiti politik dunia menunjukkan banyak slogan mereka sebelum ini lebih berbentuk retorik yang tidak dapat dilaksanakan. Negara seperti yang mereka baca dalam kitab-kitab lama itu sudah tidak wujud. Sudah tiada lagi Negara Khalifah. 

Nation state ataupun negara bangsa hari ini mempunyai realiti yang berbeza. Globalisasi pula sedang menghakiskan ciri-ciri nation stateyang ada. Hari ini perkaitan antara politik dan ekonomi amatlah jelas. 

Dunia terbuka era teknologi juga mengubah terlalu banyak perkara. Hal ini akan lebih jelas terasa apabila golongan Islamist itu sendiri mendapat kekuasaan seperti di Turki dan juga beberapa negara Arab yang baru diperolehi. 

Maka, selama ini mereka mungkin telah melihat nas-nas politik dalam Islam itu di luar dari konteks yang sepatutnya ataupundecontextualization of nas. Mereka mungkin hanya membaca nas tanpa melihat konteks dan realiti yang wujud di persekitaran nas. 

Tidak mengkaji rentak ruang yang mana nas-nas itu beroperasi (tempo-spatial contexts). Sedangkan dalam memahami nas, persekitaran ekonomi dan politik yang wujud semasa nas-nas politik Madinah itu lahir hendaklah diambil.
Nabi SAW mengambil kira persoalan persekitaran politik ataupun realiti yang ada dalam perlaksanaan pemerintahan. Justeru itu, baginda tidak mengarahkan Najasyi Raja Habsyah yang menganut Islam itu untuk memerintah sama seperti kerajaan Nabi SAW di Madinah.

Najasyi atau Ashamah bin Abjar mengepalai kerajaan Kristian. Maka, realitinya berbeza. Nabi SAW tidak mempersalahkannya disebabkan ruang yang terhad yang dia ada. Tidak pula disuruh dia meninggalkan jawatannya. 

Sebaliknya memuji ketelusan yang digunakan dalam ruang yang ada. Bahkan apabila Najasyi meninggal, Nabi SAW menyebut: 

"Telah mati pada hari ini seorang lelaki soleh. Bangunlah dan bersolatlah ke atas saudara kamu Ashamah (nama Najasyi)". (Riwayat al-Bukhari). 

Demikian juga Nabi Yusuf yang bergerak dalam ruangan politik yang ada di zaman baginda.
Gerakan Islam mula rasional dan akur bahawa mereka mesti memahami text dan context. Jika perubahan dalam pendekatan dan kefahaman mereka kini dianggap tidak Islamik oleh sesetengah pihak, maka itu satu pentafsiran yang dangkal. 

Realitinya, dunia Islam berhajatkan kepada pemerintah yang cekap, amanah, adil serta berjaya menghidupkan kebahagiaan rakyat. Jika gerakan Islam berjaya melakukan hal itu, maka itu satu kejayaan.

Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin merupakan bekas mufti Perlis. Beliau kini bertugas sebagai zamil di Universiti Oxford, United Kingdom. Artikel ini pandangan peribadi penulis.